Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Layanan Buruk Untuk Guru

Rujukan Bahan :
Laman PRM

Cili Api lihat pihak Kementerian Pendidikan masih belum lagi membuat keputusan yang muktamad lagi memuaskan berhubung guru-guru yang telah melanjutkan pelajaran semasa dalam perkhidmatan dan berjaya mendapat ijazah. Macam-macam kenyataan yang berbeza telah keluar daripada berbagai-bagai pihak. Tetapi semuanya bukan merupakan kenyataan atau arahan bertulis.

Kita semua sepatutnya mengangkat topi kepada guru-guru ini. Cili Api tahu ada di antara mereka yang terpaksa membuat bermacam-macam pengorbanan. Kebanyakan mereka mendapat hanya separuh gaji semasa belajar. Bahkan ada juga yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Ini merupakan satu tanggungan yang berat, terutama ke atas mereka yang sudah berkeluarga. Ketabahan mereka Cili Api sangat puji.

Memang baik jika guru-guru mempunyai cita-cita dan sanggup berusaha untuk meningkatkan pendidikan mereka. Dengan berbuat demikian, mutu mereka sebagai pendidik juga bertambah baik. Perkara seperti ini sepatutnya digalakkan dari awal-awal lagi oleh pihak pemerintah. Sepatutnya kementerian mengadakan rancangan yang tersusun untuk membenarkan guru-guru, kelompok demi kelompok, mengambil cuti dengan gaji penuh supaya dapat mengikuti kursus di universiti. Pelaburan untuk sumber manusia lebih menguntungkan bagi negara dan rakyat daripada pelaburan untuk projek mewah yang membazir.

Sekarang sudah timbul soal kenaikan gaji dan gred pula bagi guru-guru yang telah lulus dengan berusaha dan menanggung diri sendiri ini. Mula-mula pihak kementerian, melalui seorang pegawainya, menerangkan bahawa guru-guru yang hendak melanjutkan pelajaran mesti membuat janji mereka tidak akan menuntut kenaikan pangkat dan gaji. Ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan guru. Sekarang ada pula pegawai lain yang mengatakan syarat ini sudah diketepikan.

Cili Api harap Menteri Pendidikan tidak akan terus mendiamkan diri. Rasanya sudah cukup lama tempoh untuk beliau mengkaji perkara ini. Beliau harus mengeluarkan keputusan muktmad. Hendak iktiraf atau tidak guru-guru ini. Cili Api sendiri sudah jelas. Mereka patut diiktiraf. Oleh itu gaji dan gred mereka mesti disamakan dengan guru-guru berijazah yang lain. Mudah saja, tak banyak cerita.

Cili Api


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com