Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PAS akan lawan cubaan hapus nama Islam

Sumber Berita :
Harakah Daily

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Kebimbangan Umno terhadap kebangkitan Islam di negara ini mendorong mereka bertindak untuk menghapuskan perkataan Islam dari semua pertubuhan parti politik termasuk Parti Islam Semalaysia (PAS).

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa menegaskan, PAS akan menentang habis-habisan terhadap apa jua usaha Umno dan BN untuk menyekat kemaraan Islam di negara ini termasuk menghapuskan perkataan Islam.

"Dasar perjuangan PAS adalah Islam, apa sahaja usaha untuk menyekat Islam sama ada syariatnya, hukum atau nama Islam itu sendiri, kita tentang habis-habisan," katanya.

Harakah difahamkan, draf berhubung perkara tersebut telah dibawa ke parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Rais Yatim bulan lalu.

Tambah Nasharuddin, PAS dilihat begitu ketara sebagai wadah perjuangan Islam dan ini dilihat sebagai satu ancaman kepada kerajaan Umno dan BN.

"Sudah tentulah mereka ambil tindakan yang perlu untuk menyekat kemaraan tersebut," katanya yang juga Ahli Parlimen Yan, Kedah.

Ujar beliau seterusnya, usaha untuk menghapuskan penggunaan nama Islam dari parti politik sama dengan tindakan politik yang dikenakan oleh Mustapa Kamal Attartuk di Turki.

"Nampaknya usaha-usaha menjejak Kamal Attartuk ini menular kepada kepimpinan di negara ini," katanya yang baru pulang dari menghadiri beberapa simposium dan jemputan di Timur Tengah.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com