Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
Apabila saya mula terbabit aktif dengan dunia penerbitan,
khususnya sebagai penerbit, saya seboleh mungkin tidak mahu
bertembung dengan pihak paling berkuasa dalam dunia ini, yakni
Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sebabnya, di tangan mereka, permit
penerbitan boleh diberikan, dan ia boleh ditarik balik secara
mengejut tanpa perlu memberikan sebarang sebab.
Kuasa yang besar pada Menteri Dalam Negeri membuatkan setiap
penerbit sedaya mungkin cuba mengelak dari menimbulkan pertentangan
dengannya. Kalau boleh apa saja arahan dan peraturan akan dituruti
tanpa dolak-dalik lagi. Semuanya akan menjadi pak turut dan pak
angguk. Jika cuba melawan atau mempersoalkan, bersedialah menanggung
risiko buruk.
Ketika saya hanya menulis dan menerbitkan buku-buku politik atau
makalah tidak berkala, saya mungkin tidak perlu memeningkan kepala
memikirkan "hantu KDN" ini. Setakat ini buku-buku politik tidak
memerlukan permit penerbitan (PP). Penulis perlu lebih sentisif
terhadap kandungannya supaya tidak mudah disaman malu pihak
tertentu, bukannya KDN.
Justeru, menulis buku agak lebih bebas dan terbuka. Namun, tidak
banyak pencetak yang bersedia mencetak buku kita jika persembahannya
nampak memihak kepada pembangkang ataupun mengkritik hebat
pemerintah. Agak kerap juga saya terpaksa beralih dari satu syarikat
percetakan kepada syarikat yang lain. Ada kalanya, belum sempat buku
saya habis dicetak, pencetak tidak sanggup meneruskan kerjanya
kerana bimbang KDN akan menarik balik atau membatalkan lesen
percetakan
Dengan itu, selepas saya membaca temubual Tamadun Mei 2000 dengan
Ketua Penolong Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan, KDN, Tengku
Mahmood Tengku Ismail, saya cuba memendam rasa khususnya selepas
menatap bait-bait ayat mengenai Detik yang sudahpun diharamkan itu.
Pengharaman Detik bagai kisah duka seorang ibu yang kematian anak
tunggal yang baru berumur setahun. Segala kasih sayang tertumpah
buatnya. Begitulah keprihatinan kami terhadap Detik. Menghadapi
saat-saat kematiannya yang tragis membuatkan kami terkedu, menahan
ratapan dan menyembunyikan tangisan. Namun api kemarahan sukar
dibendung.
Bagi Tengku Mahmood, KDN tidak pernah menyenarai-hitamkan
mana-mana penerbit atau pengarang. Saya secara peribadi menyambut
baik jaminan itu dan mahu ia dibuktikan. Pengalaman saya sepuluh
tahun dulu mungkin sudah dilupai Tengku Mahmood. Dua kali permohonan
saya mendapatkan permit majalah bulanan isu-isu semasa ditolak
mentah-mentah. Saya langsung tidak ditemuduga seperti kebiasaannya.
Memang benar pihak KDN mengambil masa singkat untuk menolak
permohonan saya itu. Kes terbaru membabitkan permohonan oleh
syarikat yang menerbitkan makalah politik, suntingan Suria Janib.
Berkali-kali mereka memberikan nama baru disebabkan nama asal
sudahpun dipohon oleh penerbit lain. Namun akhirnya jawapan tetap
sama, ditolak tanpa sebarang alasan. Tentunya pihak penerbit
berkeinginan untuk mengetahui sebab-musabab permohonan mereka
ditolak sebegitu rupa.
Saya rasa Tengku Mahmood tidak mempunyai maklumat lengkap
terhadap penyelenggaraan pihak KDN terhadap majalah Detik. Sepanjang
saya menjadi Ketua Editornya (yang kemudiannya dimaklumkan bahawa
perlantikan saya itu adalah satu kesalahan besar pada kacamata KDN),
sekalipun kami tidak pernah dipanggil oleh KDN, sama ada untuk
diberikan amaran ataupun mengadakan perbincangan. Saya ulangi, tidak
pernah sekalipun kami dijemput ke pejabat KDN!
Sedangkan semasa saya menjadi Editor Tamadun dulu,
sekurang-kurangnya dua kali KDN memanggil saya ke pejabatnya, dan
kami diberikan amaran lisan, yang kemudiannya disusuli amaran
bertulis. KDN membutirkan dengan jelas isu-isu yang tidak boleh kami
sentuh ketika itu. Tetapi sepanjang setahun saya dan pemilik Detik
menjalankan majalah ini, pihak KDN langsung tidak pernah menjemput
kami bagi membincangkan sebarang masalah berbangkit ekoran
penerbitan Detik.
Ada pun surat amaran yang kami terima berkaitan kandungan majalah
Detik yang dikatakan terlalu banyak menyiarkan politik pembangkang,
kami segera menjawab dan memberikan penjelasan. Kami memohon diberi
sedikit masa untuk mengada ubah-suai. Berbetulan pula, ketika itu
menjelang pilihan raya umum ke -10, tentunya ia tidak dapat dirombak
dalam kadar segera khususnya bagi menjaga kehendak pasaran.
Sesungguhnya kami hanya sempat menerbitkan Detik edisi pilihan raya
selepas mendapat amaran berkenaan. Tapi yang menjadi kemusykilan
besar kami ialah sekiranya kandungan Detik menjadi masalah besar
buat KDN, mengapa pula permitnya telahpun diperbaharui pada 9
Disember 1999. Atas alasan apa permit tersebut dikeluarkan selepas
ia tamat pada 30 November 1999.
Tidak lain tidak bukan ia menjadi bukti nyata pembabitan elit
politik Umno yang mendesak agar permit yang sepatutnya tamat pada 30
November 2000 itu ditarik balik. Tengku Mahmood jangan lupa bahawa
beliau sendiri memaklumkan secara lisan kepada saya bahawa arahan
itu datangnya daripada Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi.
Mengenai isu Ali-Baba, ia sebenarnya telahpun dijelaskan secara
bertulis oleh pemilik Detik kepada KDN. Malangnya penjelasan itu
langsung tidak diendahkan KDN. Awal-awal lagi mereka sudahpun
menjatuhkan hukum, kemudian baru dibicarakan.
Cuma saya ingin bertanya Tengku Mahmood, siapa sebenarnya
pemilik permit akhbar tabloid Al-Haq, yang menjadi lidah rasmi Umno
Terengganu, yang dirasmikan sendiri Menteri Dalam Negeri. Bagaimana
pula status sebuah majalah bulanan terbitan Pusat Islam yang
diurusterbitkan pihak lain. Saya mempunyai banyak lagi maklumat
tentang hal ini.
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN
MEDIA"