Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

PAS kesal penangkapan pimpinan KeAdilan

KUALA LUMPUR, - PAS kesal dengan tindakan polis terhadap beberapa pimpinan Keadilan hari ini.

Awal pagi ini, polis menahan Ketua Penerangan KeAdilan, Roslan Kasim dan direman selama tujuh hari manakala Ketua Pemudanya, Mohd Ezam Mohd Noor ditahan di Sungai Petani selepas solat Jumaat tadi.

Polis juga meminta lima yang lain iaitu Ketua Pemuda Subang KeAdilan, Lokman Adam, Setiausaha kerja KeAdilan, Zahid Mat Arif, Ketua Bahagian Bukit Bintang, Sanusi, Tian Chua dan Gopalakrishnan.

Presidennya, Dato' Fadzil Noor berkata, tindakan polis itu menandakan kerajaan tidak demokratik dan menggunakan kekerasan.

Menurutnya, PAS mendesak agar mereka yang ditahan dibebaskan dengan segera kerana tidak ada asas sama sekali penangkapan itu dibuat.

"Polis dan kerajaan perlu menghormati kebebasan rakyat yang dijamin oleh perlembagaan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.com hari ini.

Beliau juga menyeru agar kerajaan tidak terlalu angkuh dengan segala kuasa mereka untuk menghalang rakyat.

Sebelum ini, kerajaan dan polis beberapa kali memberikan amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melibatkan diri dalam perhimpunan aman yang dijadualkan diadakan di Masjid Negara petang esok.

Dalam perkembangan berkaitan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menganggap penangkapan terbaru itu menunjukan polis tidak profesinal dan tidak mengikut perlembagaan.

"Ketua Polis Selangor kelihatan berlagak sebagai ahli politik berbanding sebagai pegawai polis," kata Suaram dalam kenyataan akhbarnya di sini hari ini.

Menurut mereka, Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia dan perlembagaan negara memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

"Kami menganggap tindakan polis itu mencabul hak asasi manusia," kata mereka.

Dipetik daripada HARAKAH


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com