Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


KDN Rakus dan zalim....

Pencetak pula menjadi mangsa kerakusan KDN Kementerian Dalam Negeri makin menggila. Kerakusan mereka tidak terhenti dengan pengharaman permit penerbitan majalah Detik. Mereka mengganas lagi. Melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (pindaan 1987), segala-galanya akan dihalalkan.

Atas daleh tiada permit, baru-baru ini lebih kurang enam pegawai penguatkuasa KDN merampas semua makalah Haraki yang kami terbitkan di Medan Idaman, Gombak. Walhal, kami yakin, penerbitan tidak berkala seperti Haraki, yang diterbitkan “sekali seumur hidup” tidak memerlukan permit. Lainlah kalau kami menerbitkannya buat kali kedua.

Namun KDN tidak sabar menunggu untuk kami melanggar undang-undang sedia zalim itu. Mereka terus mengamuk. Tidak terhenti setakat premis penerbitan kami, KDN juga menakut-nakutkan pencetak. Sememangnya percetakan adalah kunci kepada apa saja penerbitan. Sekali pencetak diugut, habislah kami!

Mungkin pihak polis dan KDN arif tentang situasi ini. Berdepan dengan penerbit yang “keras kepala dan degil” seperti kami menyulitkan mereka, tetapi cukup mudah untuk mereka mengugut pencetak supaya jangan mencetak sebarang “buku atau bahan dari Ahmad Lutfi Othman” – jika tidak lesen atau permit percetakan akan ditarik balik.

Lima tahun lalu saya berdepan dilema yang sama. Pencetak saya di Bandar Sri Damansara diugut secara halus: “Kilang kamu sudah besar, janganlah cari masalah dengan mencetak buku-buku politik Lutfi Othman. Dan bukannya dapat duit banyak mencetak bukunya.” Akhirnya pencetak tersebut, sambil memohon maaf mengundur diri tidak berani lagi mencetak buku-buku saya sampai kini.

Bagi saya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, kepada penulis, wartawan dan penerbit, sama kejam dan zalimnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada aktivis politik. Justeru, saya merayu kepada anda semua supaya menunjukkan bantahan dan protes terbuka kepada akta dan peraturan zalim tidak berperikemanusiaan. Suatu program mendedahkan kezaliman KDN terhadap pengamal media akan dliancarkan hujung Mei ini. Sama-samalah kita memeriahkannya.

Tanpa media bebas, seluruh pembaca akan rugi akhirnya. Pembaca tidak lagi dapat membaca berita, maklumat, analisis dan laporan yang sahih dan tepat. Kita akan terus dikongkong pemikiran dan minda kita oleh media pemerintah. Dengan itu kebenaran terus tersumbunyi, kezaliman terus bertakhta dan elit pemerintah sombong-takbur-ego-korup terus bertakhta.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Bekas Ketua Editor DETIK (sudah diharamkan)
Editor WASILAH (yang sudah mendapat amaran akan dibatalkan permitnya)
Penerbit HARAKI (sudahpun dirampas naskhah terbitannya)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com