Terima Kasih Tun Yang Dipertua.
Satu usul yang sama telah saya berikan notis kepada Tun pagi ini untuk dibahaskan di Dewan Yang Mulia ini. Saya memohon menarik balik notis tersebut kerana ia merupakan perkara yang sama dan memohon membahas menyokong usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang Y.B dari Pendang petang ini.
Tun Yang Dipertua,
Tindakan polis menahan beberapa orang pemimpin Parti keADILan Nasional dan 48 orang awam yang lain kerana didakwa terlibat dalam perhimpunan haram disekitar Kuala Lumpur pada, sebelum dan selepas 14 April 2000 yang baru lalu adalah satu tindakan kejam, zalim dan mencabuli hak asasi rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ada yang ditahan dua tiga hari sebelum 14 April sedang mereka menjalankan kegiatan kerja harian mereka dan ada yang ditahan di rumah mereka sedang mereka tidur nyenyak bersama isteri dan keluarga mereka. Ada yang ditahan sedang mereka melakukan ibadat sembahyang, berdoa dan bertasbih di masjid-masjid dan ada yang ditahan sedang mereka dalam perjalanan dalam keretapi, LRT dan sebagainya.
Saya sendiri didatangi oleh pihak polis di pejabat saya di Kemaman pada 13 April yang lalu yang ingin tahu kegiatan-kegiatan saya pada 14, 15 dan 16 April.
Yang peliknya media perdana menyiarkan berita bahawa tidak ada perhimpunan berlaku pada 14 April tetapi bagaimana pula para pemimpin Parti keADILan Nasional dan 48 orang awam yang lain ditahan dan didakwa dibawah Akta Polis Sekyen 27 (3) dan Panel Kod 109 pada 17hb April yang lalu di Mahkamah Majistret. Kebanyakan daripada mereka dikenakan tahanan reman selama seminggu oleh hakim Mahkamah Majistret.
Sekarang ini berita dari mana yang boleh rakyat percayai. Rakyat mendengar dan membaca berita bahawa tidak berlaku perhimpunan haram seperti mana digembar-gemburkan akan berlaku, tetapi rakyat juga hairan kenapa tahan pemimpin Parti keADILan Nasional dan 48 orang awam yang lain ? Apakah negara ini sudah menjadi negara polis dimana rakyat boleh ditahan sewenang wenangnya tanpa apa apa sebab ? Tidak berlaku perhimpunan haram tetapi rakyat ditahan dan dipenjarakan. Atas alasan apa mereka ditahan dan didakwa ? Apakah benar mereka merancang mengadakan perhimpunan haram atau mereka memang memohon kebenaran untuk mengadakan perhimpunan aman secara sah?
Tun Yang di Pertua,
14hb April 1999 merupakan tarikh peristiwa dimana Sdr. Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun diatas dakwaan yang tidak ada kena mengena dengan alasan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohammad memecat beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Alasan sebenar seperti mana yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri dan pecacainya masih belum terbukti tetapi Perdana Menteri sudah menjatuhkan hukuman sebelum proses kehakiman selesai. Ini membuktikan bahawa Perdana Menteri menghukum sebelum terbukti kebenaran tuduhan beliau terhadap Sdr. Anwar Ibrahim dengan memecat beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Presiden UMNO dan ahli UMNO.
Pada 14hb April yang lalu sebenarnya demomtrasi berlaku diserata dunia. Di Belgrade sahaja lebih 100,000 rakyat Serbia berhimpun menuntut Slobodan Milosevic meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dimana 16 pemimpin pembangkakng berucap dan tidak berlaku pun provokasi polis terhadap para demonstrator.
Di Peru pula, demontrasi juga berlaku dimana rakyat menuntut penyiasatan dilakukan terhadap penyelewengan yang berlaku didalam pilihanraya mereka. Tidak ada pun penangkapan berlaku dalam demontrasi tersebut.
Apakah kerajaan Malaysia sudah menjadi lebih teruk pemerintahannya dari Serbia yang diperintah oleh Slobodan Milosevic dan Peru yang diperintah oleh Alberto Fujimoro ?
Perdana Menteri juga membuat kenyataan sokongan kepada beberapa insiden demontrasi seperti yang berlaku di Seattle, Davos dan Washington D.C berkaitan dengan isu WTO, IMF dan Bank Dunia. Mengapa berlaku Double Standard ? Di Malaysia tidak boleh tetapi apabila berlaku di negara lain, Perdana Menteri sendiri yang sokong!!!
Begitu juga dengan beberapa siri demontrasi yang dianjurkan oleh UMNO yang dipimpin oleh Ibrahim Ali di Kelantan pada 1978, oleh Dr. Mahathir sendiri pada 1983 berkaitan dengan isu Pindaan Perlembagaan yang melibatkan kuasa Raja-raja dan 1987 yang dipimpin oleh Datuk Najib. Mengapa tidak ada tindakan dilakukan terhadap mereka ?
Tun Yang di Pertua.
Hasrat murni rakyat untuk berhimpun secara aman dan memperingati tragedi hitam yang menimpa Sdr. Anwar Ibrahim telah diputar belitkan oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional.
Pemimpin Barisan Nasional mendakwa bahawa rakyat akan membawa senjata termasuklah molotov cocktail untuk melakukan rusuhan dan kacau bilau pada 14hb April adalah dakwaan yang amat tidak bertanggung jawab dan merupakan fitnah yang mesti dikutuk oleh rakyat yang cintakan keamanan dan keadilan.
Ini jelas membuktikan bahawa pimpinan kerajaan Barisan Nasional terdiri daripada mereka yang sanggup berbohong, menipu, memutar belitkan fakta dan memfitnah semata mata untuk menjaga agenda mereka untuk terus berkuasa. Tiada seorang pun daripada mereka yang ditahan didapati membawa senjata. Yang membawa senjata hanyalah polis yang bertindak kejam atas arahan ketua-ketua mereka.
Tindakan pimpinan Barisan Nasional yang memperalatkan polis ini adalah bercanggah sama sekali dengan semangat yang termaktub dalam Fasal 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:
" Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata. "
Disamping itu, ia juga bercanggah dengan Artikel 20 (1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang berbunyi:
" Everyone has right to freedom of peaceful assembly and association " dengan izin dan
Article 9 Deklasi tersebut yang berbunyi: " No one shall be subjuected to arbitarary arrest, detention or exile "
Tindakan menahan pemimpin Parti keADILan Nasional dan 48 orang awam ini merosak dengan teruk semangat penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia yang baru ditubuhkan dan memalukan Malaysia dikaca mata dunia yang mendakwa kononya Perdana Menterinya adalah Wira Negara Dunia Ketiga, ( nak gelak saya mendengarnya )
Dewan yang mulia ini mestilah membuat ketetapan mengutuk tindakan kerajaan Barisan Nasional dan polis yang dengan jelas dan terang mencabuli Hak Asasi Rakyat Malaysia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.
Dewan yang mulia ini mestilah mengambil ketetapan meminta Menteri Dalam Negeri membebaskan mereka-mereka yang ditahan dengan serta-merta atau memikul tanggungjawab menyalahgunakan kuasa menafikan hak asasi rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saya amat kesal dengan cara keras dan ganas polis bertindak menggagalkan perhimpunan aman. Hak bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan dimansuhkan dengan sikap pemimpin kerajaan menganggap semua bentuk perhimpunan aman sebagai mengancam keselamatan dan pemohonan mengadakan perjumpaan dan perhimpunan ditolak.
Pihak polis perlu bertindak secara profesional dan tidak membenarkan institusi polis sebagai alat dan agen mempertahankan kepentingan peribadi pemimpin rasuah dan rakus.
Saya mendesak supaya orang orang ditahan dibebaskan segera tanpa syarat. Undang undang jangan disia-siakan sebagai alat melindungi kepentingan penguasa.
Dalam tindakan kali ini, beberapa tokoh yang tidak terlibat dengan perhimpunan turut ditangkap; pejabat-pejabat Parti keADILan digeledah. Jelaslah bahawa pihak polis mempergunakan kesempatan bertindak dan menindas parti, badan-badan NGO dan aktivis yang mengkritik kerajaan.
Saya memohon menyokong usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang Y.B dari Pendang.
Terima Kasih
ABD RAHMAN BIN YUSOF
Ahli Parlimen Kemaman