Benarkah dengan tersingkirnya Ku Li dari merebut apa-apa jawatan penting
dalam Umno, akan memadamkan taji politiknya? Banyak tulisan dan rencana
yang diperhatikan, menelah kononnya Ku Li dan nasib politiknya akan
terbenam! Hampir semua opini penulis cyeber seiya dan sekata,
memperihalkan survival Ku Li dalam Umno telah tiba ke penghujungnya.
Percubaan orang-orang Ku Li untuk menumpaskan Mahathir melalui
pertandingan bagi merebut jawatan Presiden, kelihatan agak malap. Tiada
bahagian yang bersunggguh dan serius untuk mengajak bahagian lain,
menabalkan Ku Li menentang Mahathir di kerusi Presiden.
Hasyim Safin di Tanah Merah, sekalipun membuat kejutan, tetapi sikap Ku
Li yang “dingin” untuk menumbangkan Mahathir melalui pertandingan,
menimbulkan “tanda Tanya”. Apa yang pelik, tidak ada penulis dan
pemerhati politik membaca dan membuat analisis berkenaan “tanda-tanya”
itu.
Mengapa Ku Li bersikap demikian? Apakah halangannya untuk beliau
menyatakan pendiriannya, jika benar masih berhajat untuk menduduki
kerusi Presiden Umno itu? Inilah persoalan dan nilai beritanya. Ku Li
mungkin ada muslihat tersendiri, sehingga saat akhir tidak menegaskan
minatnya untuk bertanding sama ada kerusi Presiden ataupun Timbalan
Presiden.
Sekalipun, jumlah pencalonan bagi kerusi Naib Presiden hampir melayakkan
beliau untuk bertanding, namun pendekatan yang dicipta oleh Umno
Bahagian Gua Musang amat berlainan, apabila para perwakilan menyerahkan
soal pencalonan kepada Jawatankuasa Umno Bahagian sahaja menentukannya.
Inipun menjadi topik baru patutnya, bagi diulas apa yang tersirat di
belakang cerita itu.
Keputusannya, Ku Li gagal untuk meletakkan dirinya dalam mana-mana
pertandingan atau “mencipta” pertandingan bagi merebut kerusi tertinggi
parti Umno itu. Maka bertempeklah, para juak-juak Umno pro-Mahathir,
melompat keriangan apabila Ku Li terlepas semua peluang untuk
menumbangkan Mahathir dari dalam parti. Mengapa Ku Li memberi menang
mudah kepada Mahathir? “Menang mudah” ini juga satu lagi persoalan atau
bukti yang patut diselongkar tentang mungkin wujudnya MoU antara
Mahathir dan Ku Li untuk menyerah dan menerima jawatan PM dan Presiden
Umno yang “berpuaka” itu.
Agak ramai yang bersetuju, selain dari Anwar, Ku Li juga adalah “duri
dalam daging” bagi menghalang keinginan rakus Mahathir dalam pentas
politik Malaysia. Pengaruh mereka, jika benar-benar digerakkan, boleh
menumpaskan Mahathir lima enam tahun dahulu. Tetapi, untuk berdepan
dengan belut yang licin dan licik, tentunya keupayaan untuk menggerakkan
semua jentera, agak terhad.
Mahathir hampir tewas ditangan Ku Li dalam pertandingan 1987. Majoriti
43 undi yang dimiliki Mahathir masih boleh dipertikaikan. Akibatnya,
Umno terpaksa diharamkan bagi membolehkan Mahathir terus menjadi
Presiden dan PM. Begitu juga, pemilihan tahun 1996, Mahathir sudah boleh
dirempuh oleh Anwar, jika dia mahu. Namun, atas nasihat kawan-kawan,
beliau menolak gelagat “gopoh” itu kononnya akan memakan diri. Akhirnya,
Mahathir membaca evolusi itu dan cuba mengempangnya. Ternyata, bacaannya
tepat sekalipun empangan pecah dan berderai.
Kini Ku Li dilihat oleh banyak pihak sebagai seorang ahli politik yang
sudah menopuas. Tentunya Ku Li memerlukan “Tangkat Ali” atau pil
“Veagra” untuk bangkit semula setelah dibenamkan oleh Mahathir jauh ke
dalam lumpur.
Soalnya, benarkah Ku Li sekarang terbenam? Mungkinkah, Mahathir
melangsungkan pakatan dengan anak raja itu, sehingga Ku Li tidak
menampakkan kesungguhan untuk menentang Mahathir atau merebut jawatan
dari Pak Lah. Kemungkinan, pakatan antara Mahathir dan Ku Li berjalan,
agak memberangsangkan, sekalipun para pemerhati politik melihat itu
hanya helah penganalisis untuk membuat cerita baru yang lebih
menggemparkan.
Hakikatnya, Ku Li berada dalam keadaan tenang dan seolah-olah menurut
arahan dan “ugutan” Mahathir atas nama MKT agar dua jawatan keramat itu
tidak dipertandingkan. Nampaknya, Ku Li taat dan patuh! Ini sudah
bertentangan dengan jiwa beliau dan ada rasa pelik sedikit apabila Ku Li
“menurut” cakap Mahathir semacam suami yang dikenakan “nasi kangkang”
oleh si isteri.
Rombakan kabinet selepas pilihanraya umum lalu, jika dianalisis secara
tajam, terpampang signal Mahathir untuk menabalkan Ku Li selepas
pengunduran beliau sebagai PM kelak. Tokoh-tokoh Semangat 46 diajak
berbakti dalam kabinet Mahathir dalam pos-pos yang meyakinkan.
Rais Yatim, Timbalan Presiden S46, menggerakkan JPM bersama-sama
Pengerusi Badan Perhubungan S46 Pahang, Tungku Azlan yang diamanahkan
sebagai Setiausaha Parlimen, JPM. Sementara Naib Presiden S46, Zainal
Abidin Zain, ditempatkan bersama-sama Pak Lah, yang juga pernah sealiran
dengan Ku Li, bagi mengawasi keselamatan dalam negeri. Mereka semuanya
adalah “bekas” penentang Mahathir suatu ketika dahulu.
Perkembangan muktakhir, boleh disimpulkan, tiadanya perlantikan pemimpin
Umno Kelantan dan Terengganu hanya helah bagi membolehkan Ku Li
dinujumkan sebagai Presiden Umno dan PM selepas Mahathir kelak.
Bagaimana, kita lihat dan tunggu!
Permainan politik Mahathir sukar ditelah oleh sesiapapun. Termasuklah
Anwar, yang terkenal licik dan licin. Jika ditanya saya, bolehkah Ku Li
menuju Petrajaya selepas ketiadaan Mahathir, tentu jawabnya boleh! Dalam
Umno, tidak ramai yang konsisten perjuangannya dan pengamatan
nasionalismenya terhadap budaya Umno dan orang Melayu. Selain Mahathir
yang tajam dan tembus “bacaan” nya terhadap karenah Melayu, Rais Yatim
dan Ku Li, adalah antara yang boleh meneruskan “bacaan” tembus Mahathir
terhadap orang Melayu atas platform parti Melayu itu.
Pak Lah, hanyalah Habibie kepada Suharto dan Pak Ghafar kepada Mahathir,
setelah Musa Hitam melepaskan jawatan PM dan Timbalan Presiden Umno
dulu. Komitmennya terhadap nasionalisme Melayu agak lembab, dipengaruhi
oleh gerak laku dan gelagatnya yang juga “lembab” dan tidak berbau
“orang politik”. Tokoh yang lurus bendul seperti itu, tentunya bukan
pilihan Mahathir!
Seperkara yang perlu diingat. Krisis antara Mahathir dan Ku Li berpunca
dari wasiat Tun Husein Onn. Ku Li sepatutnya menggantikan beliau dan
bukannya Mahathir. Akhirnya Ku Li “meragan” dan “kempunan” untuk menjadi
PM setelah Mahathir bermain politik mengambil kerusi berkenaan.
Setelah hampir 20 tahun Mahathir menjadi PM paling lama di Malaysia,
tentunya tiada apa lagi yang dikehendakinya. Setelah bersara, tentunya
kerusi itu akan diserahkan kepada Ku Li bagi “menebus” kenakalannya
mengenepikan Ku Li 20 tahun dulu…
By Tarmizi Mohd Jam
Emeil: isu_malaysia@hotmail.com
25 April 2000:1.37mlm