Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
3 Mei diiktiraf sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Ia
dirayakan oleh para wartawan dan pengamal media serta seluruh
individu yang prihatin dengan makna kebebasan sejagat dan hak asasi
universal. Kebebasan bagi sesebuah akhbar besar pengertiannya
terhadap perjalanan demokrasi bagi sesebuah negara. Tanpa kebebasan
media, inti demokrasi telah dicabuli.
Akhbar yang bebas tidak perlu ditakuti, apatah lagi digeruni. Ia
adalah teman sejati bagi pemerintah yang adil, pemimpin yang menolak
rasuah dan rakyat yang prihatin dengan ketelusan. Media yang bebas
akan membuat laporan, analisis dan berita yang menguntungkan dan
membawa sumbangan besar kepada sesebuah negara.
Hanya pemimpin yang korup, rasuah, pilih kasih, mengagihkan
kekayaan sesama kroni, mengetepikan suara kebenaran, mementingkan
suku-sakat dan memuaskan nafsu serakah sahaja yang takutkan
kebebasan media. Pemimpin seumpama itu akan menghalang dan
mengongkong akhbar. Mereka bimbang akhbar yang bebas boleh menggugat
kedudukan dan kuasa yang ada, serta mempengaruhi rakyat untuk
menumbangkan mereka.
Justeru, pelbagai akta yang menyekat kebebasan akhbar
diperkenalkan di seluruh dunia. Akta drakonian yang zalim itu akan
memastikan semua media diterbitkan untuk menjadi pak angguk dan mak
turut kepada pemerintah. Sesiapa yang melanggar peraturan purba itu
akan dikenakan tindakan keras dan kejam. Jalan pintas, permit
penerbitan akhbar berkenaan akan ditarik balik serta-merta.
Di Malaysia, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dilihat oleh semua
wartawan sebagai penghalang besar kepada perkembangan media negara
ini. Ia bagai mimpi ngeri bagi wartawan yang bercita-cita besar
dalam kerjaya mereka. Tersilap membuat laporan buruk padahnya.
Begitu juga kepada penerbit kecil. Mereka bekerja dalam gelap pekat
hutan rimba. Tersalah mengkritik, melayang permit yang terpaksa
dimohon setiap tahun.
Justeru, kami bersama 951 wartawan akhbar arus perdana lainnya
menuntut agar ruang kebebasan bersuara di negara ini diperluaskan
lagi. Sempadan dan batasannya tentu ada. Namun ia harus berpaksikan
prinsip-prinsip hak asasi sejagat dan tidak boleh diberikan tafsiran
menurut kepentingan politik secara sewenang-wenangnya. Yang pasti,
Akta Mesin Cetak mesti dimansuhkan segera. Bagi sebuah negara yang
bercita-cita mahu menjadi negara maju secepat mungkin, undang-undang
rimba seperti itu tidak diperlukan lagi.
Tanpa kebebasan, kami wartawan menjadi insan yang lebih menderita
dan tersiksa berbanding nasib Sasterawan Negara, A. Samad Said.
Namun untuk meninggalkan dunia kewartawanan -- seperti tindakan
Samad yang bersara dari dunia sastera ekoran rasa tidak puas hati
dengan birokasi -- bukan langkah bijak. Sekali menjadi wartawan,
sampai hembusan nafas terakhir, dunia penuh sengsara ini akan
dinikmati.
Pengarang Al- Wasilah
Artikel Ini Di Petik Dari Majalah "Al-Wasilah" Bulan Mei
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN
MEDIA"