Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kewartawanan Malaysia di Persimpangan Jalan

Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia dirayakan tanpa seri di Kuala Lumpur dalam dua majlis berasingan. Program anjuran Aidcom bersama Unesco pada 3 Mei semakin hilang serinya apabila tiada rumusan dapat dibuat terhadap dilema industri persuratkhabaran di Malaysia.

Namun, agak terubat kepedihan pengamal media dengan majlis di Petaling Jaya, Sabtu 6 Mei, anjuran Pusat Jurnalisme Independen (PUJI), apabila tuntutan agar sekatan dan kongkongan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ditarik segera dibuat secara lebih terbuka.

Teman saya, Pengarang Berita Malaysiakini.com, Fathi Aris Omar, tentu lebih bernasib baik kerana dapat merayakannya di Jakarta, di sebuah negara yang baru saja menikmati erti kebebasan akhbar yang sebenarnya. Khabarnya beliau menggesa agar seluruh wartawan rantau ini memberikan tekanan lebih agresif terhadap Perdana Menteri Mahathir bagi menyelamatkan sisa-sisa kebebasan di Malaysia.

Saya yang turut diundang dalam majlis forum bertajuk "Kewartawanan Malaysia di Persimpangan Jalan" tertarik dengan penjelasan wakil Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) selepas dikritik hebat ekoran sikap dingin pertubuhan itu terhadap isu-isu kebebasan media di negara ini.

"Kami kini sibuk dengan isu-isu kebajikan ahli, misalnya masalah kenaikan gaji dan yang berkaitan," tambahnya. Bagi saya, pengakuan jujur itu patut dihargai, sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran lebih jelas tentang skop perjuangan NUJ.

Ini bermakna wartawan tempatan tidak lagi dapat mengharapkan NUJ memberikan respons sewajarnya kepada isu-isu seperti pengharaman Detik, menghadkan keluaran Harakah daripada lapan kali sebulan kepada dua kali sebulan, dan sikap Kementerian Dalam Negeri yang sengaja melambat-lambatkan pembaharuan permit akhbar politik mingguan, Eksklusif.

"Kita tidaklah mengharapkan NUJ begitu bersungguh-sungguh berdepan KDN memperjuangkan kebebasan media, tetapi apa salahnya jika mereka dapat membuat kenyataan pendek mengesali sikap kerajaan yang terus menekan media alternatif di negara ini. Takkan itu pun tak mampu dilakukan NUJ?" soal Fathi Aris. Seorang pensyarah kajian sebaran am Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencadangkan satu persatuan bagi menggabungkan wartawan negara ini dibentuk atas sifat profesionalisme kewartawanan itu sendiri. NUJ atas asasnya sebagai sebuah kesatuan tidak dapat berfungsi sebaiknya bagi memperjuangkan isu-isu penting dalam dunia kewartawanan.

Selain NUJ, kini ada Persatuan Wartawan Melayu (PMW) tetapi kewujudannya juga tidak memberikan sumbangan besar dalam memperjuangkan isu-isu kebebasan media. "Sebaliknya PMW kerap dijadikan alat politik oleh pihak tertentu," dakwa seorang pemberita.

Sayang sekali, ada pemberita yang berpengalaman lebih 20 tahun dengan akhbar harian terbesar di negara ini tetapi masih tidak mengetahui bahawa hayat sesebuah penerbitan hanya dihadkan selama setahun oleh KDN dan perlu diperbaharui setiap tahun.

Dalam keadaan seumpama itu, bagaimana mungkin pengamal media dapat menyalurkan kesedaran kepada umum bagi menuntut suasana lebih bebas dan selesa dalam kerjaya mereka sedangkan mereka sendiri jahil dengan sekatan dan halangan yang dihadapi.

"Saya tidak menyalahkan wartawan arus perdana, tetapi untuk mengumpulkan wartawan media alternatif bagi membentuk kesatuan padu memperjuangkan kebebasan akhbar pun menghadapi kesukaran besar. Kita tidak boleh berdiam diri dan menunggu pihak lain menghulurkan tangan membantu. Kita perlu turun ke lapangan bagi bersuara dengan lebih lantang dan sistematik," kata seorang wartawan tanpa akhbar yang kini sibuk menyiapkan buku politik.

Bagi seorang lagi pensyarah komunikasi UiTM, pemansuhan Akta Mesin Cetak tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pengamal media negara ini sekiranya elit politik tetap mengawal mutlak dari segi penguasaan syarikat-syarikat gergasi media. "Saya cadangkan satu peraturan digubal bagi melarang parti-parti politik menguasai syarikat media di negara ini, baik secara langsung atau tidak langsung," tegasnya. Sememangnya cadangan itu wajar dipertimbangkan.

Selagi mana elit Umno menguasai secara langsung media khususnya akhbar-akhbar harian berbahasa Melayu, sehingga Majlis Tertinggi Umno yang menentukan jatuh bangun seseorang editornya. Lebih memalukan apabila Presiden Umno melayan akhbar-akhbar utama seperti lidah rasmi partinya. Lihat saja arahan yang dikeluarkan Mahathir kepada mereka supaya jangan membuat sebarang analisis terhadap pertandingan MT Umno 11 Mei depan.

Shaila Koshy, wartawan kanan The Star, turut mengeluh: "Saya merasa muak mendengar ada artikel yang tidak dapat disiarkan kerana ia mungkin menyebabkan Perdana Menteri tidak suka kepadanya." Dalam majlis forum berasingan pada 3 Mei yang dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Agung, Harun Hashim, gesaan Timbalan Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau, Cheng Chee Ken, agar Akta Mesin Cetak dimansuhkan perlu diberi perhatian lebih serius pihak kerajaan. Katanya, dalam suasana ledakan teknologi maklumat, akta seumpama itu sudah ketinggalan zaman dan tidak diperlukan lagi.

Kesedaran bahawa akta kolot warisan penjajah itu perlu dimansuhkan bukan hanya disuarakan wartawan alternatif tetapi turut dikongsi bersama oleh 951 wartawan akhbar-akhbar terkemuka tanahair. Menteri Dalam Negeri sewajarnya cukup prihatin dengan tuntutan sebulat suara pengamal media ini. Memekakkan telinga dengan jeritan suara karyawan media hanya petanda kepada keangkuhan dan Abdullah Badawi tentunya tidak mahu imej buruk itu terpalit kepadanya.

Bagi wartawan veteran, Mazlan Nordin, apabila kita menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, kita bukan hanya menyambut kebebasan untuk media tetapi juga kebebasan kepada pembaca untuk menerima sebarang maklumat.

Benar sekali, di negara ini bukan saja wartawan yang malang nasibnya tetapi nasib malang itu lebih dirasai oleh pembaca. Untuk mereka mengikuti perkembangan politik negara ini, khususnya percaturan di sebalik tabir, lebih mudah untuk pembaca mendapat maklumat dan analisis daripada majalah asing. Malah kini perwakilan Umno perlu membaca analisis Asiaweek bagi menyorot prestasi calon-calon Naib Presiden yang akan bertanding selepas akhbar harian dilarang berbuat demikian.

Saya pernah dipanggil pegawai KDN meminta supaya Tamadun menghentikan artikel-artikel yang mendedahkan pertembungan antara Mahathir dan Anwar Ibrahim pada sekitar awal 1995. Mereka menyifatkannya sebagai fitnah dan percubaan mengadu-domba pemimpin negara. Tetapi sejarah telah membuktikan di sebaliknya.

Selepas mengikuti dua majlis sempena hari kebebasan akhbar itu, saya merasakan perjuangan wartawan di negara ini masih panjang dan berliku. Lebih menyedihkan apabila Perdana Menteri masih dikekalkan sebagai antara sepuluh tokoh musuh utama akhbar.

Logiknya, tiada mana-mana pemimpin yang bersedia mengurangkan bidang kuasa mereka jika tiada pihak yang bersungguh-sungguh mendesaknya. Justeru, tanpa komitmen padu wartawan negara ini bersatu tenaga -- sekurang-kurangnya di peringkat awal ini berusaha membentuk sebuah persatuan wartawan yang tidak lagi terikat dengan hanya isu-isu kebajikan ahli-ahlinya - kebebasan media terus menjadi momokan.

Semua pihak tidak harus menyalahkan orang lain atas petaka ini. NUJ wajar terus berperanan dengan kaedahnya sendiri, begitu juga National Press Club atau apa saja pertubuhan berkaitan kewartawanan. Dalam masa sama wartawan alternatif seharusnya bertindak lebih nekad lagi.

Dan NPC sepatutnya turut mengutip tandatangan mereka bersama untuk menggesa agar Akta Mesin Cetak dimansuhkan. Saya merasakan teman-teman saya itu mungkin tidak keberatan menyokong usul penubuhan Majlis Akhbar Kebangsaan jika ia benar-benar bertujuan untuk membuang segala sekatan dan hambatan yang meletihkan ini.

Artikel Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 3 Mei 2000

AHMAD LUTFI OTHMAN
Bekas Ketua Editor DETIK
E-mail: lutfi_detik@hotmail.com

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com