Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Umno: Hanya kerana seorang itu?

Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition

Tanda-tanda keruntuhan Umno semakin hari semakin jelas dan ketara. Memang. Umno sedang runtuh. Satu demi satu peristiwa yang meresah dan menggundah-gulanakan para pemimpin atasan Umno berlaku. Satu demi satu, tak habis-habis, sejak pecahnya gelembong ekonomi negara pada Julai 1997.

Itulah satu-satunya pukulan paling teruk pernah jatuh ke atas muka Dr Mahathir sejak dia menjadi Perdana Menteri. Kegawatan ekonomi 1997 itu. Tak semena-mena. Seperti penumbuk yang tepat dihentak ke hidungnya. Berbinau pandangan. Pening kepala. Dia tak mahu percaya. Maka terhoyong-hayanglah jalannya selepas itu. Memang tak betul dilihat orang. Tapi digagahinya jua berjalan, sehinggalah kini.

Anwar Ibrahim timbalannya dulu itu segera nampak jalannya Mahathir yang terhoyong hayang dan terseradung macam-macam benda di sekitarnya. Anwar yang sayangkan 'bapa angkat politik'nya itu cuba membantu supaya negara dan harta negara tidak rosak jahanam diseradung oleh Mahathir yang sedang kepedihan terhoyong hayang; dan supaya 'bapa angkat'nya itu pun dapatlah berjalan betul dan lurus semula.

Di situlah Anwar 'tersilap', atau di situlah sebenarnya orang-orang Umno mula menampakkan belang Umno sebenar, yang sedang membusuk di dalam. (Shahnon Ahmad sempat ternampak belang yang sedang membusuk itu lalu dia terkejut dan melatah. "Puk*Mak", katanya. Langsung terhasillah novel SHIT yang menggemparkan.)

Bukan Anwar tersilap sebenarnya. Anwar cuba membantu Mahathir yang sedang cedera dan terseradung macam-macam harta negara itu. Orang lain pun nampak keadaan Perdana Menteri yang macam harimau kena tembak itu. Tetapi tidak ada seorang pun berani hendak mendekatinya untuk membantu. Takut terkena libas atau cakar dek kukunya yang tajam dan berbisa. Walaupun Anwar telah tampil dan sedang bergelut untuk membantu Mahathir, orang lain masih tidak ada seorang pun berani untuk turut sama berbuat demikian. Kalau ada pun yang berani hanya dari golongan mereka yang belum layak berbuat demikian.

Kasihan Anwar bergelut seorang diri. Orang lain (yang layak) bukan sahaja tidak membantunya, malah mereka turut sama melibas dan mencakar hingga dia terhumban ke dalam gaung yang memenjarakan dia daripada politik negara. Namun suaranya terus bergema dari gaung yang dalam itu, dan terus menghantui mereka yang berniat busuk terhadapnya.

Itulah 'belang' Umno yang busuk. Apabila Presidennya tercedera dan jalannya terhoyong hayang menyeradung segala harta negara di sekitarnya, tak ada seorang pun berani membantu dan bertindak menyelamatkan. Apalagi setelah melihat Anwar menerima nasib malang sedemikian teruk. Semuanya patuh sahaja kepada harimau luka itu. Tak kiralah walau harta negara rosak binasa pun. Tak kiralah walau rakyat ditipu dan dizalimi. Apa pun tak kiralah, asalkan Presiden si harimau luka itu tidak melibas, mencakar dan membaham dia.

Itulah 'belang' Umno yang busuk lagi membusukkan. Ketakutan kepada presiden, dengan ketakutan yang amat sangat. Ketakutan yang melampaui segala-galanya. Apabila ketakutan itu yang mencorakkan dan menentukan perjalanan sebuah organisasi politik yang bernama Umno, maka bayangkanlah… apa maknanya.

Pedulilah sejarah Umno yang sarat dengan perjuangan dan idealisme bangsa. Pedulilah perlembagaannya yang menjaminkan keluhuran itu ini dan sebagainya. Apabila ketakutan itu yang menjadi faktor penentu segala-galanya pada hari ini, maka fikirkanlah apa makna sebenarnya.

Umno telah kehilangan makna. Umno telah kehilangan dirinya. Umno telah kehilangan segala-galanya kecuali satu, iaitu presidennya yang sangat berkuasa dan menakutkan ahli-ahli sehingga semuanya terpaksa mengeluarkan suara yang sama serupa dengan presiden. Inilah Umno hari ini. Orang Melayu habis jadi takut untuk bersuara melainkan suara yang menyokong Dr Mahathir, walaupun hati dan fikiran mereka sendiri tidak mahu menyokong Dr Mahathir.

Apa sudah jadi orang Melayu hoi!… Apakah kerana hanya seorang manusia maka segala-galanya harus dikorbankan untuknya? Hanya kerana seorang manusia yang bernama Dr Mahathir Mohamad.

Orang Umno hari ini sampai tak boleh nak membayangkan bagaimana kalau Dr Mahathir tak ada. Fikirkanlah itu, betapa rosak jadinya Umno, hanya kerana seorang manusia!

Namun masih lagi terdapat segelintir ahli Umno yang berfikir bahawa Umno tidak rosak. Yang rosak hanya beberapa kerat pemimpin yang di atas itu sahaja. Pemikiran inilah yang menyebabkan mereka terus memberi undi lagi kepada BN dalam pilihanraya lalu.

"Kita bukan undi Dr Mahathir," kata mereka, "kita undi Umno. Dr Mahathir tak akan kekal selamanya menjadi Presiden Umno, tetapi Umno akan terus kekal untuk bangsa Melayu. Umnolah yang akan terus menjamin masa depan anak cucu kita nanti."

Itu hujah segelintir ahli-ahli Umno di peringkat bawahan. Sedih juga saya mendengar mereka berhujah demikian. Betullah hujah mereka itu, bukan tak betul. Tetapi yang membuatkan saya sedih ialah kerana mengenangkan mereka itu masih tidak sedar bahawa Umno yang ada hari ini bukan lagi Umno seperti yang mereka fikirkan itu. Umno seperti yang mereka fikirkan itu sudah tidak ada lagi.

Umno yang ada dalam fikiran mereka itu ialah Umno di zaman Datuk Onn, Umno di zaman Tunku, Umno di zaman Tun Razak dan Umno di zaman Tun Hussein. Umno di zaman Mahathir-Daim ini sudah tidak macam itu lagi. Sudah banyak berubah. Mahathir-Daim yang telah menjadikan negara Malaysia sebagai 'Perbadanan Malaysia' (Malaysia Incorporated), dan banyak melakukan penswastaan dalam pentadbiran 'harta' negara, juga telah menjadikan Umno seolah-olah suatu perbadanan yang diswastakan kepada mereka.

Dalam dasar perbadanan dan penswastaan, yang penting bukannya rakyat dan kebajikan rakyat. Yang penting ialah pelabur dan keuntungan pelabur. Maka demikianlah juga Umno hari ini. Rakyat dan kebajikan rakyat tidak penting lagi bagi Umno hari ini. Yang penting ialah pelabur dan keuntungan pelabur. Siapakah pelabur di dalam Umno? (Maaf, saya tak mahu jawab soalan ini. Anda carilah sendiri jawapannya.)

Yang sebenarnya Umno sedang mengalami proses keruntuhan. Dalam buku saya Mahathir (Ekonomi) Perang 'Aqidah, (terbit menjelang pilihanraya 1999) saya telah banyak bincangkan perkara ini. Salah satu babnya diberi tajuk "Umno sedang runtuh. Tunggu apa lagi!"

Memang Umno sedang runtuh. Barangkali orang-orang yang duduk di dalam Umno tidak dapat lihat perkara ini. Tetapi orang-orang yang duduk di luar, seperti saya, dapat melihatnya dengan jelas dan nyata. Satu demi satu peristiwa yang menyebabkan keruntuhannya telah berlaku. Macam-macam peristiwa. Ia menunjukkan bahawa proses keruntuhan itu memang tidak dapat dibendung dan dikawal lagi.

Kita perhatikan para pimpinan Umno peringkat atasan berikhtiar berhempas pulas dengan bermacam-macam cara untuk membendung dan mengawal daripada berlakunya peristiwa-peristiwa yang memberi kesan negatif kepada Umno dan kerajaan BN. Tetapi boleh dikatakan semua usaha dan ikhtiar mereka itu satu pun tidak ada yang berkesan. Menunjukkan bahawa keruntuhan itu memang sedang berlaku, dan tak mungkin dibendung atau dikawal lagi.

Lihat sahajalah isu fitnah. Pihak Umno/BN mengatakan mereka yang difitnah, padahal orang ramai dapat melihat dan mengalaminya sendiri. Orang ramai tahu siapa yang sebenarnya difitnah dan siapa yang sebenarnya membuat fitnah. Walaupun mereka mempergunakan segala jentera yang ada, termasuk media-media utama yang sepatutnya cukup berpengaruh, untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka difitnah, namun kebanyakan orang Melayu tahu siapa yang sebenarnya difitnah.

Mereka cuba menyekat rakyat daripada membaca akhbar Harakah, misalnya, dengan mengenakan pelbagai syarat dan peraturan supaya akhbar itu sukar diperolehi, namun orang ramai terus juga mencari Harakah. Walaupun mereka mengatakan Harakah banyak menyiarkan berita palsu dan fitnah, kebanyakan rakyat lebih mempercayai Harakah juga daripada akhbar harian.

Dan akhir-akhir ini fokus mereka ditumpukan pula kepada masjid. Kononnya pihak pembangkang selama ini mempergunakan masjid untuk memfitnah dan menghasut rakyat supaya membenci pemimpin Umno/BN. Kini mereka mulai berusaha untuk mengawal masjid daripada di'masuki' oleh pihak pembangkang, khususnya PAS.

Saya telah melihat trend ke arah ini sejak sebelum pilihanraya lalu lagi. Bahawa faktor paling utama yang boleh mempengaruhi dan menentukan sikap dan pemikiran orang Melayu ialah 'aqidah mereka. Oleh itu pertentangan antara Umno dan PAS tidak akan berakhir selagi PAS tidak diserang pada dasar 'aqidahnya. Dr Mahathir faham perkara ini, dan dia telah beberapa kali membuat serangan ke atas dasar 'aqidah PAS.

Saya telah menganalisis kelemahan serangan Mahathir itu di dalam buku Mahathir (Ekonomi) Perang 'Aqidah. Malangnya serangan Mahathir yang menyentuh soal 'aqidah tidak disambut oleh para general dan leftenan Umno pada waktu itu. Mereka tidak pandai untuk menggunakan senjata 'aqidah. Kalaulah mereka menyambutnya dulu, seperti sekarang, Umno pasti menerima kekalahan lebih teruk dalam pilihanraya lalu.

Kini entah kerana Mahathir memaksa mereka supaya mengangkat senjata 'aqidah itu atau kerana apa, kita dapati mereka tiba-tiba berani mengambil senjata itu. Memang tidak ramai general dan leftenan dalam Umno yang pandai menggunakan senjata 'aqidah. Maka terpaksalah Mahathir memungut juga general dan leftenannya yang telah gugur di medan perang pilihanraya lalu, untuk mengepalai serangan baru ini.

Akan berjayakah Hamid Othman dan Zainal Abidin Kadir melaksanakan tanggungjawab berat ini untuk Dr Mahathir dan pelabur-pelabur dalam Umno? Tidak syak lagi, mereka pasti gagal.

Namun saya tidak bimbangkan siapa akan menang dan siapa akan kalah dalam perang 'aqidah antara Umno dan PAS ini. Apa yang paling membimbangkan saya ialah sekiranya permainan isu masjid dan 'aqidah ini sampai ke suatu tahap yang puncak, yang sensitif, ada perkara lain yang mungkin akan berlaku, yang akan merugikan kedua-dua pihak - Umno dan juga PAS.

Oleh yang demikian, bagi mengakhiri tulisan ini saya sekali lagi mengulangi seruan yang telah dibuat di atas tadi: "Apa sudah jadi orang Melayu hoi!… Apakah kerana hanya seorang manusia maka segala-galanya harus dikorbankan!"

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com