Rujukan Bahan :
Laman PRM
Hari Sabtu lalu, 6hb Mei 2000, Cili Api kebetulan menghadiri sebuah majlis mengingati arwah seorang teman tokoh pejuang yang meninggal dunia baru-baru ini. Majlis itu diadakan di Hyatt Saujana Resort di Jalan Lapangan Terbang Subang. Beberapa orang tokoh telah memberikan ucapan pada majlis yang dihadiri oleh sejumlah besar teman-teman keluarga arwah tersebut.
Sewaktu majlis sedang berlangsung, tanpa disedari oleh sebahagian besar para hadirin, Cek Det secara senyap-senyap masuk ikut pintu belakang dewan – dan secara senyap-senyap juga mengambil tempat duduk di barisan belakang, suatu kedudukan yang tentunya tidak biasa bagi beliau.
Mujurlah kehadiran Cek Det disedari Pengerusi majlis hari itu. Beliau mengumumkan kehadiran Cek Det kepada para hadiran, tetapi meneruskan majlis dengan mempersilakan pembicara seterusnya.
Setelah semua pembicara utama hari itu (empat orang tokoh semuanya) selesai berucap, maka pengerusi mempersilakan jika ada sesiapa di kalangan hadirin yang ingin meluahkan pengharagaannya akan tokoh yang dikenang itu. “Mungkin Perdana Menteri sudi memulakannnya …” berkata beliau.
Cek Det naik ke rostrum di atas pentas. “Saya tidak begitu pandai memberikan ucapan dalam majlis seperti ini, ” kata beliau. “Saya lebih biasa memberi ucapan politik. Saya datang hari ini kerana akan kenal baik baik akan arwah …” suaranya sebak dan terhenti. Beliau menangis terisak-isak dan hanya mampu mengucapkan terima kasih, sebelum turun meninggalkan pentas.
Cili Api tidak mengatakan gelagat Cek Det itu tidak ikhlas atau dibuat-buat. Malah Cili Api sungguh-sungguh terharu hari itu akan sikap kemanusiaan beliau dan kehalusan budi beliau meluangkan waktu menghadiri majlis mengingati arwah seorang teman. Dan Cili Api memang secara ikhlas turut merasakan kesayuan beliau hari itu.
Hanya Cili Api ingin memberi amaran kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO bahawa pada hari Sabtu lalu Cek Det telah membuktikan bahawa beliau masih berkemampuan mencetuskan tangisan di atas pentas secara spontan. Cili Api tidak mahu para perwakilan UMNO tidak bersedia kali ini, seperti yang telah terjadi beberapa kali sebelum ini.
Tambahan pula, nada ucapan beliau dalam pertemuan dengan para pemimpin kanan UMNO pada 9 Mei merupakan nada yang amat berkemugkinan mencetuskan tangisan spontan di atas pentas seperti itu.
Untuk pertama kalinya, dalam pertemuan dengan para pemimpin UMNO itu Cek Det nampaknya bercakap tentang kemungkinan UMNO mengalami nasib yang sama dengan Parti Kuomintang di Taiwan dan Parti Kongres di India. Malah beliau menyamakan masalah kredibiliti yang dihadapi UMNO kini dengan masalah yang sedang dihadapi parti pimpinan Mugabe di Zimbabwe.
Tanpa menyalahkan dirinya sendiri, dia mengatakan bahawa banyak kesan tingkah laku para pemimpin UMNO sendiri menyebabkan orang Melayu hilang keyakinan terhadap parti itu. Oleh yang demikian, perubahan segera mestilah dilakukan untuk memenangi kembali keyakinan mereka.
Namun Cek Det tetap menekankan bahawa faktor terbesar yang menyebabkan kemerosotan UMNO ialah persepsi rakyat bahawa beliau telah menganiaya Anwar Ibrahim dan kesan “fitnah dan dusta” yang ditabur PAS.
Lalu Cek Det menjelaskan bahawa beliau sendirilah yang sebenarnya menjadi mangsa. Beliau telah terpedaya oleh perawakan luaran Anwar yang berpakaian kemas dan mahal serta kelihatan warak – sehingga dia bertungkus lumus berusaha memantapkan kerjaya politik Anwar – sedangkan anak didiknya itu sebenarnya “busuk”.
Pada hemat Cili Api tema keruntuhan UMNO dan tema Cek Det menjadi mangsa sedih kelicikan sahsiah Anwar ini pastilah akan memainkan peranan penting dalam ucapan Presiden UMNO tahun ini. Bukankah dua tema ini merupakan bahan yang baik untuk memungkinkan tercetusnya nanti tangisan sedih secara spontan di atas pentas?
Untuk menyelamatkan UMNO, apakah yang lebih berkesan daripada simpati rakyat terhadap Presiden UMNO yang menangis tersedu sedan, tidak dapat menahan perasaannya kerana menjadi mangsa yang terpedaya oleh orang yang telah ditatang dan dididiknya begitu lama?
Alangkah indahnya drama ngeri ini …
Cili Api