Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair : Antara Hakikat dan Kesamaran

Mutaakhir ini media massa mencanangkan satu wadah perjuangan sebuah parti politik yang menobatkan dasar perjuangan yang berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanahair. Di dalam sebuah negara yang populasinya terdiri daripada majoriti umat Islam, negara Malaysia memperlihatkan satu sistem pembentukan dasar pemikiran terhadap rakyatnya yang ditanam dengan efektif melalui sistem pendidikan, media massa, dasar ekonomi, penyusunan sosial masyarakat dan percaturan politik. Natijahnya, rakyat Malaysia diasak dengan pemikiran yang selaras dengan kehendak golongan pemerintah dan akhirnya menerima dengan tanpa keraguan.

Namun demikian, umat Islam yang menyandarkan paksi pemikirannya kepada aqidah yang benar dan ilmu yang mantap serta amalan yang berterusan, tidak mudah tunduk kepada sistem yang tersasar dari sistem yang telah pun ditetapkan oleh Allah. Firman Allah : Dan siapakah yang lebih baik celupannya (sistem) daripada Allah? (Al Baqarah : 138)

Oleh yang demikian apabila sebuah jamaah (parti) yang terdiri daripada umat Islam melaungkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara, ianya satu perkara yang aneh jika merujuk kepada realiti yang berlaku di dalam negara umat Islam seperti negara umat Islam Malaysia. Sedangkan agama merupakan ruh yang mengalir dalam diri setiap umat Islam dan bukan diletakkan sebaris dengan bangsa dan negara, malah ianya lebih tinggi dan merupakan paksi utama dalam setiap agenda tindakan. Agama yang menentukan halacara sesebuah bangsa dan negara bukan menjadi sebahagian daripada isu permasalahan. Firman Allah : Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (Al Baqarah : 208)

Lebih mencacatkan perjuangan ini ialah menggunakan perkataan agama dan bukan Islam. Kalimah Islam dipinggirkan supaya dapat diperkukuhkan bahawa antara agama dengan perkara bukan agama dapat dibezakan dalam pelbagai sudut kehidupan sedangkan ini bercanggah dengan pemikiran Islam yang diupayakan oleh ikatan keimanan dan kehidupan Islam yang menyeluruh.

Penetapan Kefahaman yang Asas

Asas kefahaman Islam yang benar ialah aqidah tauhid yang dibawakan oleh Rasulullah dan diperkuatkan oleh Sunnah Rasulullah dengan mantap. Hakikatnya ialah : bahawa kita tidak boleh memilih kecuali Allah sebagai Tuhan, kita tidak boleh mengambil selain Allah sebagai pimpinan dan tidak boleh memilih selain hukum Allah.

Iman tidak akan sahih kecuali dengan membenarkan semua kitab yang telah diturunkan dan membenarkan setiap Nabi yang diutuskan. Dengan ini Islam adalah lebih bersifat sebagai pembenar, penyempurna dan pembina dan bukannya peroboh. Firman Allah ; Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka hanyalah mereka berkata : “Kami dengar dan kami taat” (An Nur : 51)

Iman yang benar tidak akan sempurna kecuali dengan amal yang salih. Oleh itu iman hendaklah mewarnai kehidupan individu dan kemasyarakatan dan negara. Segala sistem hendaklah berpaksi dan bertitik tolak daripada aqidah tauhid. Ini bermakna pemerintahan, ekonomi, perundangan, kebudayaan, seni dan sastera hendaklah bermula daripada pancaran spektrum tauhid yang akan menjadikan kehidupan keseluruhannya bersuluh dengan petunjuknya. Firman Allah : Katakanlah : “Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam (Al An’am : 162)

Oleh itu iman merupakan keutamaan yang perlu dijaga sebagai umat Islam kerana ia merupakan identiti asas umat Islam. Gejala riddah perlu diawasi dan diambil perhatian serius kerana ianya petunjuk keruntuhan iman sebuah masyarakat dan iman sebuah negara umat Islam.

Realiti Asas Kefahaman Islam di Malaysia

1) Tidak menolak agama sebagai pembangkit semangat untuk menggembleng tenaga rakyat menghadapi cabaran dalam pembinaan negara

Hakikatnya agama dijadikan alat tunggangan bagi tujuan sementara. Sebagai contohnya, membaca doa di majlis-majlis rasmi meski pun para hadirin ada yang tidak melaksanakan kewajipan yang asas iaitu aurat. Tidak menjadikan doa sebagai ruh yang mengalir dalam jiwa ketauhidan kepada Allah. Menutup aurat sekiranya majlis berkait rapat dengan majlis keagamaan.

2) Menolak syariah dan meremehkan pelaksanaannya

Tidak menolak prinsip akhlak dan adab dalam Islam kerana ia bersifat universal dan diterima pakai oleh semua bangsa dan agama. Tetapi menolak hukum syariah (perundangan, perekonomian dan politik) yang mengatur kehidupan umat Islam dan menjadi asing bagi umat Islam di Malaysia. Firman Allah : Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? (Al Baqarah : 85)

Apabila masyarakat tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah , tanpa ragu lagi dia akan terjatuh dalam hukum jahiliyyah. Firman Allah : Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. (Al Maidah : 49)

3) Mengutamakan kehendak sebelum kewajipan

Kehendak fitrah manusia yang tidak berpaksikan kepada keimanan dan ketaqwaan mendorong manusia melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Hiburan dihalalkan sekiranya kewajipan menutup aurat dan menjaga pergaulan bebas diutamakan. Sukan dihalalkan sekiranya memelihara aurat dan meletakkan matlamat riadah dan bukan persaingan material. Realiti yang berlaku ialah masyarakat menurut apa yang ada di barat untuk berhibur. Perspektif barat terhadap hiburan dan sukan amat sesat kerana mereka tidak mempunyai keimanan. Oleh itu atas asas kefahaman yang ada adalah sesuatu yang jahil sekiranya kita masih lagi mengikut ‘benchmark’ (tanda aras) yang ada di barat.

4) Kecemerlangan diukur dengan material

Petunjuk ekonomi dijadikan asas kecemerlangan negara dan meletakkan nama Malaysia di mata dunia dengan perkara-perkara yang serupa dilakukan oleh barat. Seperti bangunan tertinggi, temasya sukan terbesar, ekspedisi, dan bermacam lagi pembaziran yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia. Maka inilah sikap umat Islam di Malaysia yang menjadikan barat sebagai acuan asas kecemerlangan dan kejayaan sesebuah tamadun. Hilang identiti kecemerlangan yang digariskan di dalam Al Quran firman Allah : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela, barangsiapa mencari yang selain dari itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. (Al Mu’minuun : 1-7)

Sekiranya umat Islam menghayati dan beriman dengan ayat di atas pastinya ianya menjadi penggerak kepada asas kecemerlangan umat dan negara umat Islam.

5) Mengutamakan syiar dari syariah

Masjid-masjid dibina dengan banyak di merata tempat, al Quran di pertandingkan di peringkat antarabangsa, zakat hanya dipungut tanpa diupayakan supaya menjadi asas kekuatan ekonomi negara. Dalam masa yang sama program-program yang cenderung ke arah kemaksiatan terus berleluasa, daya sensitiviti umat Islam terus hilang akibat mengabaikan pelaksanan syariah. Islam hanya nampak di sudut syiar sahaja dan ruh Islam hanyut dibawa arus pengabaian hukum Allah.

Impilkasi kefahaman Islam yang tidak menyeluruh

Apabila seorang individu muslim sama ada seorang pemimpin atau yang dipimpin sembahyang, berpuasa, menunaikan haji dan umrah sedangkan dia tidak yakin dengan pelaksanaan syariah (hudud, ekonomi Islam dan sebagainya), kehidupan mereka telah menjadi saling berbeza dan bertentangan. Yang mana, dia melaksanakan kewajipan peribadi dan menjalankan syiar ibadah tetapi kehidupan rumahtangga dan keluarganya tidak mengikuti cara kehidupan Islam, isteri dan anak perempuannya keluar rumah tanpa menutup aurat. Menghadiri majlis yang bertentangan dengan syarak dengan alasan menghormati kehadiran bangsa lain. Tatkala ditanya, bagaimana hendak diselarikan dengan ibadah sembahyangnya, puasanya dan hajinya, maka dia akan menjawab: “Kubur kita di sini dan kubur kamu di sana”.

Kefahaman terhadap Islam yang terhad telah ditanam sejak dari peringkat metodologi pendidikan awal di sekolah lagi dengan pengasingan subjek agama dan bukan agama yang mana ia berteraskan kepada sistem yang dicelup dari penjajah barat. Pendekatan dan matlamatnya ialah supaya menjahilkan umat Islam tentang Islam sendiri dan diberikan gamabran bahawa Islam itu sesuatu yang menyekat, tidak bebas dan sebagainya.

Tidak hairanlah sekiranya generasi pada hari ini jahil tentang Islam, kesyumulan dan keseimbangannya. Mereka menganggap Islam sebagai satu aqidah tanpa syariah. Iaitu hanya dengan berikirar dengan kalimah syahadah dan melaksanakan syiar ibadah sudah memadai.

Perjuangan yang tidak pernah selesai hingga qiamat : Jihad di jalan Allah

Firman Allah : Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka. Allah enggan kecuali menyempurnakan cahayanya meskipun dibenci marah oleh orang-orang kafir, Dialah yang menghantar RasulNya dengan hidayat dan agama yang benar untuk menunjukkan Islam supaya lebih tinggi dari semua agama yang lain walaupun dibenci marah oleh orang-orang musyrik. (At Taubah : 32-33)

Sesungguhnya perjuangan menegakkan agama Allah adalah berterusan sehingga hari qiamat. Bangsa dan negara merupakan di bawah naungan agama Allah iaitu Islam, apabila tertegaknya agama, maka tegaklah bangsa dan negara tersebut. Sepertimana Allah telah mengangkat martabat masyarakat Arab jahiliyyah dengan mendatangkan Islam kepada mereka. Menegakkan aqidah tauhid adalah keutamaan daripada syiar ibadah. Apabila terdapat gejala murtad dikalangan umat Islam maka adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam mengajak setiap umat Islam kembali kepada ajaran aqidah yang asas, bukan mendirikan banyak masjid dan menunaikan haji dan umrah atau menganjurkan tilawah Al Quran. Akibatnya timbul pelbagai fitnah dan penyelewengan terhadap agama Islam itu sendiri.

Oleh yang demikian untuk melaksanakan syariah dan mewujudkan suasana keimanan dalam sebuah negara maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bermula dari pimpinan kerajaan sehingga pimpinan rumahtangga dan setiap individu muslim untuk memartabatkan Islam sebagai dustur (perlembagaan) dengan mempraktikkan segala ajaran al Quran dan as Sunnah. Segala urusan hidup manusia hendaklah berpaksikan kepada sistem yang ditetapkan melalui aqidah tauhid yang benar.

Firman Allah : Kamu (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara ynag baik dan melarang daripada segala perkara yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah (Ali Imran : 110)

Segala pertentangan di dalam asas kefahaman Islam dan pelaksanaannya akan membuatkan kita tergelincir ke lembah sekularisme yang menyesatkan. Wal iyazubillah.

Alim Mujahid
Fakulti Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi MARA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com