Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Sungai Siput Sindir Mahathir?

Isyarat Umno Bahagian Sungai Siput amat jelas dan wajar diberi perhatian. Sekalipun, Mahathir menolak pencalonan Umno Gua Musang untuk melengkapkan jumlah 17 pencalonan Ku Li bertempur jawatan Naib Presiden, namun isyarat Sungai Siput lebih spesifik dan sentimental.

Umno bahagian itu telah mengusulkan supaya seorang pemimpin nasional dibenarkan berkhidmat selama 12 tahun sahaja. Disamping meluluskan usul berkenaan, para perwakilan Umno bahagian juga, turut meluluskan satu lagi usul supaya dimansuhkan syarat-syarat pencalonan yang ada sekarang bagi jawatan-jawatan tertinggi dalam Umno. Ini bermakna, arahan MKT agar tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, amat tidak disenangi oleh Umno Bahagian Sungai Siput ini.

Pemilihan Mei ini, melayakkan seseorang yang bertanding kerusi Timbalan Presiden perlu mendapatkan 33 pencalonan manakala seorang yang ingin bertanding jawatan Presiden memerlukan 52 pencalonan. Pencalonan sebanyak itu tentunya dianggap “sukar” diperolehi kerana hampir semua perwakilan di peringkat bahagian takut mengundi, mereka yang ingin mencabar pemegang jawatan.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, Yunus Husein ketika menjelaskan darihal usul itu, menyifatkan had pemegang jawatan itu akan memastikan seorang yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri akan berupaya memberikan sumbangan yang maksimum dan sekaligus mampu mengelakkan “amalan-amalan yang nagetif” yang akan timbul akibat memegang jawatan yang terlalu lama itu. Usul ini boleh ditafsirkan sebagai sinis dan mensasarkan kepada Mahathir yang sedang dibuai “lama” menguasai kerajaan.

Apa yang jelas, kelihatan usul ini mengirimkan isyarat seolah-olah meminta Mahathir berundur kerana telah melepasi tempoh 12 tahun. Namun apa yang lebih tepat dan amat menarik perhatian ialah apabila ahli-ahli Umno mula berani dan yakin, untuk mengaitkan tindakan memegang jawatan yang terlalu lama dengan “amalan-amalan yang nagetif”.

Penjelasan Yunus itu telah menggalakkan perbandingan ahli-ahli terhadap semua Perdana Menteri. Sejak Tunku Abdul Rahman hinggalah sekarang, Mahathir adalah PM yang paling lama bertahan dan kini menjadi watak utama yang berada dalam senarai ketua-ketua negara yang paling lama memerintah selain dari Fidel Castro, Saddam Husein dan lain-lain tokoh yang hampir kesemuanya dituduh begitu mesra dan sebati dengan penindasan, kezaliman dan pelbagai kejahatan yang terkutuk.

Apakah Sungai Siput cuba membayangkan PM yang ada sekarang juga terlibat dengan “amalan-amalan nagetif” akibat terlalu lama memegang jawatan? Atau adakah, penjelasan Yunus itu, direstui oleh bahgaian-bahagian lain? Kini, masa depan politik Yunus, sudah tentu tidak terlepas dari “gangguan-gangguan” Mahathir akibat usul sinis tersebut.

Isyarat Gua Musang atau Hasyim Safin dari Tanah Merah tentunya berlawanan terus dengan arahan MKT. Kecenderungan mereka untuk menabalkan Ku Li sebagai penentang utama Mahathir berjaya dipatahkan. Namun, itu juga sindiran tajam yang patut dibaca oleh Mahathir ketika ini.

Jika demokrasi dalam Umno berjalan lancar, angin perubahan untuk menurunkan Mahathir pasti akan bertiup kencang. Hakikatnya, para perwakilan takut dan bimbang, untuk menepis arahan MKT yang berupa ugutan itu. Senario ini, mengiyakan kata-kata Musa Hitam, bahawa dalam Umno hari ini, sudah tidak ada lagi mereka yang berani mengatakan “tidak” kepada pucuk pimpinannya.

Tarmizi Mohd Jam
isu_malaysia@hotmail.com


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com