Sumber Berita :
Harakah Daily
KUALA TERENGGANU 25 APRIL (Hrkh) Kakitangan wanita di bawah Kerajaan Negeri Terengganu yang mengambil cuti bersalin selama 90 hari yang baru diluluskan kerajaan negeri mulai 1 April lalu, akan dibayar gaji penuh.
Sehubungan itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Zahari Mohamad, berkata laporan akhbar perdana yang mengatakan kakitangan tersebut hanya akan dibayar gaji selama 60 hari saja, tidak berasas sama sekali.
"Kerajaan negeri telah bersetuju untuk membayar gaji bagi cuti tambahan (untuk wanita bersalin) selama 30 hari dan bayaran bagi tujuan tersebut dikira sebagai elaun khas bersalin," katanya kepada Harakah ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar perdana kononnya kakitangan awam wanita di Terengganu yang mengambil cuti bersalin hanya akan dibayar gaji selama 60 hari walaupun kerajaan negeri bersetuju untuk memberi cuti bersalin 90 hari mulai 1 April lalu.
Zahari berkata, kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco pada 8 Mac lalu bersetuju untuk meluluskan pelaksanaan kemudahan cuti bersalin 90 hari, bagi memenuhi janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu.
Perkara itu terkandung dalam Pekeliling Pejabat Setiausaha Kerajaan Bil. 8/2000 bertarikh 3 April lalu yang diedarkan kepada semua ketua jabatan, badan berkanun dan penguasa tempatan negeri.
Bagaimanapun, menurut beliau, Kerajaan Pusat melalui JPA dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 1998 telah menetapkan cuti bersalin bergaji penuh bagi kakitangan awam wanita yang bersalin untuk tempoh 60 hari sahaja dan boleh mengambil cuti menjaga anak (tanpa gaji) bermula hari ke-61 hingga 90 hari.
"Walaupun tempoh 30 hari direkodkan sebagai cuti menjaga anak (cuti tanpa gaji), kerajaan negeri telah bersetuju membayar gaji penuh pegawai/guru wanita tersebut sebagai elaun khas bersalin," tambahnya.
Mengenai cuti isteri bersalin bagi kakitangan awam, Ustaz Zahari berkata seseorang pegawai lelaki secara automatik akan diberi cuti tanpa rekod selama tiga hari bagi membantu isteri bersalin seperti Perintah Am Bab 26 (c) dan diberi opsyen tambahan empat hari cuti.
Katanya, kerajaan negeri akan membayar elaun khas isteri bersalin pada hari-hari dalam tempoh opsyen yang akan direkodkan sama ada sebagai cuti rehat atau cuti tanpa gaji.
Dalam hal cuti tambahan ini, kerajaan negeri memberi opsyen kepada kakitangan tersebut sama ada bersetuju untuk mendapat kemudahan cuti yang baru diluluskan atau mengikut tempoh yang dibenarkan sebelum ini.
Menurut beliau lagi pencen yang akan diterima oleh kakitangan tersebut, adalah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.
Azmi Yusof dan Kamarudin Mat Akib