Langkah penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri menggeledah pejabat sebuah syarikat yang menerbitkan makalah politik tidak berkala tidak menjejaskan semangat dan keazaman editornya, Suria Janib untuk terus berkarya.
"Saya yakin berada di pihak yang benar, jadi apa yang perlu ditakutkan," katanya tegas, bila ditanya reaksinya selepas tiga pegawai KDN menemuinya Isnin lalu bagi mendapatkan naskhah contoh untuk lima keluaran makalah isu terbaru.
"Alasan KDN, kami menerbitkan makalah itu tanpa permit. Setahu saya, bagi setiap makalah tidak berkala, yakni yang diterbitkan hanya sekali untuk setiap tajuk, tidak memerlukan permit. Dan kami sebelum ini sudahpun memohon lima majalah baru, iaitu Mesej, Fikrah, Visi, Sirah dan Madani, tetapi semuanya ditolak KDN tanpa sebarang sebab," ujar Suria.
Beliau menyifatkan kerajaan Umno kini semakin terdedak dan takut dengan kritikan. "Mereka akan melakukan apa saja untuk menutup sebarang suara yang mencabar kepentingan mereka. Pemimpin Umno tidak ragu-ragu untuk bertindak kejam, zalim dan tidak beradab semata-mata untuk mempertahankan kuasa," tegasnya lagi.
"Saya amat harapkan KDN dapat mempertimbangkan untuk kami menerbitkan makalah tidak berkala itu seterusnya. Kami mengalu-alukan perbincangan lanjut dengan KDN," tambahnya.
Dalam perkembangan sama, KDN turut merampas 545 naskhah Haraki di Medan Idaman, Gombak, jam 1.10 tengahari, 9 Mei lalu. Menurut penerbitnya, Ahmad Lutfi Othman, operasi yang diketuai Hilme Mazlan itu adalah lanjutan daripada penggeledahan KDN di kilang percetakan Haraki di Shah Alam sehari sebelumnya.
"Saya tak tahu apa lagi yang akan dibuat KDN terhadap saya. Tunggu dan lihat sajalah," kata Lutfi.
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"