Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

TIAN CHUA DITAHAN BANTU SIASATAN PERHIMPUNAN BLACK 14

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Chua Tian Chan (Tian Chua) hari ini ditahan untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan haram yang diadakan penyokong parti pembangkang di Masjid Negara semalam.

Beliau ditahan di sebuah restoran di pusat membeli belah Armcorp Mall, di sini pukul 3 petang ini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Tian Chua kemudian dibawa dengan van polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim berkata, Tian Chua kini ditahan untuk soal siasat di IPK Kuala Lumpur berhubung perhimpunan haram di beberapa tempat di ibu negara semalam.

"Kita (polis) akan bawa beliau (Tian Chua) ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mat Zain berkata, 48 orang termasuk bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussin yang ditahan semalam kerana dipercayai menyertai perhimpunan haram di ibu negara akan turut direman esok.

Difahamkan Exco Pemuda Keadilan Sanusi Abdullah dan Setiausaha Eksekutif Pemuda parti yang sama, Muhammad Zahid Mohamed Arip yang diminta polis untuk menyerah diri bagi membantu siasatan perhimpunan haram itu, dijangka akan berbuat demikian di IPK Kuala Lumpur esok.

Ketua Pemuda Keadilan Johor Lokman Noor Adam turut diminta polis supaya menyerah diri tetapi masih belum berbuat demikian.

Jumaat lepas polis menahan tiga pemimpin Keadilan iaitu Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohamad Noor, Ketua Penerangan Ruslan Kassim dan Penolong Setiausaha Pemuda N.Gobala Krishnan untuk membantu siasatan berhubung rancangan perhimpunan haram itu.

Semalam 300 hingga 400 penyokong parti pembangkang mengadakan perhimpunan haram di Masjid Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Jamek Kampung Baru bermula pukul 3 petang bagi memperingati ulang tahun pertama penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Terdahulu Tian Chua pada persidangan berita di Ibu Pejabat Keadilan di Damansara di sini mendakwa polis tidak pernah menghubungi beliau untuk tampil membantu siasatan tetapi sekiranya ditahan beliau akan memberi kerjasama kepada polis.

Sementara itu, Gerakan hari ini memuji pihak polis kerana berjaya menghalang berlakunya keadaan tegang di ibu negara berikutan perhimpunan haram itu.

Naib presiden Gerakan Dr. S. Vijayaratnam berkata tunjuk perasaan bukan cara rakyat Malaysia dan jika dibiarkan berterusan, ia boleh membawa kepada keburukan dan menakutkan pelancong dan pelabur.

"Tidak perlu berhimpun di jalanan. Tindakan mereka itu menyebabkan ramai peniaga terpaksa menutup kedai mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata usaha dan tindakan polis mencegah keganasan mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia. -- BERNAMA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com