Muqqadimmah: Berikut adalah ucapan YB. Ustaz Mat Basir Rahmat, Ahli
Parlimen Parit yang gagal dilafazkan dalam Dewan Rakyat pada 5 April
2000 yang baru lalu, ekoran laluan tidak diberikan oleh Tuan Speaker
Dewan walaupun hampir 10 kali YB. bangun meminta laluan diberikan.
Bagaimanapun, untuk renungan kita bersama yang sedang berdepan dengan
isu “perpecahan dan perpaduan” seperti yang dibangkitkan oleh MP Kubang
Pasu, Mahathir Mohamad, elok rasanya kita memerhati intipati ucapan
berkenaan. – Setpol
Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada saya untuk
berucap membahaskan darihal butiran 030000 dalam Kementerian Perpaduan
Negara dan Pembangunan Masyarakat berkenaan soal “Perpaduan Negara”.
Tuan Yang Dipertua,
Isu perpaduan dan perpecahan akibat sengketa politik dalam negara kita
seringkali dijadikan senjata oleh pihak kerajaan untuk memburuk-burukkan
parti pembangkang khususnya PAS.
Sehari dua ini, isu ini digembar-gemburkan oleh mereka untuk meraih
simpati pengundi di Sanggang. Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana
Menteri telah meletakkan PAS “dikandang orang salah” kononnya PAS-lah
yang meretakkan perpaduan dengan memulakan isu kafir-mengkafir dan
sembahyang dua imam.
Kepekaan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan untuk menyatupadukan
umat Islam dalam tanahair kita, seperti yang didakwa telah diputuskan
dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali ke 185 baru-baru ini,
nampaknya hanya menjadi manipulasi politik para pemimpin Umno untuk
mengembalikan simpati umat Islam terhadap mereka.
Kita yakin, Menteri Besar Kelantan yang warak, Tuan Guru Haji Nik Abdul
Aziz Nik Mat tidak berbohong dengan dakwaannya bahawa tiada apa-apa
perbincangan mengenai isu perpaduan dan perpecahan seperti yang ditimbul
dan digembar-gemburkan oleh YB. Kubang Pasu itu. Ini bermakna, Dr.
Mahathir Mohamad-lah yang menipu rakyat dengan dakwaan berkenaan,
sekaligus bertujuan untuk “mewajahkan” PAS sebagai parti “pemecah-belah”
masyarakat dan ummah!
Tuan Yang Dipertua,
Kita bukan nak mengelak dari mencari jalan penyelesaian. Jika benar, ada
inisiatif Raja-Raja Melayu, ianya mestilah ikhlas dan jujur. Bukan
kerana desakan serta permintaan para pemimpin UMNO yang kini lemas
dengan sokongan kuat orang-orang Melayu terhadap PAS dan Barisan
Alternatif. Apa yang berlaku, nampaknya ia bukan kehendak Raja-Raja
Melayu tetapi keinginan yang tinggi dari YB Kubang Pasu itu sendiri
dalam usaha memulihkan sokongan rakyat terhadap Umno dan diri beliau.
Perpaduan ummat adalah tuntutan ad-Den dan menjadi kewajipan kepada kaum
Muslimin seperti yang disitiharkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran dan
dilaksanakan oleh RasululLah SAW. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan
janganlah kamu berpecah-belah” -- (Ali Imran:103)
Demikian juga Sabda RasululLah SAW yang bermaksud: “Bandingan
orang-orang yang beriman dalam kasih-mengasihi, sayang menyayangi dan
bertolong-tolongan antara satu sama lain laksana satu jasad, apabila
satu anggota terasa sakit maka seluruh anggota badan berjaga malam”.
Inilah perpaduan dan persaudaraan yang dijalinkan oleh Islam yang tidak
boleh dilakukan oleh sebarang jalinan dan ikatan yang lain, kerana
hubungan yang diikat sesama manusia itu tidak semudah mengikat batu-bata
bangunan.
Manusia mempunyai fitrah yang mesti diambil kira dalam pembentukan
individu yang menjadi juzuk kepada masyarakat yang besar dan pembentukan
individu juga mempunyai peranan yang besar dalam membentuk perpaduan
masyarakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maksudnya: “Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada dibumi
nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka tetapi, Allah telah
mempersatukan hati mereka” -- (Al-Anfal:63)
Tuan Yang Dipertua,
Kita mengalu-alukan inisiatif sesiapa sahaja untuk mencari punca dan
menamatkan perbalahan yang mencetuskan perpecahan. Seperti saranan
Sultan Pahang, DYM Sultan Ahmad Shah, tanpa tanggungjawab bersama antara
Raja-Raja Melayu, kerajaan, alim ulama dan rakyat maka usaha untuk
mengekalkan perpaduan rakyat dibimbangi tidak tercapai.
Oleh yang demikian, perpaduan yang diasaskan atas rasa taqwa kepada
Allah SWT adalah panduan yang patut diutamakan bagi mencapai objektif
tersebut. Aqidah yang melahirlan sifat taqwa itu akan menghapuskan
segala unsur kepentingan diri, asobiyyah bangsa dan sebarang kepentingan
parti atau kelompok.
Sebaliknya, kita yakin atas dasar ini hubungan sesama manusia dapat
dijalin dan tidak menjejaskan sama sekali konsep hormat-menghormati atas
kepentingan masing-masing. Malah, akan timbul penyelesaian dalam apa jua
perselisihan yang menjejaskan perpaduan seperti Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka
kembalikanlah kepada Allah SWT (al-Quran) dan RasululLah (Sunnah) jika
kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
itu lebih utama bagi kamu dan lebih baik penyelesaiannya” -- (An-Nisa:
59)
Yang menjadi halangan dan masalahnya sekarang, apakah kita umat Islam
khususnya dari UMNO, PAS dan lain-lain parti atau pertubuhan, bersedia
untuk meletakkan asas perpaduan berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah
RasululLah SAW?
Firman Allah SWT yang bermaksudnya: “Dan jika dua golongan dari
orang-orang yang beriman berperang maka damaikanlah diantara keduanya,
jika salah satu diantara keduanya melampaui batas, maka perangilah yang
melampaui batas itu sehingga kembali kepada perintah Allah, jika
golongan itu kembali kepada perintah Allah maka damaikanlah diantara
keduanya dengan adil, dan berlakulah adil, kerana sesungguhnya Allah
menyukai orang-orang yang adil” -- (Al-Hujarat:9)
Tuan Yang Dipertua,
Di negara kita, Islam masih diamalkan secara tidak sempurna. Pada masa
yang sama, adat-adat dan saki-baki kefahaman jahiliyyah masih berakar
umbi. Di awal kedatangannya, Negeri-negeri Melayu, Raja-rajanya dan
rakyaknya masih berpecah oleh asobiyyah jahiliyyah dan bertembung dalam
perkara-perkara remeh-temeh. Setelah itu, kita dihadapkan dengan
gerombalan penjajah yang meniupkan semangat permusuhan salibiyyah yang
tebal kepada Islam dan para penganutnya.
Fahaman sekularisme sengaja diterap oleh penjajah sehingga Islam tidak
diberi peranan dalam ertikata sebenar mentadbir urusan bernegara.
Walaupun masih menjadi penganut Islam tetapi fahaman dan pengetahuan
mereka mengenai Islam diacu menurut apa yang dirancang oleh penjajah
dengan melihat Islam dari takrif barat.
Akhirnya perpecahan bermula. Penjajah menjuzukkan Islam dengan
mengelirukan umat Islam dengan meletakkan kaki kaldai pada badan
harimau. Kaldai tetap kaldai tidak boleh jadi harimau.
Mereka menubuhkan Jabatan Agama Islam atau Majlis Hal Ehwal Islam dan
Adat Istiadat Melayu.
Mereka mewujudkan dualisme dalam sektor pendidikan dengan memisahkan
jurusan agama dengan pentadbiran bernegara sebaliknya menekankan soal
ibadah semata-mata.
Mereka memisahkan ilmu dunia dengan ilmu agama bagi membolehkan pelbagai
ideologi asing diasak kedalam kepala umat Islam sebagai jalan
penyelesaian kepada masalah dan krisis.
Selepas merdeka pula, kita dijajah oleh Perlembagaan Penjajah – Lord
Reid hingga meletakkan negara berada dibawah pengaruh Barat dan pada
masa yang sama menghalang tertegaknya Negara Islam dengan mengemukakan
pelbagai alasan ciptaan musuh Islam yang diketahui dengan jelas tanpa
syak lagi.
Sebenarnya terlalu banyak punca-punca perpecahan dikalangan umat Islam
di negara ini. Tetapi tanpa disedari dan penuh psaikologi, UMNO menyeret
PAS sebagai “dalang” kepada semua insiden ini.
Tuan Yang Dipertua,
Sudah jelas kepada kita, UMNO “membaling batu sembunyi tangan”. PAS
pernah bersedia untuk bermuzakarah dengan pemimpin UMNO dan para
ulamaknya bagi menyelesaikan isu perpecahan ini. Malah apa juga syarat
ketat yang dikenakan, PAS juga pernah bersetuju untuk menghadiri debat
UMNO-PAS dalam isu kafir-mengkafir pertengahan tahun 80-an dulu.
Kami dari PAS tidak pernah gusar untuk berdepan dengan isu ini. Kami
bersedia bersama-sama Raja-Raja Melayu untuk menagani isu utama ini
dengan syarat, kita kembali kepada petunjuk al-Quran dan As-Sunnah
RasululLah SAW, seperti mana kami bersedia untuk menyahut cabaran
muzakarah dan cabaran debat sebelum ini.
Oleh kerana isu perpaduan ummat adalah wajib maka usaha-usaha ke arah
perpaduan hendaklah dijayakan dengan serius dan saya mengingatkan sekali
lagi dalam Dewan Yang Mulia ini bahawa perpaduan tidak akan wujud selagi
kita tidak kembali kepada petunjuk Allah SWT. Sebaliknya perpecahan akan
terus terjadi selagi ada siang dan malam, jika kita terus berangan-angan
kosong kononnya ideologi dan isme-isme ciptaan manusia hari ini adalah
ubat mujarab menyegarkan perpaduan dan membunuh perpecahan.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
Disediakan Oleh:
YB. Tuan Haji Mat Basir Bin Rahmat
Untuk dibentangkan dalam Persidangan Dewan Rakyat 5 April 2000