Sultan Kelantan semalam menitahkan supaya kerajaan dan rakyat memelihara perpaduan dengan penuh bijaksana bagi mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara. Ini adalah saranan dan nasihat ke empat setelah dimulai oleh Sultan Pahang, Sabtu lalu. Selain, Sultan Pahang, Sultan Perak dan Tengku Muda Selangor (Pemangku Sultan). Selain dari mereka, siapakah lagi di antara para Sultan yang ingin bertitah atas isu perpaduan rakyat?
Apakah sultan di negeri-negeri lain tidak 'peka' terhadap 'arahan Mahathir supaya berkata sesuatu tentang isu perpecahan yang melanda orang Melayu? Mengapakah Sultan Pahang dan Sultan Perak begitu cepat menyambar arahan Mahathir untuk 'menasihatkan' rakyat supaya jangan berpecahbelah? Mengapakah sultan-sultan yang lain membisu seribu bahasa?
Dakwaan Perpecahan Perpaduan Orang Melayu
Perpaduan didakwa sebagai satu aset penting dalam menentukan kestabilan sesebuah negara kerana tanpa perpaduan amat sukar bagi kerajaan melaksanakan sesuatu dasar dalam pembangunan. Masyarakat yang matang dikatakan dapat melahirkan suasana yang tenteram, beradap dan bertoleransi serta berinteraksi dengan baik antara sesama mereka. Namun sejauh manakah dakwaan yang mengatakan masyarakat di negara ini hidup dalam gelisah dan 'berperang' sesama mereka?
Majoriti masyarakat nampaknya 'membisu seribu bahasa' terhadap isu perpecahan yang dimomokkan oleh pemimpin UMno dan media perdana. Selain dari menjadi satu bahan penulisan di akhbar dan di internet, isu perpecahan seolah-olah tiada wujud dalam masyarakat Malaysia sehinggakan majoriti sultan-sultan dan Raja-raja Melayu tidak berminat bercakap soal perpaduan. Justeru perkara ini sebenarnya menggambarkan bahawa 'isu perpecahan orang Melayu' hanya satu momokan, bukanlah masalah yang serius dan mendalam.
Namun saban hari media perdana terus melaung-laungkan isu 'perpecahan Melayu'. Mengapa?
Perbedaan Fahaman Politik
Ada dakwaan mengatakan perbedaan fahaman politik adalah faktor utama yang membawa perpecahan di kalangan orang Melayu. Jika benar dakwaan perbedaan fahaman politik membawa perpecahan, situasi perbedaan politik telah wujud sejak negara belum merdeka lagi. Namun tidak timbul soal perpecahan di kalangan orang Melayu sebagaimana didakwa berlaku hari ini. PAS lahir dari perjuangan ulama dalam UMno sendiri yang kemudiannya beralih arah kepada perjuangan bangsa (assabiah) sehingga Hisbul Muslimin ditubuhkan atas rasa sedar para ulama pentingnya Islam menjadi matlamat perjuangan politik dan pentadbiran kuasa memerintah.
Pada saat itu suasana 'harmoni' tetap terpelihara dan insiden pergaduhan 13 Mei bukan satu bukti bahawa perpaduan tidak wujud. Ianya lebih memihak kepada kenyataan bahawa 'ketamakan kuasa politik' menyebabkan satu pihak merasa perlu mempertahankan ketamakannya sehingga orang lain menjadi mangsa kerakusan mereka.
Perintah berkurung dan sekatan serta larangan yang pernah berlaku dalam sejarah pemerintah negara ini tetap mengikat kenyataan bahawa masih belum berlaku perpecahan di kalangan orang Melayu. Malah hingga ke hari ini, jika ditinjau, orang Melayu dan bangsa lain terus dengan aktiviti harian dan perniagaan masing-masing. Ini bukti bahawa perpaduan masih hidup dan kenyataan perpecahan itu sebenarnya tidak dirasai oleh masyarakat Malaysia.
Perpecahan Dalam UMno
Oleh kerana pemimpin UMno seringkali membuat kenyataan tentang 'isu perpecahan', maka satu tanggapan dan rumusan awal mungkin boleh dibuat bahawa perpecahan yang dilaung-laungkan oleh mereka hingga ke saat ini ialah perpecahan sokongan oleh ahli UMno ke atas kepimpinan mereka yang diteraju oleh Dr. Mahathir. Justeru itu isu perpecahan yang didakwa meledak di kalangan masyarakat Melayu itu sebenarnya hanya satu kesempatan dan alasan yang diletakkan ke atas pihak yang lain, setelah UMno diketepikan oleh ahli-ahlinya sendiri. Ianya menjadi lebih sensasi apabila digembar gemburkan oleh Presiden UMno setelah menyedari bahawa keruntuhan parti itu mungkin berlaku disebabkan 'kegawatan sokongan' orang Melayu terhadap parti yang didakwa mempunyai 2.7 juta orang (he.. he.. he) itu!!
Bukti dan alasan kepada kenyataan ini dapat dicapai apabila isu perpecahan ini dimainkan sebagai lagu secara kerapkali diputarkan sejak 2 tahun lalu. Malah ianya paling kerap 'dimainkan' menjelang pilihanraya umum ke 10, 29 November tahun lalu. Antara agenda yang dilaungkan ialah parti lawan (PAS) yang dituduhkan 'mengkafirkan' orang UMno, sembahyang dua iman dan lain-lain yang tidak pernah dibuktikan sehingga ke saat ini sebagai satu laungan yang mempunyai asas kukuh.
Malahan semenjak 2 September 1998 kita dapat merasakan bahawa para ulama yang dahulunya kerap muncul di kaca televisyen satu persatu menyertai perjuangan dan jihad bersama PAS untuk membenteras kezaliman yang kian berleluasa. Mengapakah ini berlaku?
Ulama 'Membawa Diri'
Tokoh seperti Dato' Ishak Baharum sebagai contoh tidak pernah mengaitkan dirinya dengan dunia politik negara, sebelum tarikh keramat 2 September 1998. Malah tokoh seperti Datuk Dr. Haron Din dan Datuk Ismail Kamus pula diberikan ruangan yang luas untuk membicarakan soal keagamaan secara meluas di kaca tv. Penampilan tokoh berketrampilan seperti Dr. Hassan Ali berjaya mewarnai kehidupan suasana 'ulama' yang berwibawa dalam pentadbiran kerajaan BN yang memerintah negara ketika itu
Kesemua tokoh-tokoh ini, beserta beberapa tokoh utama yang lain sudah berani menyatakan pendirian mereka bahawa mereka sudah 'mufarakah' dengan perjuangan UMno/BN dan enggan lagi bersekongkol dengan pemerintahan sebuah kerajaan yang zalim. Rasionalnya, bolehkah Datuk Dr. Haron Din, Datuk Ismail Kamus, Dr. Hassan Ali dan Datuk Ishak Baharum dikatakan telah 'dihasut' oleh Datuk Fadzil Noor, Tuan Guru Haji Hadi hatta oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz sendiri supaya membenci UMno dan kemudiannya mengeluarkan fatwa bahawa mengundi PAS memastikan setiap orang Islam masuk syurga dengan percuma?
Golongan alim ulama di negara ini merupakan golongan paling cool setiap kali peperangan politik meletus. Hinggakan peristiwa yang telah meragut nyawa Tuan Guru Ibrahim Mahmod (Libya) atau penangkapan Abuya Hassan Asyaari dari jemaah AlArqam sekali pun golongan ulama terus bersikap dingin, membisu seribu bahasa. Sikap ini tiba-tiba berubah apabila DSAI dipecat pada 2 September 1998.
Ulama menjelang alaf baru ini lebih berani bersemuka dan menyatakan pendirian mereka bahawa persekongkolan sekian lama tidak menjanjikan sesuatu yang membawa kepada keredhaan Ilahi. Malahan tekanan seringkali diberikan oleh rakyat muslim bahawa ulama jangan lagi membatu terhadap apa jua kepincangan dan kezaliman yang ditimpakan ke atas rakyat.
Fahaman Yang Memecahbelahkan Orang Islam
Sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kaum Melayu yang beragama Islam ialah 'penduaan' Tuhan, yang disifatkan sebagai melakukan 'syirik' terhadap Allah. s.w.t.. Penduaan itu berlaku dalam keadaan sedar, mahupun di luar sedar. Umpamanya, penentu nasib dan keuntungan masa depan sebenarnya bergantung kepada daya usaha dan tawakal kita kepada Allah, dan bukannya bergantong kepada UMno sebagai tunggak kuasa yang berkemampuan menyelesaikan pelbagai masalah.
Justeru itu jika ada fatwa mengatakan bahawa perpaduan itu hanya ada dalam UMno atau dengan mengundi UMno kita dapat memelihara perpaduan, maka sifat sedemikian menghampiri 'syirik' dan berkemungkinan telah melakukannya terhadap Allah. Justeru itu tidaklah pantas untuk kita mengatakan bahawa dengan mengundi parti UMno/BN atau PAS sendiri bahawa kita memperolehi jaminan perpaduan, kecuali jika parti-parti demikian bersifat 'parti Allah' dan bukannya bersifat sebagai 'parti syaitan'.
Walau pun ramai orang keliru di antara kedua UMno dan PAS, parti manakah yang lebih Islamik? Jawapannya, sesebuah parti dikira Islamik dilihat pertama kepada perlembagaannya dan kedua falsafah perjuangan serta matlamatnya. Jika sesebuah parti itu telah lengkap perlembagaannya dari Al-Quran dan mengambil Rasulullah sebagaii 'idola' falsafah perjuangannya dan Allah sebagai matlamat perjuangan jihadnya, maka parti itu sudah melengkapi satu peringkat kesempurnaannya dari sudut pendekatan sebuah parti Islamik. Hanya pemimpin dan pelaksana pula menjadi penentu kerana amatlah penting pemimpin itu menentukan pemerintahannya berteraskan Al-Quran dan Hadis.
Terlalu Banyak 'Fatwa' Mengelirukan
Satu fenomena baru yang berlaku dalam UMno untuk merebut kedudukan 'parti Islam' ialah dengan keberanian mereka mengeluarkan fatwa, walaupun amat disangsikan kebenarannya. Umpamanya, politik dan agama patut dipisahkan atau masjid harus bebas dari politik. Keadaan ini sebenarnya mencemaskan keimanan orang Islam kerana sesebuah parti itu dikira Islamik bukanlah atas dasar fatwa atau dakwaannya bahawa mereka orang Islam. Malahan memang banyak kedapatan perjuangan orang Islam yang tidak Islamik (sekular) kerana mereka mengambil selain Allah sebagai matlamat perjuangan dan penghambaan diri.
Fatwa-fatwa yang tidak didasarkan kepada ajaran Islam atau fakta sejarah sendiri, amatlah bertentangan dengan ajaran Islam. Kepada mereka yang sudah memahami Islam sebagai agama dan senantiasa menimba ilmuan Islam, fatwa sebegini dapat ditolak dengan mudah atas alasan dari sumber manahkah antara Al-Quran dan Hadis yang berkata sedemikian. Jika bukan diasaskan dari kedua sumber, maka sah dan nyata bahawa ia merupakan satuy fatwa sesat lagi menyesatkan!!!
Dakwaan Khutbah Masjid Dijadikan Alat Pemecahbelah
Kerapkali kita mendengar dakwaan khutbah masjid dijadikan sebagai alasan pemecah belah perpaduan orang Melayu. Bagaimana jika sesebuah khutbah itu melengkapi 5 rukun khutbahnya, apakah ianya masih sebagai pemecahbelah?
Jika kita melihat kembali kepada sirah Rasulullah bahawa perkara yang pertama Rasullah dirikan setelah berhijrah dari Mekah ke Madinah, iaitu setelah melengkapi 10 tahun berdakwah secara sembunyi dan di kalangan sanak saudara, ialah masjid yang lebih dikenali sebagai Masjid Quba.
Persoalannya, mengapakah Rasulullah mendirikan masjid? Mengapakah Rasulullah tidak mendirikan Parlimen sebagai tempat perbicaraaan anggota kabinet pemerintahan dan mendirikan Kompleks 'Putrajaya' sebagai pusat pentadbirannya? Apakah peranan dan fungsi masjid yang sebenarnya? Atau apakah Rasulullah lupa mendirikan Bank Negara sebagai lambang pusat ekonomi yang hendak dijalankan?
Kepada perjuangan orang sekular (yang memisahkan agama dengan politik) hakikat ini tidak dapat diterima. Mereka lebih senang mencanangkan, jika kamu mahu ikut apa Rasulullah buat kamu 'naiklah unta jangan naik kereta' yang mahu dakwaannya sebagai orang moden dan dalam peradaban moden. Justeru cara Rasulullah boleh dipertikaikan.
Namun kepada orang Islam yang sentiasa mencari keredhaan Allah, setiap perbuatan Rasulullah akan dicontohi tanpa ada perasaan syak wasangka bahawa apa yang dilakukan oleh junjungan besar itu kira-kira 1420 tahun lalu kini disifatkan sebagai 'kuno' dan ketinggalan zaman. Jika benarlah perbuatan Rasulullah itu disifatkan sebagai ketinggalan zaman, maka mereka (orang sekular) pasti menghina Allah kerana menjadikan sesuatu itu tanpa mengira peradaban yang akan berlaku di kemudian hari!!
Perpaduan Dalam Islam
Perpaduan dalam Islam memang bukan diteraskan kepada parti politik semata. Dalam surah AlMaidah ayat 103 Allah menjelaskan perpaduan sebagai maksudnya:
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nkmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (waktu Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hatimu, lalu menjadikan kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu dapat petunjuk"
Tuntutan yang dibuat dalam ayat di atas ialah berpegang teguh kepada ugama Islam. Setelah itu kita dituntut jangan berpecahbelah yakni meninggalkan Islam sebagai ajaran dan anutan setelah kita menerima Islam itu sebagai agama dan cara hidup kita.
Namun ayat di atas telah digunakan oleh penceramah UMno untuk menuduh orang-orang PAS sebagai mengingkari perpaduan anjuran agama. Kita sukalah menasihatkan kepada penceramah sedemikian supaya belajarlah mendalami ilmu AlQuran supaya jangan tertarik kepada ayat sahaja. Sebaliknya perlu ada pengkajian bentuk ayat yang diturunkan dan sejarah ayat itu sendiri sehingga maksud sebenar di sebalik keindahan pengucapan ayat tersebut.
Persoalannya mengapakah orang Islam sebenar beriya-iya mahukan Islam sebenar (bukan yang celup -maaf guna istilah ini) dan bukannya hanya laungan Islam tetapi tidak mempraktikkannya dalam konteks kehidupan -politik, sosial dan ekonomi. Ayat 145 dalam surah AnNisa' ada menjelaskan bahawa:
"Adapun orang-orang yang beriman dan berpegang teguh kepada tali Allah (ugama Islam), nescaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar daripadaNya (syurga) dan limpahan kurniaNya. Dan menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus (ugama Islam) untuk sampai kepadaNya"
Janji Kemenangan Dari Allah
Sebelum kembali kepada kesimpulan isu perpecahan yang disebabkan oleh perbedaan politik, maka kita lihat dahulu ayat 56 Surah AlMaidah bermaksud:
"Dan barangsiapa mengambil Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah (bersifat demikian) itulah yang pasti menang"
Justeru itu amat jelas kepada orang Islam perjuangan yang mengambilkira Allah dan Rasul serta orang beriman di kalangan mereka akan menemui kemenangan akhirnya, sebagaimana janji Allah dalam ayat di atas. Apakah kita mahu meragukan janji-janji itu? Jika masih ada keraguan maka bagaimana pula sifat beriman kita kepada kitab-kitab Allah?
Kesimpulan dari penulisan ini ialah adalah amat jelas sekali. Perbedaan politik bukanlah sesuatu yang mutlak untuk mengaitkan dengan isu perpecahan yang kini mengheret Raja-raja Melayu ke dalam kancah politik negara. Malahan dalam amalan demokrasi, perbedaan pasti akan berlaku.
Kenyataan lebih tepat untuk menggambarkan isu perpecahan orang Melayu ialah bahawa kekurangan sokongan orang Melayu terhadap UMno adalah satu fenomena yang luarbiasa setelah UMno lama bertahan kira-kira 42 tahun dan Umno Baru bertapak selama 12 tahun daam arena politik negara. Inilah sebenarnya yang diwar-warkan di sebalik isu perpecahan orang Melayu masakini.
Fenomena ini berlaku kerana banyak sebab penyebabnya. Namun di antara yang paling utama ialah percubaan memisahkan Islam daripada politik pemerintahan. Keadaan ini 'tidak direstui' oleh orang Melayu yang masih berpegang kepada ajaran agama Islam sebenar.
Orang Melayu tidak boleh menyamakan agama dengan pendapat. Jika Dr. Mahathir dalam kenyataannya semalam (30 Mac) pernah berkata bahawa amalan demokrasi bertujuan mendapatkan hasil yang baik dan bukan untuk bawa kehancuran. Justeru itu hanya pendapat dan hasil yang baik dalam amalan demokrasi yang baik sahaja yang diambil. UMno, katanya, tidak perlu pendekatan demokrasi yang boleh menghancurkan parti.
Sedang dalam Islam penerimaan itu adalah secara syumul (keseluruhan) bukan sekerat atau sebahagian kerana Islam itu sempurna. Natijah (hasil) kepada perlaksanaan Islam dalam kehidupan itu tidak perlu diragukan sebagaimana kita yakin terhadap Allah dan Islam ciptaanNya. Justeru itu perjuangan UMno saat ini sudah tidak relevan lagi dan ia adalah antara sebab utama orang Melayu menolak UMno. Rakyat yang sedar tidak lagi terperangkap dengan dakwaan bahawa UMno parti yang masih relevan kerana berjaya berjuang membela agama, bangsa dan negara.
Keutamaan perpaduan bukan atas keamanan semata-mata. Sebaliknya perpaduan sebenar ialah apabila semua manusia berpegang teguh kepada amalan dari ajaran Islam termasuk pemerintah dan rakyatnya. Jangan terperangkap dengan dakwaan 'pembawa kemajuan' yang akhirnya boleh menjatuhkan kita ke dalam pembatalan syahadah.
Kemajuan sebenar tidak harus diukur dari pembangunan fizikal semata, sebaliknya perlu ada keseimbangan di antara pembangunan jasmaniah dan rohaniahnya. Kemerdekaan negara adalah anugerah Allah yang perlu dipertahankan. Orang Melayu beragama Islam perlu kembali menghayati dan melaksanakan ajaran Islam termasuklah pemimpin-pemimpin dan Raja-raja Melayu sendiri.
Selamat Mengundi untuk penduduk Sanggang. Ingatlah bahawa undi anda akan dihitung oleh Allah sebagai ibadah sekiranya anda mengambil orang yang beriman sebagai pemimpin dari pemerintahan Islam.
Allah huakbar!!! Allah huakbar!!! Allah huakbar!!!
Polong Cyber