Tidak ramai yang mengetahui perjalanan kerjaya politik ‘dalaman’ Anwar semasa beliau masih dalam UMNO. Kalau ada yang
tahu pun mereka hanya berdiam diri sahaja. Apatah lagi dengan kedudukannya yang begitu kuat dan dianggap pula bakal
pengganti Mahathir untuk jadi Perdana Menteri.
Kini setelah Anwar digugurkan dari jawatan dan sekaligus parti, segala tindaktanduknya mulai ketara dan ramai yang mula
bercakap mengenainya. Ramai yang merasai Anwar tidak adil pada semua orang malah dirinya sendiri apabila beliau
bercakap tentang konspirasi. Dia sering menyebut dirinya menjadi mangsa konspirasi. Sebenarnya untuk kita ketahui siapa
yang sebenarnya berkonspirasi ke atas siapa teruskanlah menatap huraian yang ditulis berperingkat-peringkat ini.
NIAT DI PINTU UMNO
Seawal di tahun 1982 lagi, apabila Anwar mula menjejak kakinya di pintu UMNO, sudah terdetik di hatinya untuk ‘ke sana’
atau ke tempat nombor satu dalam parti. Dia dan rakan-rakannya yang setia dalam ABIM sudah mula berancana untuk
melonjakkan Anwar ke laluan kuasa atau Corridor of Power. Ramai daripada rakan-rakan dalam ABIM, yang pada mulanya
ragu-ragu dengan ‘prinsip’ Anwar diyakini bahawa amat penting bagi Anwar untuk berada dalam UMNO jika ABIM mahu
berjaya dalam perjuangan mereka. Ahli-ahli ABIM yang tulin dan keliru pada mulanya, berjaya diyakini oleh tokoh
seperti Kamaruddin Jaafar, Kamaruddin Md. Noor dan kemudiannya, Fuad Hassan, Siddik Fadil, Md. Nor Manuti dan
sebilangan lagi yang sudah merasai nikmat dunia hasil dari kecapaian Anwar itu.
Anwar juga pasti bahawa dia boleh ‘ke sana’ dengan naungan Mahathir dan melalui strategi politiknya sendiri. Kemasukannya
ke dalam UMNO secara ‘paracut’ itu akan dipergunakan seluas-luasnya. UMNO, malangnya, adalah sebuah parti yang lekas
pelupa, terutamanya golongan muda yang kurang mengetahui kisah-kisah Anwar memijak bendera UMNO. Golongan veteran
pula atas kepentingan politik sendiri dan juga perlu akur dengan Mahathir terpaksa menerima Anwar.
Orang pertama, sebenarnya yang menjadi mangsa atas kemasukan Anwar ialah Pak Lah Badawi. Malang atau bagusnya, Pak
Lah Badawi selalu menganggap orang lain baik dan lurus sepertinya. Malah apabila Anwar diletakkan untuk bertanding di
Permatang Pauh, menentang Hj. Zabidi dari parti PAS, orang-orang UMNO di Permatang Pauh sendiri yang berkeras-keras
menentang keputusan ini. Pak Lah lah yang mempertahankan keputusan ini sebagai membela Mahathir. Orang-orang Pak Lah
turut berkempen keras untuk memenangkan Anwar.
Bila Anwar, yang juga berasal dari Pulau Pinang, menang dalam Pilihanraya
1982 itu, Pak Lah sebenarnya sudah kesempitan ruang. Seperti kata-kata lagenda John Wayne dalam filem western, "The town
is too small for both of
us!". Suka atau tidak Pak Lah harus menerima Anwar, lantas beliau pernah berkata, "Hakikatnya Anwar masuk UMNO
beliau sudah mengorbankan prinsipnya". Manakala Fatah, Setiausaha Politik Pak Lah pula pernah berkata
dengan sombongnya, "Kita dah kepit Anwar di bawah ketiak kita!". Selepas itu, kita tidak tahulah siapa di bawah kepitan
ketiak siapa?
BTN YANG LURUS DAN SETIA
Anwar bijak menipu. Kempen pilihanraya yang menyaksikan dia bertanding buat pertama kali di Permatang Pauh, dia banyak
menggunakan jentera Pak Lah yang rata-ratanya terdiri dari budak-budak BTN yang berbelah bagi menyokong Anwar.
Mereka lebih keberatan daripada sanggup. Namun kerana amanah Pak Lah bahawa "..Kita perlu memenangkan Anwar, kalau
tidak Mahathir akan di tuduh berhasrat untuk memusnahkan politik Anwar...", maka mereka pun dengan taatnya beroperasi
menyokong Anwar, walaupun Anwar barangkali tidak sedar.
Dalam satu sessi ceramah di Permatang Pauh, apabila Pak Lah turun untuk memperkenalkan jagoan muda ini, Anwar dengan
rendah dirinya menyebut.."Pak Lah ni lebih dari saudara kandung saya sendiri..." Sungguh bijak Anwar mengeluarkan
kata-kata manis yang merupakan asas putar belitnya berpolitik yang kemudiannya dipergunakan dengan seluas-luasnya.
Pembohongan pertama Anwar yang cukup ketara ialah apabila dia berhasrat untuk melawan Hj. Suhaimi bagi jawatan Ketua
Pemuda. Ayatnya yang mula ialah "Saya tidak akan bertanding melawan Hj. Suhaimi. Pemuda UMNO di bawahnya sudah
cukup elok." Selang dua hari selepas dia berkata begitu, dia menyatakan hasrat untuk mencabar Hj. Suhaimi. Manakala
kuncu-kuncunya pula giat berkempen bahawa Mahathir berkehendakkan Anwar mengganti Hj. Suhaimi. Maka menanglah
Anwar.
ANGKARA 2M
Menjelang 1987, kekuatan Anwar menjadi lebih mantap apabila timbul pergeseran Mahathir dan Musa yang kebetulan juga
tercetus hasil dari konspirasi Anwar dan puak-puaknya. Musa yang kebetulan ghairah untuk cepat mengganti Mahathir
melakukan kesilapan-kesilapan strategi politik. Dia cuba merajuk malangnya tidak dipujuk, maka kerjaya politiknya jadi teruk.
Politik kotor Anwar mula menyusahkan veteran-veteran UMNO yang lain. Mereka yang dari dahulu lagi susah untuk
menerima Anwar segera melarikan diri dari Mahathir dan membentuk ‘Team B’. Kesilapan mereka sebenarnya adalah
marah mereka terhadap Anwar itu lebih ditujukan kepada Mahathir. Mereka enggan mengasingkan Anwar dari Mahathir.
Akibatnya mereka bukan menentang Anwar, tetapi menentang satu institusi yang bernama Mahathir. Lagi kuat
mereka menentang Mahathir lagi kuat pertalian politik Mahathir dengan Anwar.
Penyerahan kuasa Ketua Pemuda secara licin dari Anwar ke Najib menjadi senjata muktamad memenangkan Mahathir ke
atas Ku Li. Dan sekaligus Anwar mendapat ganjaran sebagai Naib Presiden yang ke tiga, satu tangga lagi untuk ‘ke sana’.
Menjelang pemilihan UMNO 1990, Anwar sudah berangan-angan untuk mencabar Ghaffar. Hanya kali ini, beliau ketakutan
sedikit untuk merancangkan tindakan jahatnya itu. Apabila ada ura-ura untuk mencalunkan dia dari beberapa Bahagian,
Anwar lebih berdiam diri, kerana dia sendiri tidak pasti adakah seorang Naib Presiden yang ke-3 boleh mencabar Timbalan
Presiden dalam konteks nilai dan budaya UMNO. Perkara ini ‘unprecedented’ dan Mahathir sendiri nampaknya tidak begitu
mahu melayan pemikiran-pemikiran ini. Bagaimana pun satu atau dua bahagian cuba-cuba bangkitkan pemikiran bagi usaha
ini. Anwar sendiri tidak mengenepikan kemungkinan tersebut. Bagaimana pun atas kepercayaan bahawa Mahathir masih selesa
dengan Ghaffar, usaha ini hanya tertumpu di kalangan kuncu-kuncu Anwar sahaja, yang kebetulan belum bertapak begitu kuat
di dalam UMNO lagi. Akhirnya hasrat itu tidak diambil berat lagi. Tetapi hal ini membantu Anwar meletakkan dirinya di
tempat yang lebih baik iaitu mendapat tempat pertama di barisan Naib Presiden.
KONSPIRASI MEDIA BERMULA
Ini menjadi ransangan yang kuat baginya untuk menyediakan dirinya ke tempat nombor dua pada tahun 1993. Banyak
peristiwa dan faktor-faktor yang melicinkan gerakan Anwar pada tahun-tahun menjelang pertandingan 1993 itu. Kerenah
sidang pengarang Utusan Malaysia, yang sebenarnya di dalangi oleh Samad Mahdi, anak saudara Mahathir dalam
mempersoalkan sikap Mahathir terhadap bahasa Malaysia, membantu Anwar meletakkan ‘orangnya’ Johan Jaafar mengganti
Zam sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan. Zam menjadi mangsa kepada tangan celupar Samad.
Perlantikan Johan Jaafar merupakan faktor penting dalam serangan media bagi membantu Anwar. Johan, Nazri Abdullah
(Berita Harian), Rahman Sulaiman (MP Parit Buntar, ketika itu Ketua Pengarang Bernama) sering bertemu untuk merancang
satu konspirasi menentang Ghaffar. Ironisnya, Johan sering mempertikaikan tentang ‘teori konspirasi’ dalam penulisannya.
(Mungkin mahu membersihkan kesan-kesan cap jarinya).
Di satu pihak lain pula, kegagalan Ghaffar dalam menyediakan dirinya sebagai pengganti Mahathir juga turut menguatkan lagi
azam Anwar untuk mengambil alih jawatan Timbalan Presiden itu. Ghaffar tidak serius. Dia menyangka jawatan nombor dua
itu adalah hadiah istimewa baginya sebagai seorang pejuang bangsa. Dia ‘took things for granted’ Dia fikir sebagai orang
tua parti ahli-ahli parti tetap setia dan tidak berbelah bagi dengannya. Dia lupa pada masa itu, gelombang "Melayu Baru" yang
diberi tafsiran baru oleh mereka yang gelojoh dengan kuasa sudah mulai membuih. Tidak cukup dengan itu, perangai Tamrin
pula lebih memberi masalah kepadanya dari membantu.
Di bawah sana, jentera Anwar dalam parti yang terdiri dari Setiausaha-Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri mulai
menjalankan plot mereka. Jentera parti bukan lagi dikuasai oleh Ghaffar. Ini Ghaffar tidak sedar. Beberapa bulan menjelang
pertandingan 1993, media terus memainkan peranan mereka dengan agresif tetapi halus. Tidak kurang dari tujuh kali Mahathir
menyebut bahawa Ghaffar tidak akan dicabar. Akhbar-akhbar menunggu pendekatan yang terbaik untuk memerangkapkan
kenyataan-kenyataan Mahathir. Apabila sesekali Mahathir terlepas cakap di hujung ucapanya bahawa "dalam pertandingan,
demokrasi mesti dihormati", ayat itu akan menjadi ungkapan utama dalam akhbar. Apabila Mahathir tercakap di Trengganu,
bahawa "seseorang pemimpin perlu undur apabila ia merasai ia telah terlalu lama dan tidak lagi boleh menyumbang kepada
kebaikan parti...’ maka ayat itu menghiasi ruang akhbar dan TV secara besar-besaran pada keesukannya.
Rakyat, terutamanya bakal perwakilan yakin kenyataan itu ditujukan kepada Ghaffar. Ghaffar sendiri makin keliru. Mahathir
masih mahukannya atau tidak?
BERTANDING SECARA TAKTIKAL
Namun pada masa yang sama Anwar masih menyebut kepada umum bahawa dia sekali-kali tidak akan mencabar Ghaffar.
Baginya, Ghaffar adalah seorang tokoh politik yang amat dihormatinya. Ghaffar adalah sebagai guru kepadanya. Ghaffar juga
adalah sebagai bapa kepadanya. Orang UMNO yang masih kuat ingatan tentu tidak lupa dengan kata-kata penafiannya
sebelum dia bertanding melawan Hj. Suhaimi dahulu. Penafian sebelum pengakuan adalah semata-mata ‘tactical’. Cakap
hanya tinggal cakap. Kalau dengan Hj. Suhaimi dia boleh bertaktik begitu, apa salahnya dengan Ghaffar pula. Kemudian
katakanlah pula..."saya perlu akur dengan kehendak parti....atau arus yang begitu kuat menuntut kepada perubahan...." Ini
semua diamalkan oleh ramai pemimpin baik di peringkat kebangsaan, bahagian mahu pun cawangan.
Seperti yang dijangkakan kemuncak kepada konspirasi Anwar tiba apabila dia berjaya membohongi ratusan pemimpin
UMNO dari seluruh negara untuk hadir di satu perhimpunan di PWTC. Muhamad Rahmat menjadi alat utama dalam
peristiwa ini. Sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Penerangan, dia menggunakan kedudukannya itu untuk
menjayakan niat rakus Anwar. Dengan dibantu oleh Wan Ismail, bapa mertua Anwar, yang ada sedikit kepakaran dalam
‘perang saraf’, mereka berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin parti untuk datang ke Kuala Lumpur bagi satu
pengumuman yang mereka tidak tahu apa dia isinya? Inilah satu dosa Mat Bulat yang dia tidak boleh lupakan, jauh sekali
untuk dimegahkannya. Pihak media dengan penuh perancangan meletakkan peristiwa ini sebagai sokongan umum untuk
Anwar bertanding. Maka Anwar dengan angkuhnya menyebut. "Ini adalah iltizam.............." Apabila hasrat Anwar
telah menjadi cakapan umum, Mahathir yang diketahui sebagai seorang yang suka menyebelahi calun yang kelihatan akan
menang, sudah menjadi ‘A Malay in Dilemma’ sekali lagi. Megat Junid meyakinkan Mahathir Anwar akan menang.
NASIB GHAFFAR
Ghaffar makin berundur. Dia hanya berharapkan kepada Pak Lah dan Sanusi, yang jelas tidak mempunyai kekuatan yang
diperlukan bagi menghadapi apa yang disebut sebagai ‘Arus Perdana’ dalam pemikiran ‘Melayu Baru’. Mahathir
makin menyisihkan dirinya dari Ghaffar. Dia selalu berkata, bahawa adalah wajar baginya untuk berkecuali kerana sekiranya
calun yang dia tidak sokong itu menang maka susah baginya untuk bekerjasama nanti. Akhirnya seperti yang ditentukan oleh
sejarah. Anwar menang, Ghaffar kalah. UMNO seolah-olah menerima hakikat dengan cara pertandingan itu dijalankan.
Pencalonan dari hampir semua bahagian dijalankan cara paling kotor dan tanpa kesopanan seperti yang pernah disaksikan
oleh UMNO. Wang menguasai segala-galanya. Anwar tahu hal ini. Sebagai seorang pejuang Islam, dia menutup mata
terhadap kedurjanaan ini. Malah dia menghalalkannya. Baginya matlamat menghalalkan cara. Ghaffar diperhinakan begitu
sekali. Dia seolah-olah tidak ada tempat lagi dalam UMNO. Jasanya yang lepas-lepas bukan lagi jadi pertimbangan. Ghaffar
sendiri sudah tidak kenal dengan ‘Melayu Baru’ yang menjadi anggota UMNO sekarang. Ghaffar menjadi terlalu kecil dalam
parti yang dia turut mendewasakan sejak berpuluh-puluh tahun lagi.
Nafsu Anwar untuk ‘ke sana’ nampaknya makin menjadi. Seperti selalu, seolah-olah tidak ada apa-apa yang dilakukannya,
dia terus menunjukkan rasa hormatnya kepada Ghaffar. Dipujinyalah Ghaffar. Pujian yang sudah terlambat, setelah teruk
orang tua itu dibelasahnya! Pembohongan seperti itu sudah menjadi mainannya. Malah dia boleh berbohong dalam sebarang
keadaan. Antara yang diketahui oleh segelintir orang ialah dia akan pastikan sesiapa yang dilantik oleh Mahathir, atau hasil
sokongan lain-lain menteri, akan dihubunginya untuk menyatakan bahawa dialah yang berusaha memberi nama orang itu
kepada Mahathir. Orang ini akan percaya terus dengan Anwar dan lantas merasai ‘terhutang budi’ dengannya. Yang peliknya,
kadangkala, orang yang sebenarnya yang dia sokong adalah calun lain yang tidak terpilih untuk jawatan yang sama. Orang
yang dikatakan dia sokong penuh itu adalah calun lain yang bukan pilihannya.
Sifat pembohong dan ingin mengambil ‘credit’ ini terbawa-bawa dalam pemilihan parti di peringkat bahagian hingga di hari ini.
Dia boleh menyokong secara sulit ke atas dua calun yang bertentangan. Baginya siapa yang menang tetaplah orang dia.
Apakah bentuk Islam yang diperjuangkan oleh Anwar dengan sikapnya sebegini, hanya dia sendirilah yang tahu!
Selepas pertandingan 1993 itu, UMNO seolah-olah sudah menerima kesesuaian gandingan Mahathir-Anwar. Macamlah
gandingan 2M di tahun 80’an dahulu. Orang-orang Anwar yang mendabik dada dengan kemenangan tersebut juga
sudah pasang angan-angan untuk turut tumpang naik dalam hiraki kepimpinan UMNO. Muhamad Taib, Mahyuddin, Rahim
Tambi Chik tiba-tiba terlontar ke persada kepimpinan UMNO. Umum tahu berapa tinggi timbunan wang yang mereka
pijak untuk naik ke atas itu. Tuhan maha adil. Dia mempunyai cara penyelesaiannya sendiri. Mat Taib bermasalah dengan
wangnya. Rahim tertumpas akibat skandalnya, manakala Mahyuddin juga turut tersungkur.
KEMUNCULAN BRUTUS
Dalam keselesaan Anwar meletakkan punggungnya di kerusi Ghaffar itu, tiba-tiba UMNO dikejutkan dengan isu ‘Brutus’ oleh
Mahathir dalam perhimpunan UMNO 1994, setahun selepas Anwar berganding dengan Mahathir. Mahathir tidak akan
menyebut mengenai sejarah pengkhianatan Brutus itu kalau bukan kerana ia menjadi isu sekitar dirinya. Perwakilan membaca
maksud Mahathir pada wajah Anwar yang turut duduk di atas pentas pada hari itu. Keresahan Mahathir dengan orang
nombor duanya itu telah dihidu oleh umum. Nampaknya konspirasi Anwar bukan sekadar setakat Ghaffar sahaja. Anwar
tidak akan puas selagi dia tidak sampai ‘di sana’.
Mengapa Anwar rakus dan tidak sabar menunggu. Mereka yang kenal Anwar dari zaman ABIMnya dahulu tahu akan
jawabannya. Anwar tidak boleh dan tidak mahu jadi orang nombor dua. Dia mahu jadi orang nombor satu dalam serba serbi.
Dia pastikan pemimpin-pemimpin ABIM yang lebih kanan darinya seperti Fadzil Noor dan Sanusi Junid, tersingkir dari
persatuan itu. Dia lebih selesa kalau di bawahnya hadir mereka yang ‘mediocre’ dan tidak boleh mengatasinya. Itu sebab dia
kekalkan mereka seperti Kamaruddin Jaafar, Kamaruddin Md. Noor, Annuar Tahir dan yang lain-lain yang tidak ternama
dan tidak berupaya memimpin.
Rasa tidak selamat atau ‘insecured’ juga menyebabkan Anwar perlu segera mengganti Mahathir.
Tukang Forward
Komen Din Com : Artikal ini kami terima daripada diri yang dikenali sebagai Tukang Forward, artikal ini berlainan dengan
artikal-artikal yang selalu.... Apakah reaksi anda ??