Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Umno ambil balik pinggan mangkuk pemberian Anwar

Sumber Berita :
Harakah Daily

PERAI (Hrkh) - Ketua pembangkang Pulau Pinang, Abdul Rahman Kadir menyifatkan tindakan Umno Cawangan Kampung Telok, Perai mengambil perkakas pinggang mangkuk yang diberikan oleh Bekas Ketua Bahagian Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan mengundang perpecahan di kalangan penduduk yang baru berpindah ke Taman Perai Jaya.

Penduduk di situ mendakwa pemberian tersebut bukan di atas dasar politik sebaliknya pemberian kepada surau untuk kegunaan semua masyarakat tidak kira apa latar belakang politik sekalipun.

Setelah kampung ini diambil untuk tujuan pembangunan perkakas tersebut disimpan di surau penempatan sementara Kontena Seberang Jaya tanpa ada sebarang usaha mempolitikkan oleh kepimpinan Umno cawangan.

Tetapi, lain pula berlaku apabila penduduk dipindahkan di Taman Perai Jaya ramai masyarakat terkejut dengan tindakan Umno Cawangan Kampung Telok yang bertindak merampas pinggang mangkuk dan melebelkan dengan parti mereka.

Abdul Aziz Haji Mohd. Akil 42 memberitahu, beliau terkejut besar apabila mendapati pinggan mangkuk yang diletakkan di surau diambil oleh Umno dan melebelkan dengan nama Umno cawangan tersebut.

Bukan itu sahaja bahkan mereka menyebarkan maklumat bahawa sesiapa yang ingin menggunakan pinggan mangkuk mestilah ahli Umno.

"Saya amat terkejut ketika hendak mengadakan kenduri baru-baru ini apabila terpandang lebel cawangan Umno," ujarnya.

Johari Din 38 pula menegaskan, sepatutnya kepimpinan Umno cawangan itu meneliti dulu pemberian Dato' Seri Anwar yang bukannya bertujuan memecahkan perpaduan masyarakat di Kampung Teluk.

Sebaliknya kata beliau, pemberian ikhlas untuk kepentingan semua pihak kerana selama ini kampung itu tiada lagi keperluan asas terutamanya ketika kenduri.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Surau Abdul Aziz Hashim 34 ketika ditanya mengatakan, pihak surau telah mengadakan mesyuarat dan menegur sikap ekstrim kepimpinan Umno Cawangan Kampung Teluk tetapi tidak diendahkannya.

Menurutnya, Umno sendiri mendakwa PAS mempolitikkan surau untuk kepentingan parti tapi sebaliknya Umno lebih dahsyat merampas harta benda surau bagi kegunaan parti mereka.

"Sebagai Jawatankuasa surau saya telah menyuarakan pendapat tetapi mereka angkuh mengaku hak itu kepunyaan mereka bukannya surau," tegasnya kesal.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com