Petikan :
Tranung Kite eGroups
Oleh Sazali Muhamad Al-Tronohi
Kuala Lumpur 20, Mei: Benarkah KDN tidak menyenarai hitamkan mana-mana
individu dalam negara ini MENDAPATKAN sebarang penerbitan majalah
ataupun akhbar? Jika ketelusan ini dipraktikkan, mengapa setiap kali
borang permohonan dihantar oleh warga negara ini, adakalanya terus
ditolak malah tidak kurang juga ditolak mentah-mentah tanpa sebarang
sebab.
Dalam iklim negara yang kian maju, pemikiran warga yang makin tajam,
opini mereka kian kritis; KDN tidak wajar melayari impian sebahagian
wartawan atau penulis negara ini dengan tindakan “nakal” dan “bodoh”
apabila menolak permohonan mereka bagi mendapatkan permit penerbitan
SECARA MEMBABI BUTA.
Penolakan mestilah disertai dengan hujah atau alas an yang munasabah
kepada para pemohon sebagai jawapan yang patut diperbetulkan jika ada
yang “tidak kena” atau “dipelajari” jika tersalah mengisi borang.
Membiarkan mereka menerima dan membaca surat penolakan, bererti kerajaan
khususnya KDN tidak menghormati rakyat atau lebih tepat lagi, tidak
professional dalam mengendalikan kes-kes yang demikian.
Mereka yang memohon permit mungkin sebuah majalah atau selembar akhbar
tabloid sudah tentu antara bekas-bekas wartawan yang pernah berkhidmat
dengan majalah atau akhbar “nyamuk” malah tidak kurang juga yang pernah
mencurahkan tenaga bakti dengan syarikat-syarikat gergasi media seperti
Utusan, NSTP, TV3 dan lain-lain, yang berkeinginan untuk bekerja sendiri
dalam bidang kewartawanan dan penerbitan ini.
Tidak dapat dinafikan, kerancakan majalah atau akhbar dalam talian
internet memungkinkan “suara bebas” menyatakan kebenaran atau sebarang
idealisme dapat diteruskan tanpa sekatan KDN. Setakat ini, ukuran KDN
masih berpegang kepada Akta atau mana-mana peraturan yang sedia ada,
sekalipun sudah menampakkan “cemburu butanya” terhadap saluran demikian.
KDN belum lagi menajamkan kukunya menyekat majalah atau akhbar talian
ini. Sekalipun pengunjungnya kian meningkat, namun “nilai komersial”
penerbitanya terpaksa ditanggung oleh “pembiaya” yang kaya-raya dan
penuh iltizam. Siapa yang ingin mengusahakan akhbar atau majalah dalam
talian sebegini (malaysiakini.com antara contoh) tanpa mendapat
pulangan?
Tidakkah, pemberian permit kepada sebahagian wartawan atau penulis, atau
lebih khusus lagi penulis-penulis politik seperti Lutfi Othman, Tarmizi
Mohd Jam, Suria Janib, Sayuti Omar, Ibnu Muslim, Daud Ibrahim dan ramai
lagi, mampu menajamkan fikiran politik atau tanggapan umum rakyat
terhadap dunia politik yang terbentang luas, yang makin maju, progresif
dan sensitive sifatnya.
Sebenarnya, KDN tidak perlu khuatir atau bimbang jika permit diberi
kepada mereka khususnya penulis-penulis politik tanahair kita. Akta
Penerbitan dan Mesin Cetak dan Akta Hasutan amat terkesan sekali jika
digunakan bagi mengawal opini yang dicanai melalui majalah atau akhbar
terbitan mereka.
“Kebebasan” telah diketahui umum, suatu yang subjektif dan perlu dikawal
mengikut keperluan yang munasabah bagi mengelakkan terbabas. Implikasi
dari gelagat “terbabas” akan memudaratkan negara dan ketenteraman awam.
Perkara ini diakui. Akta-Akta tadi berupaya membendung gejala ini dari
berlaku. KDN patut bersikap terbuka dan professional dalam perkara ini.
Dengan tindakan “menyekat” atau “menghalang” pemohon dari mendapatkan
permit “kununnya” untuk mengelakkan dari mereka khususnya
penulis-penulis politik yang berfikiran tajam dari terus menajamkan
fikiran rakyat terhadap pentas politik negara.
Kebimbangan ini telah meletakan kerajaan berada pada pandangan tidak
demokratik, takut pada bayang-bayang sendiri, curiga dengan celik
politik, bersangka jahat terhadap perkembangan maklumat dan menolak
mentah-mentah “kebebasan bersuara” yang menjadi hak kepada rakyat negara
ini dan diktiraf oleh PBB.
KDN patut mengkaji semula dasarnya terhadap pemberian permit kepada
kumpulan pemohon dari kalangan penulis-penulis politik bagi mengelakkan
mereka menulis dalam wadah yang tidak ketentuan hala?