Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
Sebuah laporan bersama yang dibuat oleh empat organisasi
undang-undang antara bangsa yang ternama berhubung kebebasan
kehakiman di Malaysia didapati "mempunyai asas yang kukuh." Menurut
laporan itu walaupun perlembagaan Malaysia memberi jaminan terhadap
kepentingan hak "tetapi kadang-kadang hak itu dinafikan makna dan
pemakaiannya kerana dibataskan oleh perlembagaan itu sendiri."
Tambahnya lagi, "sekiranya Malaysia benar-benar ingin ditadbir
secara adil berdasarkan peraturan undang-undang, maka perlembagaan
yang ada sekarang perlu diubah."
Empat kumpulan itu terdiri daripada Persatuan Peguam
Antarabangsa, Persatuan Peguam Komenwelth, Kesatuan Peguam Antara
Bangsa dan Pusat bagi Kebebasan Hakim dan Peguam, Majlis Perundangan
Antara Bangsa. Mereka telah menghantar misi ke Malaysia dalam bulan
April tahun lalu untuk bertemu pegawai undang-undang, peguam dan
juga pegawai kerajaan Malaysia.
Laporan yang bertajuk Justice in Jeopardy: Malaysia in 2000
(Keadilan dalam Bahaya: Malaysia dalam tahun 2000) itu benar-benar
menghentam. Ia meneliti hubungan di antara kerajaan, badan kehakiman
dan Majlis Peguam yang mewakili peguam-peguam di Malaysia dan
mendapati dalam kebanyakan kes tidak timbul soal kebebasan badan
kehakiman. Akan tetapi dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan
politik dan ekonomi pihak kerajaan, masalah ketidakbebasan badan
kehakiman didapati begitu serius.
Laporan itu turut mengulas mengenai perbicaraan bekas Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa kes high
profile yang lain. Menurut kajian mereka, kejadian-kejadian yang
berlaku lebih sedekad lalu merupakan punca kepada masalah yang wujud
sekarang.
Menurut laporan itu, sebelum 1988, terdapat peruntukan yang
memisahkan kuasa di antara eksekutif dengan badan kehakiman di dalam
perlembagaan Malaysia. Tetapi pada 1988, selepas berlaku beberapa
kejadian di mana keputusan hakim didapati tidak memihak kepada
kerajaan, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah bertindak balas
dengan mengkritik badan kehakiman secara terbuka. Beberapa orang
hakim digantung tugas dan tiga orang daripadanya telah dibuang
termasuk ketua hakim atau hakim besar. Perlembagaan dipinda untuk
menghapuskan "kuasa yang ada pada mahkamah," dan ini, menurut
laporan itu "menganggu konsep pemisahan kuasa dan menjejaskan
keupayaan badan kehakiman untuk melaksanakan hak-hak asasi. Terdapat
kecenderungan untuk menjadikan badan kehakiman sebagai senjata pihak
pembuat undang-undang dan alat kepada eksekutif."
"Serangan terhadap badan kehakiman…membuatkan Malaysia berada
dalam keadaan bermasalah dan sehingga kini masih belum pulih,"
sambung laporan itu. "Tanggapan umum semakin meluas… untuk kes yang
melibatkan kepentingan kerajaan, badan kehakiman tidak bebas."
Menurut laporan itu lagi, selepas kejadian 1988 itu, "hubungan di
antara Majlis Peguam dengan badan kehakiman menjadi sangat tegang,"
Majlis Peguam telah meluluskan undi tidak percaya dan menolak
sebarang hubungan dengan ketua hakim negara yang baru dilantik. "Apa
yang berlaku," menurut laporan itu, "mewujudkan satu keadaan yang
menyemarakkan lagi serangan dan rasa tidak percaya. Kerajaan
merasakan Majlis Peguam telah menjadi seperti parti pembangkang,
oleh itu kegiatannya mesti dibatasi. Para hakim pula merasakan
bahawa ahli Majlis Peguam…semuanya nampak bersedia untuk menjatuhkan
maruah badan kehakiman dengan membuat kenyataan terbuka tanpa
kebenaran kepada media."
Untuk memperbaiki hubungan ini, laporan itu mendesak peguam dan
hakim "supaya saling hormat menghormati sesama sendiri" dan
menyarankan supaya mensyuarat kerap diadakan "bagi membincangkan
perkara yang mempunyai kepentingan bersama." Laporan itu juga
mengatakan bahawa "tindakan memenjarakan peguam kerana menghina
mahkamah ketika menjalankan tugas profesional hendaklah dijadikan
tindakan terakhir yang patut diambil dan ia diambil hanya apabila
keadaan benar-benar mendesak."
Mengenai hubungan di antara esekutif dengan badan kehakiman,
laporan itu mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Perkhidmatan
Kehakiman untuk mengesyorkan perlantikan hakim. Ia juga mencadangkan
supaya hakim dipilih di kalangan ahli Majlis Peguam.
Laporan 121 mukasurat itu diakhiri dengan berpuluh-puluh cadangan
termasuk cadangan agar perlembagaan diubah dan pemansuhan beberapa
akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga Akta
Hasutan.
Paragraf yang barangkali paling menyakinkan dalam laporan itu
tertulis begini "Eksekutif seharusnya mengiktiraf kebebasan badan
kehakiman, kedudukan badan kehakiman dalam perlembagaan dan memiliki
kefahaman yang betul mengenai penglibatannya. Kegagalan eksekutif
yang sangat berkuasa memahami perkara ini, merupakan faktor penting
mewujudkan keadaan yang tidak memuaskan."
Perjalanan perundangan di Malaysia akan menjadi lebih baik jika
ia bersedia mengkaji dengan cermat dan melaksanakan cadangan yang
dibuat oleh laporan ini walaupun bukan keseluruhannya. Selagi hal
ini belum berlaku, keadilan di Malaysia akan terus diadili di
mahkamah pandangan umum masyarakat antara bangsa.
Oleh: Frank Chin
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN
MEDIA"