Sumber Berita :
Harakah Daily
Kuala Lumpur, (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS Pusat mengingatkan Ketua Pergerakan Wanita Umno yang baru dipilih, Datuk Seri Rafidah Aziz supaya tidak mempermainkan hukum Allah dalam perkara menutup aurat.
Dalam kenyataan muslimat Pusat itu, mereka menegaskan, menutup aurat merupakan kewajipan bagi semua wanita Islam ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan mahram dalam apa jua keadaan sama ada rasmi atau tidak.
"Oleh demikian tidak timbul arahan supaya memakai tudung kepala itu hanya sebagai simbolik disiplin ketika menghadiri apa jua acara rasmi," kata mereka sebagai mengulas kenyataan Rafidah dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, hari ini (7 Mei) yang meminta setiap anggota pergerakan wanita Umno mengenakan selendang atau tudung kepala sebagai satu uniform ketika menghadiri upacara rasmi parti itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kita hendaklah faham pengertian displin dalam konsep yang sebenar.
"Jika kita mengaku diri kita muslim, ambillah Islam secara keseluruhan. Janganlah kita ambil separuh dan tinggalkan separuh yang lain semata-mata inginkan populariti dan glamour sahaja," menurut kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan lain, ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Datuk Ghazali kesal dengan kejahilan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung hukum menutup aurat.
"Kita sedih kerana Ketua Wanita Umno mempunyai pandangan yang cetek dengan menyamakan memakai tudung dengan songkok.
"Ulamak Umno sepatutnya menerangkan kepada wanita Umno bahawa memakai tudung itu merupakan kewajipan bagi wanita muslim," katanya kepada Harakahdaily.
Tegas Dr Lo' Lo', " wanita Islam memakai tudung kepala juga bukan kerana PAS kerana beliau (Rafidah) kena faham bahawa bukan wanita Muslim di negara ini sahaja pakai tudung, malah seluruh dunia. Allah mewajibkan menutup kepala bagi wanita Islam".