Hasrat Ku Li untuk hanya menjadi “gurkha” dalam Umno, sekembalinya
kepangkuan parti itu sejurus membubarkan Semangat 46, makin menjadi
kenyataan. Anak raja berjiwa rakyat itu, akan meneruskan hayatnya
sebagai “gurkha” dalam Umno selagi parti itu diterajui oleh Mahathir.
Kegagalan Ku Li membenamkan PAS di Kelantan menjadi faktor langsung
mengapa beliau dipinggirkan terus dalam Umno, biarpun peringkat awalnya
terlalu optimis untuk mengambil-alih semula Kota Darul Naim. Seorang
pemimpin Umno Bahagian Peringat, Nik Daud Mustapha menyifatkan kegagalan
Ku Li itu adalah bukti terkini keupayaan sebenar kepimpinannya sekarang.
Nik Daud berkata, berdasarkan perkembangan itu, tempat Ku Li dalam
barisan tertinggi Umno telah tertutup rapat. Rakyat sudah menolak Ku Li
berdasarka pencapaiannya dalam pilihanraya umum lalu. Mahathir pula,
melihat kehadiran Ku Li akan menyusahkan beliau pada masa depan. Nik
Daud mengingatkan Ku Li agar merenung perjuangan politiknya dalam Umno
yang sudah berakhir.
Sebelum ini, Ku Li pernah diura-urakan untuk menumpaskan Mahathir dan
Pak Lah bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden Umno dalam
perhimpunan parti itu, Mei ini. Ku Li juga turut disenaraikan sebagai
calon bagi merebut kerusi Naib Presiden tetapi dengan penolakan Mahathir
terhadap pencalonan Gua Musang sebagai suatu yang “tidak sah” dengan
mendakwa tidak menuruti arahan parti, terus menghampakan Ku Li untuk
mewajahkan kepimpinan tertinggi Umno selepas ini.
Pembatalan pencalonan Gua Musang itu, secara tidak langsung
menghilangkan kelayakkan Ku Li untuk mengadu pengaruh dikerusi Naib
Presiden Umno. Layakkah Ku Li terus menjadi “gurkha” dalam parti Melayu
yang pernah diherdiknya itu?. Sampai bila, Ku Li bersedia “tunduk” dan
“patuh” pada Mahathir?
Tarmizi Mohd Jam
isu_malaysia@hotmail.com