Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Apakah Perwaja masih "viable" selepas disuntik RM1.1bilion ?

3.47 ptg.

Tuan Abd. Rahman bin Yusof [Kemaman]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya ingin mengambil bahagian dalam perbahasan dalam perbelanjaan yang meliputi B.28, B.29 dan B.31 – Kementerian Kewangan. Butiran 021200 – Bayaran untuk Tanggungan Kumpulan PERWAJA.

Kerajaan sekali lagi akan suntik RM1.1 bilion untuk pengurusan projek PERWAJA. Saya hendak tahu prestasi PERWAJA sekarang ini, apabila kerajaan bersedia untuk menyuntik RM1 bilion lagi ini, adakah projek ini viable ataupun kita membuat keputusan good money chasing after bad money, seperti mana yang berlaku di satu masa dahulu dalam kes BMF di mana duit-duit dipam kononnya untuk mengambil alih duit-duit yang sudah kerugian. Jadi, saya takut sekali lagi perkara ini akan berlaku dan oleh kerana PERWAJA ini terletak di kawasan pilihan raya saya, saya minta sangatlah kerajaan agar mendedahkan Laporan Price Water House yang sudah siap pada tahun 1996 supaya rakyat dapat menilai apa yang sebenarnya berlaku dalam pengurusan PERWAJA. Oleh kerana laporan sudah ada lebih baik dalam usaha kerajaan menunjukkan bahawa kerajaan tidak cuba melindungi sesiapa, maka Laporan Price Water House tersebut saya cadangkan supaya dibentangkan di Parlimen. Saya takut nanti apabila keluar dalam Internet menunjukkan bahawa kerajaan tidak efisien nanti.

Yang keduanya, ialah B.31, Butiran 021000 – mengenai Perbelanjaan Pertukaran Wang. Banyak yang diperkatakan mengenai tindakan kerajaan untuk menetapkan kadar pertukaran wang asing dan kerajaan telah banyak menyatakan bahawa kejayaan yang diperolehi oleh kerajaan dalam tindakannya untuk menetapkan kadar tukaran wang asing ini. Saya cuba juga tengok negara-negara yang melaksanakan sistem ini dan saya tidak dapat jumpa melainkan ada satu sistem yang pernah dilakukan iaitu sistem yang dilakukan oleh Kerajaan Israel dahulu di mana kadar pertukaran wang asing ini ditetapkan dan apabila sistem ini dilaksanakan, maka Israel melakukan banyak sabotaj ekonomi kepada negara-negara jirannya supaya sistem ini berjaya. Jadi, apakah kerajaan cuba melaksanakan apa yang dilaksanakan oleh Israel pada satu ketika dahulu, kerana kita tidak tahu sama ada kejayaan yang diumumkan oleh kerajaan ini benar-benar berjaya ataupun tidak. Sebab dengan izinare we comparing orange and orange or we are comparing with other things.

Jadi, saya harap supaya Kementerian Kewangan dapat memberitahu daripada sistem mana yang kita gunakan ataupun beritahu negara mana yang telah melaksanakan dengan jayanya sistem ini.

Yang ketiganya, ialah isu B.31, Butiran ‘020000’ iaitu ‘010200’ – isu pengeluaran AP oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mana pelaksanaan cukainya dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan. Isu ini banyak diperkatakan tentang penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa AP-AP ini boleh dijual beli oleh penerima dan pengimport-pengimport kereta mewah di negara ini, dengar khabarnya di antara RM25,000 hingga RM35,000 satu keping AP yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Adakah menjadi perkara lumrah kereta-kereta yang diimport under declare dari segi tahun pembuatan dan juga harga pembeliannya. Jadi, kalau kebanyakan kereta baru yang diimport tetapi sampai di kastam dia declare bahawa kereta ini sudah dua-tiga tahun terpakai di luar negara kononnya. Tetapi semua orang tahu, kemudian peniaga-peniaga kereta mewah ini ….., memang kepada pembeli-pembeli diberitahu this is a new car ataupun ini kereta baru. Sedangkan sebenarnya dalam declaration dia kereta ini adalah dua-tiga tahun.

Jadi, tindakan pengawasan daripada pengimportan kereta-kereta melalui pemberian AP-AP oleh MITI ini hendaklah diselaraskan. Saya cadangkan supaya Kementerian Kewangan sahajalah ambil alih mengenai pengeluaran AP-AP ini supaya kita dapat check sama ada AP-AP itu benar-benar dikeluarkan oleh MITI ataupun tidak kerana banyak juga kes di mana AP-AP palsu dikeluarkan di mana pengimport-pengimport kereta menggunakan AP-AP palsu untuk membawa kereta-kereta mereka ke dalam negara.

Juga mengenai penswastaan. Tujuan asal penswastaan ialah untuk mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan. Kedua, meningkatkan efisiensi dalam pengurusan syarikat-syarikat yang diswastakan dan juga kerajaan mengharap peningkatan perolehan daripada hasil cukai daripada syarikat-syarikat yang diswastakan. Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Apakah kerajaan tidak akan menilai semula projek penswastaan ini seperti mana yang berlaku di IWK, kerajaan terpaksa membelanja RM225 juta lagi dan selain daripada itu kedengaran juga kerajaan terpaksa mengambil projek-projek penswastaan lain yang gagal seperti LRT Putra dan sebagainya.

Saya hendak tanya, ada lagikah selain daripada IWK ini projek-projek penswastaan lain yang kerajaan tengah ataupun tengah evaluate untuk pengambilan alih semula ataupun kita mengharapkan IWK ini merupakan yang terakhirlah, jangan ada lagi penswastaan projek-projek lain yang terpaksa kerajaan menanggung beban daripada pengambilan alih projek-projek yang telah diswastakan dan beban ini sepatutnya bukan dibebankan kepada rakyat tetapi mestilah dibebankan kepada mereka yang menyeleweng dalam pengurusan mereka di dalam projek-projek ini.

Juga sebelum saya akhiri, saya hendak tahu bilakah Menteri Kewangan mengisytiharkan kepentingannya dalam International Bank of Malaysia. Adakah ia diisytiharkan sebelum beliau mengarahkan bank-bank bergabung atau selepas itu. Sekiranya perisytiharan itu adalah selepas arahannya supaya bergabung, apakah kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap beliau kerana menyalahgunakan kuasa. Sekian, terima kasih.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com