
Kuala Terengganu : DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud yakin tamaddun kegemilangan Islam akan kembali semula di negeri ini sekiranya Islam yang tulin dipraktikkan dalam kehidupan umat.
Justeru itu baginda menyeru semua pihak menjauhkan diri dari sebarang kegiatan negatif yang merugikan mereka.
Sebaliknya baginda menasihatkan mereka agar mengamalkan akhlak Islam dalam kehidupan seharian.
Ini termasuk generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara.
Baginda bertitah merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1421 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Sementara itu Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula, berkata Kerajaan dikira tidak bersyukur kalau di bawah pentadbirannya berlaku muamalah bukan dari ‘Pendokong Hijrah’ (Nabi Muhamad s.a.w.)
Katanya, memang mudah seseorang itu mengucap syukur kepada Allah tetapi ia tidak memberi makna yang sebenarnya sekiranya rezeki yang dimakan dari sumber yang haram seperti Judi, curi dan sebagainya.
"Tiada nilai syukur sekiranya ayah membiarkan anak tidak solat, berpuasa dan mendedahkan aurat," kata beliau.
Katanya orang yang bersyukur ke atas nikmat Allah menggunakan pakaian, harta benda dan kecantikan untuk melaksanakan perintah Allah.
"Nikmat kecantikan digunakan untuk membahagiakan rumah tangga bukan untuk dijual dan dijaja secara murah di kaca tv atau dijadikan iklan sebagai tatapan yang mengiurkan sesiapa yang memandangnya," jelas beliau.
Tema sambutan Ma’al Hijrah Tahun ini ialah "Bersyukur Tanda Keteguhan Iman".
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Hussien Awang, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Jamaah Pangkuan Negeri, daif-daif kehormat berserta dengan isteri masing-masing, lebih seribu pegawai kerajan dan pelajar-pelajar sekolah.