Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Memahami budaya Tarzan dan Xena?

Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition

Fatwa ulama sepakat menegaskan memakai tudung - menutup rambut - itu wajib bagi wanita Islam yang mahu beriman dengan Allah SWT.

Malangnya unsur-unsur tidak sihat cuba ditanamkan oleh mereka yang tidak senang hati dengan budaya menutup aurat ini. Antaranya, menekankan kepentingan niat mengatasi segala peraturan dalam Islam.

" Pakai tudung tidak penting yang penting niat kita, apa gunanya memakai tudung kalau masih berbuat jahat?" kata-kata yang selalu digembar-gemburkan.

Memang kurang berguna kalau memakai tudung masih buat jahat tetapi niat dan peraturan tidak sama. Umpamanya, bolehkah kita berjogging di Tasik Titiwangsa dalam keadaan bogel? Beranikah kita? Bukankah niat berjogging itu baik untuk menjaga kesihatan tetapi baikkah berbogel dengan alasan panas, lebih selesa, berangin, peluh senang keluar, baju seluar tidak basah dan senang kencing!

Kita patut berterima kasih pada pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak membenarkan kita berjoging dengan berbogel dan ini juga merupakan satu contoh niat dan peraturan tidak sama. Tidak ada orang yang komen sebab tidak dibenarkan berjoging dengan berbogel.

Paling menyedihkan, tafsiran ayat al Quran tentang suruhan memakai tudung itu juga diputar belitkan kononnya khas ditujukan untuk orang Arab sahaja secara tidak langsung bermaksud pakaian menutup aurat orang Arab bukan budaya yang dituntut dalam Islam. Kalau begitu tafsirannya, apahal pula dengan suruhan solat, puasa, zakat yang banyak tercatat dalam Al Quran? Untuk orang Arab sahajakah kerana ayat-ayat al Quran diturunkan di Tanah Arab juga - satu agenda orientalis yang perlu kita fahami?

Al Maududi ada menggariskan tentang tiga hubungan penting manusia yang perlu dijaga; Hubungan dengan Tuhan, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam sekitar. Hubungan dengan Tuhan melibatkan rukun Islam dan rukun Iman tetapi bagaimana pula hubungan dengan manusia?

Mahu tidak mahu, kita mengakui benarnya pendapat yang mengatakan orang yang tidak memakai tudung telah memberi dosa secara percuma kepada orang yang melihatnya. Mereka bukan sahaja berdosa pada Tuhannya tetapi juga berdosa kepada manusia lain.

Alasannya mudah. Mustahil bagi orang Islam yang mahu memelihara pandangannya terpaksa menundukkan kepala atau memejamkan mata sepanjang berjalan, memandu dan dalam apa juga kegiatan seharian mereka? Terlanggar tiang, benjollah dahinya.

Begitu juga dengan `kerugian besar' yang ditanggung oleh suami-suami atau bakal suami-suami apabila kecantikan isterinya turut ditatapi oleh orang lain. Sia-sialah mereka membelanjakan wang hantaran yang tinggi dan mas kahwin yang mahal kalau yang diperolehi sekadar kepuasan nafsu serakah semata-semata sedangkan kelebihan isteri yang menjadi hak suami - rambut yang cantik, leher yang jinjang, bulu mata yang lentik, kulit yang putih, senyuman yang manis dan berbagai-bagai lagi keindahan dari hujung rambut sampai hujung kaki - dibiarkan begitu sahaja

Kecantikan isteri disepahkan di kompleks-kompleks membeli belah, pasar malam mahupun di pejabat-pejabat swasta dan kerajaan. Keseksian isteri menjadi jamahan dan santapan mata orang ramai umpama satu barang yang dijual murah.

Di manakah untungnya, jika keindahan yang disahkan milik kita itu turut menjadi milik orang lain yang tidak perlu mengeluarkan langsung wang hantaran dan mas kahwin? Berbanggakah seorang suami seandainya kenalan rapat memberi tahu padanya bahawa sesuatu yang ada pada isterinya cantik atau besar dan memenuhi kehendak nalurinya dan secara ikhlas dia mengakui tergila-gilakan isterinya?

Seorang insan yang normal pasti akan memberi `buah tangan' kepada kenalan rapatnya itu dan rakannya itu mungkin berhari-hari terlantar di hospital, patah giginya, gugur sebelum mencapai usia tua!

Dalam hal ini, wajarkan teman baik kita itu dipersalahkan kerana meluahkan rasa hatinya dari apa yang dilihatnya sedangkan kita sendiri tidak menghargai malah tidak tercuit rasa bersalah mengabai dan membiarkan keindahan isterinya menjadi tontonan umum? Orang lain sahaja salah kita tidak!

Begitu juga dalam konteks yang sama bagi ibu bapa yang membiarkan anak gadis mereka mendedahkan kepala dan tubuh sesuka hati. Anehnya, apabila hari pertunangan tidak pula mereka malu meletakkan hantaran yang tinggi pada bakal besan dan menantu sedangkan keistimewaan dan keindahan yang ada pada anaknya tidak langsung dijaga atau dilindungi dengan sebaiknya. Kita tidak tahu apa asas sebenar penilaian yang diberi dalam kotak fikiran mereka.

Peraturan Islam itu memang cukup indah kalau kita mahu menghayatinya. Tiada cacat celanya sekalipun dalam persoalan memakai tudung kepala yang mungkin dianggap permasalahan kecil dan remeh bagi sesetengah orang.

Tidak ada ruginya bagi wanita yang memakai tudung. Memakai tudung tidak sekali-kali mengurangkan kecantikan seseorang malah sebaliknya menaikan darjat dan penghormatan terhadap wanita. Tetapi satu kerugian besar kepada suami atau ayah ibu jika wanita di bawah jagaannya suka mendedah diri umpama harta awam pula. Soal panas dan rimas tidak timbul sama sekali. Tidak berfaedah langsung andainya perasaan panas itu wujud kerana gagal menunjukkan kecantikannya supaya orang tergila-gila dan mengkaguminya atau berasa rimas pula kerana memakai tudung bukan menjadi budaya pilihannya.

Manusia dan benda nilainya tidak sama tetapi manusia yang berfikir selalu melihat benda-benda second hand selalu terdedah tanpa dibungkus atau dilindungi. Tidak perlulah kita memperleh-lekehkan orang yang tidak sealiran dengan kita bagi menunjukkan buah fikiran kita yang terbaik. Walhal tidak ada langsung hujah bagi menjelaskan untungnya kita mempertahankan budaya Tarzan dan Xena yang membenarkan kita berpakaian mengikut sesuka hati kita; Melainkan kita diperbodohkan umpama haiwan untuk dijadikan bahan tarikan seks semata-mata. (Satu renungan untuk pendokong Nora Marzuki yang menulis pendapatnya dalam NST) - Ahmad Zahin Imadi

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com