Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Masyarakat berfikiran Merdeka

Sumber :
Tranung Kite eGroups

Saya tertarik dengan tulisan dari seorang penulis dalam malaysiakini ("Independent thinking must be nurtured", May 22, 2000) yang mengatakan budaya berfikir secara merdeka perlu disemai dan digalakkan. Walaupun bukan semua pandangan beliau saya bersetuju, tetapi saya memahami isi penting yang cuba disampaikan.

Berfikiran merdeka, saya ingin menekankan terlebih dahulu sebelum timbul salah faham, ialah cara fikir yang positif yang bebas dari kongkongan golongan tertentu, bebas dari aturan budaya, kebiasaan dan adat istiadat. Bagi kita yang beragama islam, cara fikir kita hendaklah juga tidak menyalahi atau melampaui batas batas yang ditetapkan oleh islam dan hukumannya.

Saya telah lama mengikuti perkembangan berita dari Tranung Kita Cyberlink dan Tranungkita eGroups. Cuma sejak akhir akhir ini sahaja saya rasa bertanggung jawab untuk menyumbang ke arah kebaikan bersama. Walaupun begitu, sebelum ini saya telah menulis dalam beberapa artikel untuk akhbar Harakah dan akhbar Malaysiakini dengan menggunakan nama pena yang berbeza.

Bagaimanakah caranya untuk kita menjadikan fikiran merdeka sebagai satu budaya dalam masyarakat kita? Satu daripada cara untuk memupuk ke arah mempunyai fikiran dan pendapat yang merdeka ialah melalui aktiviti membaca. Biasakanlah diri membaca artikel yang memaparkan segala jenis maklumat seperti hal ehwal agama, ekonomi, budaya atau teknologi.

Jangan jadikan bahasa sebagai penghalang. Mereka yang mampu memahami bahasa Inggeris, bacalah artikel yang ditulis di dalam bahasa Inggeris. Mereka yang dapat menguasai bahasa Arab, ada kedapatan artikel di dalam bahasa Arab dan seterusnya. Sudah tentu, pemilihan bahasa ini terpulang kepada kebolehan dan kecenderungan masing masing.

Apabila kita membaca sesuatu artikel, aktifkan pemikiran kita. Libatkan otak kita untuk menilai bahan yang dibaca. Selalukan bertanya dalam benak kita kata soal seperti "mengapa?", "betul ke?", "munasabah ke?", "apa buktinya?" dan pertanyaan yang lain lainnya yang membolehkan kita berinteraksi dengan bahan dan maklumat yang dibaca.

Pertanyaan sebegini melatihkan kita bersikap bertanggung jawab terhadap apa yang dibaca. Sikap bertanggungjawab terhadap maklumat yang dibaca menghindarkan kita dari terjerumus kepada bahan yang terselit hasutan, fitnah dan umpat keji yang bukan sahaja rendah nilai moralnya, tetapi juga salah dari kacamata islam.

Al Quran juga berpesan kepada kita supaya bertanggung jawab apabila menerima berita seperti di dalam ayat 6 surah Al Hujurat yang bermaksud, "Hai orang orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, hendaklah kamu memeriksa kebenarannya, kalau kalau kamu mengenai suatu kaum tanpa pengetahuan, lalu kamu menyesal atas perbuatanmu".

Mereka yang menyumbang pula perlu bertanggung jawab memastikan supaya maklumat yang ditulis bebas dari hasutan melulu, umpatan keji dan fitnah. Orang islam yang bertaqwa ialah mereka yang bukan sahaja tidak mendengar umpat keji, hasutan dan fitnah, malahan mereka juga membendung diri daripada melakukan semua itu.

Menyertai forum perbincangan merupakan juga satu daripada cara untuk melatih diri berfikiran merdeka. Ini bukan bermaksud kita hanya perlu menerima maklumat atau pendapat, tetapi kita juga haruslah menyumbangkan maklumat, pendapat dan hujah hujah kita menerusi penulisan yang kemas dan jelas tanpa kekeliruan dan kesamaran.

Peranan bahasa adalah penting. Penguasaan bahasa yang tinggi akan membantu kita menyumbangkan pendapat kita sambil meyakinkan pihak yang mendengarnya. Kebanyakan dari kita selalunya tidak mampu menyakinkan pihak lain bukan kerana ketiadaan pendapat yang bernas, bukan juga kerana pendapat kita salah, tetapi kerana kelemahan penguasaan bahasa untuk melahirkan pendapat dalam bentuk yang mudah difahami.

Berfikiran terbuka, sabar dan cuba memahami pendapat dan maklumat dari perspektif mereka yang menulis maklumat, merupakan kunci kepada perbincangan positif yang membina minda. Elakkan dari menggunakan emosi sebagai jalan penyelesaian dalam menyatakan bangkangan kita terhadap pandangan yang diberikan. Sebaliknya, bawakan hujah dan bukti yang meyakinkan untuk membantu perbincangan.

Banyak keuntungan yang dapat diperolehi dari berfikiran merdeka. Selain dari memastikan diri kita tidak sewenang wenangnya diperdayakan oleh tipu helah yang cuba dipermainkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu, kita juga dapat mewujudkan satu masyarakat yang cerdas daya fikir, petah berpendapat dan masyarakat yang dapat menggunakan perbahasan dan perbincangan sebagai salah satu daripada cara menyelesaikan pertelingkahan.

Wassalam,
Joe Blogg


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com