Pagi ini 48 orang yang kena tahan (OKT) berhubung dengan perhimpunan aman
Black 14 telah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk didengar kes mereka.
Mereka dibawa sebelum jam 8.00 pagi, tetapi mahkamah bermula bersidang
hampir jam 10.00 dan tamat hampir 12.30 tengah hari. Kira-kira 100 orang
keluarga dan penyokong orang tahanan telah juga hadir. Akan tetapi
kebanyakan mereka tidak dibenarkan masuk mahkamah dengan alasan tiada
tempat. Turut hadir jua ialah isteri Mohamad Ezam, Puteri Reformasi Nurul
Izzah, Ketua Pemuda PAS Hj Mahfuz Omar, Timbalan Presiden keADILan Dr
Chandra Muzafar, dan Presiden PRM Dr Syed Husin Ali.. Tiada siapa pun
melainkan peguam, dibenarkan berjumpa dengan OKT.
Difahamkan bahawa sekurang-kurangnya lima orang OKT cedera dipukul polis.
Seorang mempunyai luka di dahi akibat dipukul dengan belantan. Walaupun
permohonan dibuat peguam supaya mereka dibawa berjumpa doktor di hospital,
pihak majistret telah menolaknya. Manakala OKT membuat aduan bahawa keadaan
lokap tidak sihat kerana tempat kotor, air tidak bersih dan makanan teruk,
majistret berkata "Awak mesti ingat awak semua adalah OKT". Majistret yang
tidak berperikemanusian ini tidak cuba sama sekali memahami masalah dan
sepatut sekurang-kurangnya meminta keadaan buruk ini disiasat dan dibaiki.
Kesemua OKT ini dituduh terlibat dengan perhimpunan yang dikatakan haram
dan akan didakwa di bawah 27(3) Akta Polis. Majistret telah menghukum
supaya kesemua mereka, melainkan seorang, ditahan reman sehingga hari
Jumaat, 20hb April 2000. Yang seorang lagi, berumur 17 tahun, ditahan
sehingga hari Rabu.
Hampir sejam selepas perbicaraan ini tamat, Mohd Nor Ezam, Tian Chua,
Gopalakrishnan dan Malek Hussein telah dibawa ke Mahkamah Majestret 2.
Hanya peguam saja dibenarkan masuk mahkamah, dan tidak seorang pun keluarga
dekat dibenarkan, walaupun kali ini ada banyak tempat. Sekatan ini dan juga
kelengahan memulakan perbicaran telah menimbulkan keresahan dan jua
kemarahan di kalangan keluarga serta penyokong yang masih menunggu. Pada
satu ketika telah timbul keadaan agak tegang, akan tetapi dapat ditenangkan.
Perbicaran tamat selepas jam 3.00 petang. Mahkamah memutuskan keempat-empat
OKT ini akan didakwa atas tuduhan berkonspirasi untuk cuba membantu
menganjur satu perhimpunan yang dikatakan haram, iaitu di bawah Penal Kod
109 dan Akta Polis Seksyen 27(3). Seperti 47 OKT yang dituduh terlibat
dengan perhimpunan haram itu, mereka telah dihukum reman sehingga hari
Jumaat 22 April juga.
Dalam perkembangan lain, pada jam 11 pagi, dua daripada tiga orang yang
dicari oleh polis, iaitu Zahid dan Sanusi telah menyerah kepada polis di
IPK Kuala Lumpur. Mereka mengeluarkan kenyataan dua muka surat yang
mengkritik PM Dr Mahathir Mohamad kerana kezalimannya dan juga pihak polis
yang telah bertindak zalim juga. Mungkin mereka ini akan dibawa ke mahkamah
esok. Seorang lagi, Lokman belum meyerah diri atau ditangkap.
Ali