KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Polis hari ini mendapat kebenaran dua Mahkamah Majistret di sini untuk menahan reman 49 orang termasuk beberapa pemimpin Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu lepas.
Majistret Mohamed Ilhami Idris membenarkan Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohamad Noor, Naib Presiden Chua Tian Chang (Tian Chua), Penolong Setiausaha Pemuda N. Gobalan Krishnan dan bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussin ditahan reman sehingga 21 April.
Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 (3) Akta Polis.
Di mahkamah yang lain, Majistret Lailatul Zuraida Haron pula membenarkan 44 orang ditahan reman enam hari dan seorang pelajar tingkatan empat ditahan reman selama tiga hari.
Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 (3) Akta Polis.
Pada Sabtu lepas, Keadilan menganjurkan perhimpunan di Masjid Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Jamek Kampung Baru sempena ulang tahun bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan rasuah.
-- BERNAMA