Pandangan Musa Hitam masih bernas. Kemahirannya mengulas isu dalaman
Umno, membuktikan, Musa tidak tersisih dari membaca sepak terajang
politik parti itu, selepas meninggalkan kerusi TPM dan kerusi Timbalan
Presiden Umno.
“Kalau kita dilanda penyakit tua (umur Umno sudah 54 tahun), rakyat akan
mencari arah lain, sebagai wakil mereka,” kata Musa sewaktu merasmikan
Mesyuarat Tahunan Cawangan-Cawangan Umno Secara Berkelompok Bahagian
Johor Bharu dua bulan yang lalu.
Beliau berpendapat, selagi ramai ketua atau penganjur yang sedia atau
ingin dengan sukarela berundur dan memberi tempat kepada bakat-bakat
muda dan baru, selagi itulah Umno akan terus disokong oleh rakyat
sebagai mewakili rakyat. Kalau tidak, Umno akan makin terpisah daripada
masyarakat.
Kecenderungan Musa berkata demikian, lebih tertumpu melihat pola baru
politik Umno yang mula di tolak oleh orang-orang Melayu. Katanya, kuasa
amat mengkhayalkan dan selagi bertambahnya kuasa pada seseorang maka
bertambah tamaklah orang itu dengan kuasa. Lebih-lebih lagi dalam
keadaan sesuatu masyarakat itu mengukur kejayaan berasaskan pencapaian
kebendaan, kuasa semakin lama semakin digunakan sebagai alat pencapaian
kebendaan dan seterusnya pula, pencapaian kebendaan itu digunakan untuk
mengekalkan kuasa atau menambah kuasa.
Musa kelihatan bimbang dengan apa yang dihadapi oleh Umno hari ini.
Menurutnya, ahli-ahli Umno telah begitu lama berbangga dengan slogan
“Umno Itu Melayu, Melayu Itu Umno”. Akibatnya, keprihatinan terhadap
perjuangan Melayu itu terhakis sedikit demi sedikit setelah Umno itu
sendiri dibungkus dengan keyakinan yang amat kuat oleh orang-orang
Melayu sebagai wadah mereka.
“Sepanjang pengalaman saya menjelajah ke segala ceruk rantau negara,
dalam mana-mana juga majlis, saya mudah sahaja berasa confident atas
sokongan orang Melayu kepada Umno. Yang anehnya ialah dalam
majlis-majlis yang dihadiri oleh masyarakat Melayu waktu itu, saya tahu
bahawa mereka menyokong kita iaitu Umno.”
“Sekarang keadaan sudah bertukar. Aneh sekali pengalaman saya, yang
tidak pernah saya alami seumur hidup saya dalam politik. Iaitu, di
kawasan-kawasan majoriti Melayu, pekerja-pekerja dan ketua-ketua BN
nampaknya letih dan penat lesu serta tertekan pemikiran mereka. Ini
ialah oleh sebab dengan cara terbuka dan tidak segan silu, begitu ramai
orang-orang Melayu, muda, tua, pekerja buruh kasar, yang terpelajar,
yang mewah dan yang miskin, bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bagi
pihak parti-parti pembangkang, tidak kira PAS, DAP, PRM atau Parti
KeAdilan,” jelas Musa secara berani.
Musa mengakui, hari ini orang Melayu sudah lari dari Umno dan menyokong
pembangkang. Sebaliknya, Umno diselamatkan oleh orang-orang Cina yang
dulunya agak sukar untuk meramalkan undi mereka terhadap Umno dan BN.
“Apa telah jadi? Apa telah jadi kepada Umno? Umno sudah jadi parti
politik Melayu yang bergantung kepada sokongan orang Cina?” tanya Musa
penuh hairan.
Siapakah yang akan akur dengan ajakan Musa agar ahli-ahli dan para
pemimpin Umno menginsafi diri sendiri dan merenung ke dalam diri, atas
apa yang terjadi. Barang siapa pemimpin yang tidak mahu berbuat demikian
dan terus menyalahkan orang lain dan faktor-faktor luar sahaja, dakwa
Musa, pastinya tabiat ini akan menjadi petanda Umno akan menjadi parti
yang tidak relevan, pada masa depan dalam waktu yang singkat.
“Kalau dulu, ada dua kerat sahaja manusia ahli Umno yang berani,
sekarang ada beribu! Bukan sahaja yang di luar Umno, di dalam Umnopun
jelas ada begitu ramai yang tidak senang dengan parti kita sendiri…”
tegas beliau sambil merujuk diri beliau dan Mahathir antara yang berani
mengkritik Tunku 30 tahun dulu.
Musa, yang memiliki pandangan seperti Ghafar Baba, berpendapat jawatan
Presiden dan Timbalan Presiden “mesti” dipertandingkan untuk mengukuhkan
semula Umno. Pandangan ini tentunya menyanggah pendapat Mahathir,
kononnya pertandingan akan membawa perpecahan dalaman.
Musa terus diburu oleh media sebagai “petualang” yang cuba melawan arus
ciptaan Mahathir. Musa menerima kecaman dan ada media yang menyifatkan
beliau dan Ku Li sebagai lagenda politik yang telah berkubur. Musa
dianggap individu yang telah sampai seru untuk mendiamkan diri dan tidak
perlu mencampuri urusan perjalanan parti yang sudah melankah alaf baru.
Musa memang dikenali sebagai pengkritik yang lantang dalam Umno sehingga
kritikannya itu dilebelkan sebagai satu percubaan untuk menjatuhkan
Mahathir. Padahal sebaliknya. Musa amat sayang kepada Umno demi untuk
meneruskan survival orang-orang Melayu. “Sudah ramai yang menjadi tukang
puji Umno,” tegas beliau tanpa berselindung lagi, bagi meyakinkan orang
betapa beliau berani mengkritik Umno. Umno hari ini, tidak lagi memiliki
Musa atau ahli-ahli yang menyerupai Musa.
Mereka takut. Mereka khuatir. Mereka bimbang. Kepada Sang Presiden,
Mahathir Mohamad yang jelas akan menghalang sesuatu yang menyanggah
keinginannya!
Tarmizi Mohd Jam
isu_malaysia@hotmail.com