PAS Kawasan Ampang Jaya amat kesal di atas tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) merobohkan Surau Al-Ikhlas, Rumah Pangsa Pandan Perdana 3, Jalan 9/10C, Pandan Perdana, 55300 Kuala Lumpur.
Surau sementara yang dibina oleh penduduk rumah pangsa tersebut telah dirobohkan oleh sepasukan penguatkuasa MPAJ pada pagi Khamis 13 April 2000.
Kami menganggap tindakan yang tidak berperikemanusian ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam di Malaysia. Ianya juga seolah-olah mahu mencontohi keganasan tentera -tentera Yahudi ke atas umat Islam di Palestin atau puak pelampau Hindu yang merobohkan Masjid Babri di India.
Pihak MPAJ telah langsung tidak memikirkan perasaan umat Islam di rumah pangsa tersebut yang benar-benar memerlukan sebuah surau. Sebagai sebuah penguasa tempatan mereka tidak sepatutnya menafikan hak umat Islam untuk beribadat tetapi memastikan agar setiap penduduk dapat berbuat demikian. Di rumah pangsa itu telah terdapat tempat beribadat agama lain yang juga di bina tanpa apa-apa kelulusan menurut undang-undang tetapi mengapakah hanya umat Islam yang dijadikan mangsa ? Dengan robohnya Surau Al-Ikhlas yang diperakui oleh JAIS itu maka umat Islam di situ tidak mempunyai sebarang tempat untuk mendirikan solat berjemaah dan kanak-kanak juga tidak dapat meneruskan pengajian Al-Quran mereka. Kami ingin tahu mengapakah MPAJ mengamalkan sikap "double-standard" ini ? Adakah umat Islam dan agama Islam itu tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi mereka ?
Pihak kami juga kesal di atas sikap ADUN Pandan, YB Mad Aris Mad Yusuf, yang langsung tidak memainkan apa-apa peranan yang berkesan untuk mempertahankan surau tersebut. Kami ingin tahu di manakah laungan slogan "Tradisi Membela Rakyat" yang sering dilaung-laungkan oleh Barisan Nasional ? Peristiwa di Pandan Perdana ini juga menunjukkan bahawa slogan ini sudah lama bertukar kepada "Tradisi Membelasah Rakyat".
Memandangkan YB Mad Aris merupakan ahli majlis MPAJ maka beliau juga bertanggung-jawab penuh di atas kekejaman ini. Dengan itu kami menggesa beliau agar meletakkan jawatan sebagai seorang ADUN kerana telah gagal mempertahankan maruah umat Islam. Kami juga mendesak perletakkan jawatan Yang Di Pertua MPAJ, Tuan Haji Mohammad Nik, kerana telah mengarahkan sebuah rumah Allah dimusnahkan.
Kami juga yakin tindakan MPAJ di Pandan Perdana ini merupakan pernulaan kepada satu siri penderaan dan penganiayaan ke atas umat Islam di Ampang Jaya. Dengan merobohkan surau tersebut maka MPAJ telah seolah-olahnya mengisytiharkan perang ke atas umat Islam di bawah bidangkuasanya. Kami yakin lebih banyak lagi surau-surau seperti di Pandan Perdana dan premis-premis serta hartabenda umat Islam di Ampang Jaya akan menjadi mangsa kezaliman ini. Walhal premis-premis judi, pub dan karaoke tanpa lesen yang tumbuh seperti cendawan di Ampang Jaya akan terus dibiarkan wujud tanpa sebarang tindakan dan seolah-olah mendapat perlindungan khusus "orang-orang yang tertentu".
Iskandar Abdul Samad
Setiausaha PAS
Kawasan Ampang Jaya
9 Muharram 1421 / 14 April 2000