Kronologi Demonstrasi Terbesar di Kaherah, Mesir
-Penentangan Terhadap Penghinaan kepada Allah dan
Rasul-
Tidak ada tanda-tanda demonstrasi yang bermula petang
Ahad akan reda apatah lagi penunjuk perasaan bertekad
untuk tidak menghentikannya sehinggalah buku
kontreversi “Pesta Rumpai Laut” yang ditulis oleh
Haidar Haidar ditarik balik.
Berslogankan “Allahu Akbar!”, “Suara Azhar akan
bangkit!”, “Kami rela mati asal Islam tetap hidup!”,
“Dengan darah, dengan nyawa, kami perjuangkan Islam!”,
demonstrasi yang terbesar dalam sejarah Mesir ini
menjadi tragedi dalam negara itu.
Jumlah penunjuk perasaan mencecah 20,000 (dua puluh
ribu) orang dengan penyertaan bukan sahaja dari
mahasiswa Universiti al-Azhar, bahkan Universiti
Kaherah dan Universiti Ain Shams turut menghadirinya.
Pihak FRU menggunakan kekerasan untuk meleraikan
penunjuk perasaan termasuk dengan melepaskan 1200 gas
pemedih mata dan lebih 4200 das tembakan peluru getah.
Di samping itu, pihak FRU dengan sewenang-wenangnya
membelasah penunjuk perasaan sehingga tidak kurang
daripada 200 penunjuk perasaan mengalami kecederaan
yang serius.
Buku ini mengundang kemarahan rakyat apabila diterbit
dan diedarkan oleh Kementerian Kebudayaan di bawah
menterinya, Farouq Husni. Farouq Husni dalam
kenyataannya selepas itu menegaskan bahawa beliau
tidak akan menarik balik kenyataan ini.
Antara isi kandungan buku kontraversi adalah
menyamakan Allah dengan kura-kura yang merangkak di
padang pasir, menggelarkan Allah sebagai seniman yang
gagal, menuduh Rasulullah saw mempunyai 20 orang
wanita yang dimiliki secara perkahwinan yang sah,
kekasih dan mut‘ah, menuduh isteri para sahabat curang
sewaktu mereka keluar berperang dan sebagainya.
Ketua Pengarang akhabar as-Shaab, milik Hizbul ‘Amal
(Parti Buruh yang dikuasai oleh al-Ikhwan
al-Muslimun), Ibrahim Syukri mempertikaikan kedegilan
Farouq Husni untuk meletak jawatan dan beliau menggesa
agar kerajaan pimpinan Husni Mubarak memecat menteri
itu.
Demonstrasi yang tercetus pada petang Ahad, 7 Mei 2000
mula memuncak apabila pihak FRU menyekat penunjuk
perasaan di pintu utama Universiti al-Azhar di Madinat
Nasr, Kaherah sehingga menyebabkan mereka berkumpul di
Iskan Tullab (Penempatan Pelajar) lebih kurang
setengah kilometer dari situ.
Sekitar 11 malam, para penunjuk perasaan mula
bergabung dengan mahasiswa yang tinggal di asrama
pelajar apabila mereka mula turun dari penempatan
masing-masing secara beransur-ansur. Mereka mula
berkumpul di hadapan Kampus Universiti untuk Siswi
dengan jumlah yang mencecah 5,000 orang.
Pihak FRU kemudiannya telah menutup jalan utama dan
dalam masa yang sama para penunjuk perasaan mula
melaungkan, “Satu! Dua! Di mana Syeikh al-Azhar
(Sayyid Muhammad Tantawi)? Dengan darah, dengan nyawa,
kami perjuangkan Islam! Farouq Husni, Pengecut,
Pekerja Amerika!”
Pada jam 1.15 pagi, para penunjuk perasaan yang mula
bertambah lebih 10,000 orang, didatangi oleh Reaktor
Universiti al-Azhar, Dr. ‘Umar Hashim untuk bertemu
dengan mereka.
1.30 pagi, para penunjuk perasaan mula melimpah jalan
utama di hadapan Kampus Universiti untuk Siswa,
manakala ada yang berkumpul di hadapan pintu pagar
universiti dan di bangunan Tariq bin Ziad.
Dr. ‘Umar Hashim berucap di hadapan penunjuk perasaan
dan meminta mereka supaya bertenang serta bersurai.
Para penunjuk perasaan menyampaikan tuntutan mereka
supaya Farouq Husni dipecat dan dibicarakan. Dr. ‘Umar
Hashim berjanji untuk menghubungi pihak yang
berkenaan, tetapi para penunjuk perasaan menolak
kerana tidak mahu mendengar janji, sebaliknya mendesak
tuntutan itu dilaksanakan.
Para penunjuk perasaan kemudiannya mula bergerak ke
Masjid Nur al-Khattab di Hayyu Sabie’ dan jumlah
mereka mula mencecah 15000 orang. Dr. ‘Umar Hashim
turut bergegas ke sana dan meminta para penunjuk
perasaan untuk pulang ke kediaman masing-masing. Ada
di kalangan para penunjuk perasaan yang akur dengan
permintaan tersebut dengan pulang ke tempat tadi,
tetapi demonstrasi masih tetap tidak dapat dileraikan.
FRU Mula Mengganas
3.00 pagi, Isnin, FRU mula bertindak ganas dengan
melempar batu ke arah penunjuk-penunjuk perasaan
sehingga 12 orang penunjuk perasaan termasuk di
kalangan wanita cedera. Para penunjuk perasaan mula
berundur ke pintu masuk universiti.
Pada 4 pagi, Dr. ‘Umar Hashim masih berusaha untuk
memujuk para penunjuk perasaan untuk masuk ke dalam
kawasan universiti, tetapi gagal kerana para penunjuk
perasaan masih berada di jalan raya sehinggalah 5.30
pagi.
Para penunjuk perasaan mula berkumpul di hadapan
masjid universiti secara aman tetapi FRU tanpa
sebarang sebab yang boleh diterima melontar batu ke
arah penunjuk perasaan sekitar jam 11.30 pagi.
Kesannya lapan orang mengalami kecederaan dan para
penunjuk perasaan tidak dapat menahan sabar serta
bertindak balas dengan melontar batu juga ke arah FRU.
Keganasan FRU Pertama
FRU bertindak lebih ganas lagi dengan melepaskan
tembakan peluru getah dengan membabi-buta ke arah
penunjuk perasaan dan melepaskan gas pemedih mata
sehingga 50 orang penunjuk perasaan cedera dengan
pelbagai peringkat terutama FRU turut membelasah
mereka di bahagian muka dan perut.
Tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ini
berterusan sehingga jam 9 malam berikutnya. Jumlah gas
pemedih mata yang dilepaskan secara berturut-turut ini
mencapai lebih seribu kali sehingga lebih 450 orang
penunjuk perasaan rebah.
Keganasan yang Terbesar
Keganasan yang terbesar tercetus pada pagi Isnin
apabila 4000 orang penunjuk perasaan berarak ke Hayyu
Sadis selepas FRU menutup jalan dan melepaskan gas
pemedih mata dan peluru getah. Orang ramai yang
memerhati demonstrasi ini turut membantu para penunjuk
perasaan yang cedera.
Para penunjuk perasaan ini masih berkumpul di pusat
Hayyu Sadis (di hadapan Hospital Jarahat al-Yaum
al-Wahid (Cedera Sehari kerana para pesakit yang
dimasukkan ke sini hanya ditahan selama sehari) dan
mereka menuju ke Masjid Nur al-Khattab. Jumlah
penunjuk perasaan ini sekitar 10000 orang. Para
penunjuk perasaan berkumpul di Syarie’ Tayaran dengan
para pemandu kenderaan masing-masing
melambai-lambaikan tangan tanda sokongan.
Di hadapan Masjid Rabiatul Adawiah, empat buah kereta
perisai dan melepaskan tembakan peluru getah ke arah
penunjuk perasaan menyebabkan berpuluh-puluh
tercedera. Dalam masa yang sama, empat orang FRU turut
tercedera.
Darah di Rabiatul Adawiah
Para penunjuk perasaan mula berlindung di Masjid
Rabiatul Adawiah kerana FRU masih melepaskan tembakan.
Mereka yang tercedera mula dibawa oleh para penunjuk
perasaan dan orang ramai ke tempat yang jauh, serta
dalam masa yang sama pemandu-pemandu kenderaan
persendirian turut membantu mereka.
Kereta perisai FRU turut menyebabkan kesesakan lalu
lintas apabila mereka bergerak di lorang yang
bertentangan.
Para penunjuk perasaan cuba untuk kembali ke kampus
universiti, tetapi mereka dihalang oleh FRU dengan
tembakan peluru getah sehingga jalan tersebut bertukar
menjadi medan peperangan. Para penunjuk perasaan
lelaki cuba melindungi rakan-rakan mereka yang wanita
tetapi mereka dikepung oleh FRU dari segenap arah.
‘Peperangan’ berlangsung lebih kurang setengah jam
sehingga jam 4 petang sehinggalah sepuluh buah
ambulans tiba untuk memindahkan mereka yang tercedera
ke Hospital az-Zahra’, Hospital Hussein, Hospital
at-Ta’min dan Hospital Jarahat al-Yaum al-Wahid. Ada
di kalangan mereka yang tercedera enggan dihantar ke
hospital sebaliknya hanya mahu dihantar ke kampus
universiti. Di kampus universiti, para penuntut kuliah
perubatan al-Azhar sudah bersedia untuk memberikan
rawatan kecemasan kepada mereka yang tercedera.
Demonstrasi Kuliah Dakwah
Dalam masa yang sama, lebih kurang 2000 orang penuntut
Kuliah Dakwah turut berdemontrasi di hadapan Pintu
Utama Universiti. FRU melepaskan gas pemedih mata dan
menembak peluru getah sehingga para penunjuk perasaan
mula berlindung di Masjid az-Zahra’. Walau
bagaimanapun, FRU kemudian menyerbu masuk ke dalam
masjid dan membelasah para penunjuk perasaan di
dalamnya sehingga mereka terpaksa melarikan diri ke
Kuliah Pertanian dan kemudiannya ke pusat pentadbiran.
Tetapi FRU terus melepaskan tembakan ke arah mereka.
Tragedi Selasa
Beribu-ribu penunjuk perasaan masih lagi
berdemonstrasi di tengah-tengah kampus universiti dan
melancarkan mogok lapar. Mereka turut menolak usaha
diplomasi Kementerian Kebudayaan yang menghantar
Pembantu Pertama Menteri Dalam Negeri, Hakmadar
Kaherah, Muhammad Saif, Kolonel Abdullah al-Khauli,
Pembantu Menteri Dalam Negeri, Kolonel Muhammad
Sya’rawi yang juga merangkap Pengarah Keselamatan Am.
Pada hari Rabu, Ketua Jabatan Syariah, Profesor Doktor
Hamid Abu Talib, pensyarah di Jabatan Syariah,
Profesor Doktor Solah Zaidan dihantar untuk berunding
dengan para penunjuk perasaan, tetapi gagal.
Pada dua petang, terdapat cubaan mahasiswa luar untuk
bergabung dengan para penunjuk perasaan tetapi mereka
dihalang oleh FRU.
Usaha Dr. ‘Umar Hashim untuk memujuk para penunjuk
perasaan masih cuba dilakukan tetapi gagal kerana
mereka tetap menuntut Farouq Husni dipecat dan
dibicarakan.
FRU mengepung bandar universiti dan menghalang para
penunjuk perasaan daripada keluar dari situ.
Tahanan
Sejak demonstrasi meletus, jumlah para penunjuk
perasaan yang ditahan mencecah 270 orang. Dalam masa
yang sama, seramai 40 orang penunjuk perasaan ditahan
kerana cuba menyusup masuk ke kawasan kampus. Terdapat
juga dari kalangan para penunjuk perasaan yang
dibenarkan keluar oleh FRU turut ditahan apabila
mereka berbuat demikian.
Pihak keselamatan turut mengawasi pintu-pintu masuk
Kaherah dan menahan mereka yang membawa kad universiti
al-Azhar.
Anjing
FRU turut menggunakan 12 ekor anjing dalam demonstrasi
ini.
Fakta-fakta Demonstrasi
1. Kementerian Dalam Negeri menghalang para penunjuk
perasaan yang cedera daripada dimasukkan ke hospital.
Oleh itu, para doktor yang bersimpati turun ke tempat
demonstrasi untuk merawat mereka yang tercedera.
2. Rakan-rakan penunjuk perasaan di ma‘ahad (sekolah)
dan cawangan universiti mengutus surat-surat yang
menyatakan sokongan terhadap demonstrasi tersebut.
3. Demonstrasi ini turut disertai oleh mahasiswa dari
Universiti Kaherah dan Universiti Ain Shams.
4. Kaum wanita bersama-sama anak-anak mereka turut
membantu para penunjuk perasaan dengan menghulurkan
buah-buahan kepada mereka. Dianggarkan 128 buah
kenderaan persendirian dilihat membantu para penunjuk
perasaan.
5. Lajnah Kebangsaan dibentuk oleh para peguam untuk
membela mereka yang ditahan sepanjang demonstrasi.
Angka Dalam Demonstrasi
1. 1200 gas pemedih mata dilepaskan sejak Ahad lalu.
2. 4200 peluru getah ditembak secara membabi-buta.
3. 150 orang tercedera dalam Demonstrasi Rabi‘atul
Adawiah.
4. 46 buah trak polis dan 12 kereta perisai FRU.
5. 4 buah ambulans bersiap-sedia di hadapan pintu
masuk universiti.
6. 270 penunjuk perasaan ditahan.
7. 500 orang melancarkan mogok lapar selepas
demonstrasi reda.
sumber: akhabar el-shaab