Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
Ada konspirasi antara pegawai Kementerian Dalam Negeri, serta
timbalan menteri berkenaan dengan syarikat penerbitan tertentu bagi
meluluskan nombor permit penerbitan (PP) untuk majalah lucah yang
diimport dan bahan cetak rompak.
"Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang penerbitan, saya
tahu hal ini," kata Rustam A Sani, pengerusi forum bagi membicarakan
tekanan terbaru kerajaan terhadap Harakah, Detik dan Eksklusif,
semalam di Gombak.
Bekas felow di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)
Malaysia dan penulis kolum Utusan Malaysia itu menemui "unsur
rasuah" KDN itu ketika mengurus sebuah syarikat penerbitan yang
mengeluarkan panduan belajar Matematik menggunakan watak kartun yang
digilai ramai, Doraemon.
"Bukan sekadar masalah permit majalah bebas dan propembangkang
tetapi kementerian terlibat dalam kes yang ‘berunsur rasuah'," jelas
Rustam lagi.
Tindakan pegawai kementerian, peguam hak cipta dan menteri serta
timbalan menteri memberikan nombor permit - seolah-olah bahan
penerbitan itu halal di sisi undang-undang dan menghalang kuatkuasa
undang-undang.
Rustam yang mempengerusikan majlis Forum Pencabulan Kebebasan
Media oleh BN (Barisan Nasional) itu melontarkan rahsia itu selepas
pembentangan ahli panel kedua, bekas editor majalah Detik yang kini
diharamkan, Ahmad Lutfi Othman.
Sebelum itu Rustam mendedahkan hal itu dalam satu kenyataan
akhbar kepada malaysiakini.
Beliau meminta siasatan segera dan menyeluruh dilakukan untuk
mendedahkan hubungan antara pegawai kanan KDN (yang lepas dan kini),
menteri serta timbalan menteri berkenaan dalam membantu mengedar
bahan lucah (pornografi) dan bahan cetak rompak.
Lutfi mengkritik dasar kementerian, termasuk Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Abdullah Badawi, yang disifatkan "macam orang tua
nyanyuk yang merepek-repek" - meminjam ungkapan seorang wartawan
akhbar arus perdana yang bertemu Lutfi selepas satu pertemuan mereka
dengan menteri berkenaan.
Pertemuan enam orang wartawan kanan akhbar arus perdana itu
bertujuan mencadangkan idea Majlis Akhbar yang ditadbir sendiri oleh
kaum wartawan.
Bagaimanapun, Pak Lah tidak menunjukkan sebarang keyakinan atau
komitmen untuk meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (Pindaan
1987), sebaliknya berleter hal-hal yang penuh dolak-dalih, walaupun
kumpulan wartawan itu menunjukkan bukti 951 rakan setugas mereka
mendesak kerajaan meminda akta usang tersebut.
Lebih malang lagi, kata Lutfi sambil menunjukkan keratan berita
berkenaan, dua hari lalu KDN memutuskan untuk mengetatkan lagi
undang-undang tersebut, dan juga Akta Filem (Penapisan) 1952.
Timbalan menteri berkenaan, Datuk Chor Chee Heung, pada Sabtu
lalu dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan berbuat demikian bagi
"menghalang salah guna dan bahan terbitan yang negatif".
"Segenggam kuasa boleh meruntuhkan segunung kebebasan," kata
Lutfi bermadah, mengingatkan lebih 200 peserta betapa pentingnya
kongkongan KDN ini dibantah lebih tegas dan serius.
Sebelumnya pengarang Harakah, Zulkifli Sulong, yang mula
dibicarakan hari ini atas tuduhan "menghasut" mendedahkan dasar KDN
yang kelam-kabut dan bermotifkan politik.
"Pada Februari 1999," ceritanya, "saya terpaksa ke kementerian
untuk menerima nombor permit penerbitan Harakah. Selalunya ia
diposkan ke pejabat."
Ketika itu, kata Zulkifli lagi, pegawai kementerian memaklumkan
atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Harakah
mesti dijual di pejabat dan markas PAS sahaja.
"Tetapi apakah keputusan KDN itu final (muktamad)?" cerita beliau
yang bimbang kementerian mengubah dasar lagi sebaik sahaja selepas
meminta akhbar itu menyediakan rak khusus (tempat meletakkan akhbar)
beberapa bulan sebelumnya.
Akhbar pembangkang popular yang diterbitkan mulai Mac 1987 itu
menghabiskan RM70,000 untuk menyediakan kemudahan tersebut kepada
para pengedarnya.
"Kami didera fizikal dan emosi," kata Zulkifli, sambil
menceritakan tekanan yang berleluasa terhadap tabloid PAS itu sejak
1997.
Beberapa minggu selepas ucapan Ketua Pemuda Umno, Ahmad Zahid
Hamidi, yang mendesak kerajaan menarik balik permit Harakah,
kementerian memanggil ahli lembaga pengarah akhbar itu dan mengajak
‘berbincang'.
Ketua Setiausaha (bahagian penerbitan) mengkritik - "sebenarnya
mengugut," kata Zulkifli - Harakah kerana "isi kandungannya telah
lari daripada yang ditetapkan dalam permit."
Harakah, menurut alasan pegawai KDN itu, tidak harus menyiarkan
"berita-berita politik," sebaliknya hanya boleh menyiarkan kegiatan
parti!
Ahli panel ketiga, bekas pengarang Eksklusif, A Jalil Ali, yang
berjanji untuk menyampaikan ucapan tidak hadir.
Diberitakan akhbar itu sedang berunding dengan pegawai-pegawai
kementerian untuk mendapatkan permit pada Jun ini. Dan... mereka
menaruhkan harapan yang sangat
Fathi Aris Omar
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN
MEDIA"