Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Polis pukul membuta-tuli, hina Tuhan: Tahanan

Laporan asal :
Malaysia Kini

8pm, RABU: Mangsa tahanan dalam insiden perhimpunan '14 Hitam,' Azlee Johar, 26, mendakwa dipukul tanpa usul periksa oleh polis di perkarangan Masjid Negara pada 15 April lalu. Beliau yang selesai menunaikan sembahyang Asar turun dari masjid tetapi diserang dari arah belakang di bahagian kepala, tengkuk dan betis sehingga jatuh.

"Beberapa orang polis yang memakai vest (baju sangkut) kuning menyerang. Mereka menyeret saya hingga ke lori polis sambil mengeluarkan kata-kata yang menghina ‘mana Tuhan kamu, pergi minta tolong'," kata Azlee kepada malaysiakini, sambil meluahkan perasaan kesal terhadap sikap seorang polis itu yang mempermain-mainkan nama Allah.

Azlee memberitahu beliau cam polis yang mengeluarkan kata-kata menghina kepercayaan agamanya itu berketurunan Melayu.

Berhubung tindakan kasar polis terhadapnya, Azlee membuat laporan di Balai Polis Tun H. S. Lee dua hari lalu. Katanya, semasa berada dalam tahanan reman selama tujuh hari itu, kesakitan dan luka yang ditanggungnya diminta supaya dirawat sebanyak dua kali tetapi beliau diejek.

Seorang lagi tahanan dalam insiden yang sama, Nasarudin Shaari, 41, disepak dan dirotan bertubi-tubi. Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengingati berapa kali sepakan dan pukulan rotan itu. Nasarudin ketika itu cuba membela teman-teman beliau yang ditahan oleh polis.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku di tempat letak kereta Bangunan Dayabumi, berhampiran stesen keretapi, kira-kira jam 5 petang semasa beliau sedang menunggu rakan-rakannya untuk bermain bolasepak di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Saya ditumbuk di tempat yang 'paling berbahaya' (bahagian kemaluan) dan apabila (saya) terjatuh, polis telah menyepak kepala saya sehingga berdarah," kata Nasarudin malu-malu, sambil menjelaskan baju-T yang dipakainya turut berlumuran darah.

Ketika dalam tahanan, bagaimanapun polis membenarkan baju yang berdarah itu ditukarkan dengan baju lain yang dibawa oleh anggota keluarganya.

Sementara itu, seorang penyokong reformasi yang dikenakan ikat jamin RM500, Jaafar Mohamed, 54, tidak diberikan rawatan perubatan walaupun selepas memohon kepada polis.

Beliau yang mengidap asma (lelah) tidak dibenarkan mendapat kemudahan alat penafasan (inhaler) yang dibawa oleh isterinya. Beliau hanya menerima alat tersebut setelah tiga hari ditahan reman.

Jaafar termasuk dalam 16 tahanan, daripada 48 orang yang direman selama tujuh hari, yang dituduh di mahkamah magistret pada Sabtu lalu. Bagaimanapun Azlee dan Nasarudin dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Ketiga-tiga mereka ditemui malaysiakini selepas sidang akhbar Pusat Bantuan Guaman di bangunan Majlis Peguam Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Dalam sidang akhbar itu, Pengerusinya R. Kesavan berkata Pusat Guaman akan mengumpulkan maklumat berhubung tindakan polis terhadap tahanan dan kebajikan mereka semasa di lokap dan akan melaporkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dalam kenyataan akhbar setebal tiga halaman itu, Kesavan menyebutkan empat bentuk layanan buruk polis ketika menangani tangkapan pada 15 April lalu.

Ia termasuklah, pertama: polis menggunakan kuasa secara berlebihan sehingga menyebabkan kecederaan, keadaan yang buruk dan "tidak berperikemanusiaan" di dalam lokap polis, keengganan polis memberikan maklumat tahanan kepada peguam dan ahli keluarga, dan keempat, hak berhimpun secara aman mestilah dijamin seperti termaktub dalam perlembagaan.

Mengenai layanan di dalam lokap, Kesavan menyebutkan tahanan tidak diberi minuman walaupun diminta beberapa kali dalam tempoh sepanjang hari. Tahanan hanya disediakan teh yang sejuk pada waktu pagi.

Kemudahan untuk mengadakan sembahyang bagi Muslim juga tidak disediakan - air kotor digunakan untuk mengambil wudhuk yang terpaksa pula diambil bersebelahan tandas, kata Kesavan lagi.

Menurutnya lagi, tahanan juga tidak dibenarkan bersalin pakaian dan anggota keluarga dilarang membawa pakaian untuk tahanan.

'Ein Azmi


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com