Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Terlucutnya Daya Sensitiviti Umat Islam di Malaysia : Satu Hakikat

Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja.

Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Hari Khamis, 11 Mei, 2000 Jam 9.00 Pagi.

Satu Penilaian Umat Islam

Firman Allah : Katakanlah : “Hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, tidak ada Tuhan selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan, Kerana itu berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimat-kalimat Nya(kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk. (Al A’raaf : 158)

Merujuk dan menghayati firman Allah di atas umat Islam di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia umumnya wajar tersentak dengan ucapan seorang hamba Allah di hadapan jutaan umat Islam secara langsung dan tidak langsung. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad, tidak ada seorang Nabi pun yang diutus kepada seluruh umat manusia. Sebelum Al Quran tidak ada kitab suci yang ditujukan kepada umat manusia. Dengan ini jelaslah bahawa Al Quran diturunkan untuk Nabi Muhamad sampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai petunjuk yang sahih. Manusia di dunia ini tidak akan mengenal penciptanya dan juga tidak dapat memahami bahawa penciptaannya mempunyai tujuan yang agung tanpa kehadiran Rasul yang agung dan juga yang terakhir. Itulah Nabi Muhammad. Baginda juga mewariskan dua perkara yang dapat memberi petunjuk kepada seluruh umat Islam. Sabdanya :

“Kutinggalkan untuk kamu dua perkara, supaya kamu tidak tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah RasulNya.”

Maka, agama Islam yang kita anuti ini merupakan satu manifestasi keagungan seorang Rasul iaitu Muhammad Rasulullah. Ajaran Al Quran dan Sunnah yang dibawa oleh baginda bersifat sejagat dan diterima pakai oleh setiap bangsa di dunia ini.

Oleh yang demikian adalah suatu yang bertentangan dengan pemikiran Islam apabila menterjemahkan Nabi Muhammad setaraf sebagai manusia biasa dan memperlekehkan tugas kerasulan dan kenabian baginda.

Sikap Umat Islam di Malaysia

Ucapan dan kata-kata seseorang menggambarkan dan memperlihatkan gaya pemikiran orang itu. Ianya juga menyampaikan refleksinya terhadap pandangan sejagat (worldview) seseorang itu berkenaan dengan sesuatu perkara. Oleh itu, apabila seorang individu muslim itu mengatakan tentang kefahaman Islam yang bertentangan dengan kefahaman yang sebenar, maka adalah wajar kita sebagai umat Islam (yang faham) menolak atau menegur serta membawanya ke arah asas kefahaman yang lengkap dan sempurna.

Firman Allah : Kamu (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang perkara yang mungkar serta kamu pula beriman kepada Allah (Ali Imran : 110)

Walau bagaimanapun, umat Islam di Malaysia seolah-olah kaku dan bisu dengan kenyataan yang dibuat. Fenomena ini seakan-akan mengiakan apa sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin tersebut walau pun telah jelas akan pemesongan pemikiran yang dilakukan terhadap umat Islam. Situasi ini berlaku bukan hanya sekali, tetapi telah berkali-kali beliau menyampaikan pemikiran yang memesongkan asas kefahaman Islam di dalam siri-siri ucapan pemimpin tersebut. Media massa mengagungkan pemikiran pemimpin tersebut dengan menyiarkan teks ucapan dan membisukan suara-suara teguran yang ingin disampaikan secara seimbang dan adil.

Keadaan ini berlaku berdasarkan kepada penetapan polisi dan dasar yang dilakukan oleh pemimpin tersebut dengan dicaturi oleh pimpinan bawahan untuk menguasai pemikiran umat Islam di Malaysia supaya ianya selaras dengan kehendak kehidupan beragama yangsempit seperti yang difahami oleh pemerintah.

Kaedah Pemesongan Pemikiran Strategik yang Berjaya

Kesyumulan Islam yang meliputi segenap dimensi kehidupan manusia telah diabaikan oleh umat Islam di Malaysia. Mereka lebih redha mengikut peninggalan penjajah yang meliputi sebahagian besar cara dan kehidupan di barat. Ianya merangkumi aspek pendidikan, media massa, hiburan, perundangan, pemerintahan, perekonomian, kebudayaan, sukan dan sebagainya. Penjajah barat meninggalkan negara Malaysia secara fizikal dan bukan secara mental. Daya mentaliti peninggalan penjajah barat masih lagi menjadi asas pemikiran sehingga kini kerana ianya bersifat strategik dan menyeluruh untuk menguasai pemikiran umat Islam

1) Pendidikan

Dasar Matlamat Pendidikan Negara dan pelaksanaannya menjadi titik bermulanya asas pemikiran rakyat Malaysia termasuklah umat Islam di Malaysia. Pendidikan yang bersifat dualisme yang tidak integratif dengan aspek ketuhanan dan agama menjadi tunjang penerimaan dasar pemerintah. Pendidikan agama dan bukan agama dipisahkan serta meletakkan Islam di pinggiran. Material menjadi matlamat utama dan cendekiawan Islam diperlekehkan. Islam diajar dalam soal peribadatan sahaja tanpa dipelajari persoalan tentang peraturan kehidupan manusia yang meliputi segenap aspek dimensi kemanusiaan. Sekularisasi pendidikan diteruskan kelangsungannya agar generasi pada hari ini faham Islam hanya sebagai satu identiti bangsa dan melaksanakan syiar-syiar ibadah sahaja seperti sembahyang, puasa, zakat, menunaikan haji dan umrah, bersedekah dan sebagainya. Wal hal ini hanya merupakan sebahagian kecil dari aspek pelaksanaan Islam. Ilmu yang dipelajari hanya bermatlamatkan untuk mendapatkan habuan dunia tanpa diresapi akan ruh ilmu yang dapat mewujudkan suasana keimanan dalam diri. Sistem pendidikan moden sekarang memang telah berjaya membuka mata generasi baru kepada pelbagai ilmu dan kenyataan. Akan tetapi ia gagal membuatkan mata menangis keinsafan, dan mengajar hati menjadi khusyu’ Muhammad Iqbal

Ahli Falsafah Islam

Sebagai bangsa dan umat yang merdeka, sistem pendidikan kita harus melahirkan jiwa merdeka yang berani melihat masa depan berdasarkan perspektif dan nilai umat kita, bukan pandangan yang dipaksakan kepada kita. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim

Hakikatnya, sensitiviti terhadap agama luntur dan tidak mampu diupayakan kerana arus pendidikan menuntut supaya pemikiran pelajar berada di dalam acuan pemerintah. Kejumudan sistem pendidikan juga gagal membentuk cendekiawan yang berani dengan hak dan kebenaran. Malah kebaculan mereka terserlah dengan menilaikan ilmu dengan material. Atas dasar pemikiran itulah sensitiviti umat Islam di Malaysia terlucut dan pembangunan jasmaniah menjadi matlamat utama kehidupan mereka.

2) Media Massa

Penguasaan media oleh golongan pemerintah jelas dengan segala berita dan penyampaian melalui media massa tidak seimbang dan gagal menjadi wadah pencetus minda rakyat. Pemikiran rakyat dipaksa untuk menerima apa sahaja yang dibenarkan oleh pemerintah kerana arus media massa menyempitkan ruang bagi pemikiran kritikal. Hiburan dijadikan sajian hujung minggu dengan mengagungkan para artis. Majalah-majalah hiburan dan bacaaan picisan terdapat di merata-rata tempat. Ini cukup merangsangkan pemikiran rakyat dan akhirnya lalai dan leka.

Media elektronik televisyen juga memperlihatkan satu bentuk pembinaan pemikiran yang lalai dan luntur sensitiviti agama.

Peratusan program-program di Radio Televisyen Malaysia 1, RTM2, TV3 dan ntv7 mengikut peratusan-peratusan berita, rencana, agama dan sukan. RTM1 program hiburan 35%, program berita 27%. RTM2 program hiburan 64%, program berita 3%, TV3 program hiburan 52%, program berita 30%, ntv7 program hiburan 85% manakala program berita 9%. Program agama TV1 - 8%, TV2 - 2%, TV3 - 2%, ntv7 - 0%. Sumber : Kementerian Penerangan

Matlamat pemerintah untuk membina sikap, peribadi dan nilai jatidiri umat ternyata songsang dengan program-program yang diaturkan melalui televisyen. Hanya dengan kesedaran kehidupan beragama dapat membentuk masyarakat berakhlak dan mantap jati diri mereka. Akan tetapi jika dilihat jelas satu corak pemesongan pemikiran terutamanya terhadap generasi muda supaya mereka terleka dan tidak sempat untuk berfikir secara kritikal tentang masa depan agama mereka. Apa yang menjadi keutamaan ialah keseronokan dan hiburan. Para ulama’ yang bersekongkol dengan pemerintah pula mengiakan akan segala fenomena pemesongan yang berlaku dengan menyediakan hujah – hujah kepada para pemimpin serta menggunakan ayat-ayat al Quran bukan atas jalan yang haq.

3) Ekonomi

Faktor ekonomi dijadikan sandaran bagi memperlihatkan kemajuan kebendaaan tanpa ditimbangkan akan halal atau haram. Apabila sistem ekonomi memperjuangkan kebendaan dan aset-aset fizikal maka pembentukan budaya pemikiran dunia perniagaan dan korporat akan tertumpu kepada pengumpulan kekayaan setempat. Sistem kewangan dan pentadbirannya tidak menyeluruh kepada seluruh masyarakat di Malaysia dengan golongan kaya tidak mampu menginsafi kekayaan yang ada dengan masyarakat miskin luar bandar. Maka dengan itu, sensitiviti terhadap agama akan terlucut akibat kelekaan golongan ikhtisas menjalankan aktivitinya yang tidak bersandarkan kepada pancaran kehidupan beragama. Sikap “God awareness” tidak tergambar di pemikiran kerana sistem asas dalam negara Malaysia menolak sistem Allah.

Oleh yang demikian, apabila seorang pemimpin menganjurkan supaya perjuangan parti pemerintah ialah satu ibadah maka ianya tertolak kerana dasar parti pemerintah menolak sistem yang termaktub di dalam Al Quran dan As Sunnah dan hanya menerima syiarnya sahaja. Inilah dia kefahaman pemimpin di Malaysia terhadap agama Islam dan ianya dianuti oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Satu dasar yang mensekularkan pemikiran umat di Malaysia.

Kembali kepada Pemikiran yang Haq

Apabila mengatakan tentang haq, umat pada masa kini lebih menyifatkan haq itu sebagai kehendak dan kebebasan. Wal hal ianya satu yang menyesatkan kerana haq merupakan satu kebenaran dan bersifat jelas dengan kenyataan yang diciptakan oleh Allah untuk umat manusia. Oleh itu apabila seorang manusia melakukan sesuatu perkara atas nama haq ia harus berlandaskan kepada ketetapan yang digariskan di dalam Al Quran dan As Sunnah. Mereka yang melampaui batas haq akan di sifatkan sebagai zalim dan engkar.

Umat Islam di Malaysia wajib bangkit dengan kenyataan bahawa kegawatan aqidah sedang berleluasa di negara kita apabila pemimpin mengeluarkan ucapan yang bersifat memesongkan corak asas pemikiran umat Islam dan boleh menjejaskan aqidah.

Doa merupakan satu ruh yang berterusan dalam jiwa umat Islam dan seharusnya ia mengalir dengan satu hajat iaitu supaya diberikan ketetapan hati oleh Allah untuk berada di jalan yang lurus. Diperlihatkan akan kebatilan yang berlaku serta diberikan kekuatan oleh Allah untuk menegakkan yang haq.

Akhirnya saya memohon kepada Allah agar mengurniakan umat kita cahaya yang akan menyuluh kegelapan, sebagai pembeza perkara mutasyabihat, sebagai petunjuk yang menunjukkan daripada kesesatan di persimpangan jalan, dan menjadikan kata-kata dan amalan kita ikhlas untuk mencari keredhaanNya sahaja.

Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu ; sesunggunya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran : 8)

Yang faqir di sisi Allah,

Alim Mujahid
Fakulti Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi MARA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com