Sumber :
Kini-Malaysia eGroups
Sekarang sedang berjalan proses awal kes saman fitnah Mirzan ke atas Star Papyrus Printing Sdn Bhd. Mirzan anak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Syarikat yang disaman itu anak syarikat Star Publication (M) Bhd. Mirzan menuntut ganti rugi sebanyak RM150 juta.
Saman malu anak sulung Perdana Menteri itu berhubung kandungan artikel yang didakwa memfitnah Mirzan yang disiarkan oleh The Asian Wall Street Journal (AWSJ). Akhbar AWSJ edisi Kuala Lumpur itu dicetak oleh pencetak Star Papyrus. AWSJ tidak disaman, sebaliknya pencetak yang disaman.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mirzan anak Mahathir mendakwa artikel itu memfitnahnya dengan membawa maksud beliau membina empayar perniagaannya bukan atas kemampuannya tetapi mendapat faedah daripada keistimewaan, nepotisme dan pilih kasih.
Sehubungan itu, katanya, perasaan dan nama baiknya dalam bidang perniagaan terjejas serta tercemar. Menurut Mirzan, artikel itu memberi gambaran beliau menjalankan perniagaan secara cuai, tetapi selamat kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai anak Perdana Menteri serta diselamatkan oleh kerajaan atas pengaruh bapanya.
Dalam pernyataan pembelaannya, Star Papyrus menafikan artikel yang dicetak itu memfitnah Mirzan.
Mirzan menafikan dia mendapat keistimewaan kerana dia anak Perdana Menteri. Apakah Mirzan mahu menafikan bahawa dia mempunyai banyak syarikat, besar dan kecil. Tidakkah dia menjadi pengarah berpuluh-puluh buah syarikat? Apakah bohong Buku Rekod Pendaftar Syarikat yang mencatatkan Mirzan dan adik beradiknya menjadi pengarah lebih daripada 200 buah syarikat? Apakah Mirzan tidak mahu mengaku, ada alamat yang digunakan olehnya dan adik beradiknya adalah Sri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri sebelum ini? Tidakkah kerana itu dia mendapat layanan istimewa?
Mirzan menafikan amalan nepotisme. Jika bapa menjadi orang nombor satu dan berkuasa memberi projek dan kontrak kepada anak sendiri, tidakkah itu namanya nepotisme? Pernahkah rakyat dengar Mirzan buka warung di tepi jalan? Pernahkah Mirzan belajar berniaga di Pasar Rabu, Alor Setar macam bapanya dulu? Pernahkah Mirzan terlibat dengan perniagaan runcit atau francis? Negatif jawapannya. Yang umum tahu, tiba-tiba Mirzan punya syarikat-syarikat besar seperti Konsortium Perkapalan Berhad. Malah Hakim Datuk Ariffin Jaka pun pada satu masa dahulu jadi pengarah dalam syarikat Mirzan. Bagaimana Mirzan yang masih muda waktu mula berniaga, tiba-tiba meletup jadi ahli perniagaan besar? Tokoh usahawan sebenar naik dari bawah dan mengambil masa berpuluh tahun untuk membina perniagaan mereka. Mirzan semacam "sekelip mata". Tidakkah kerana wujudnya amalan nepotisme?
Mirzan menafikan wujudnya amalan pilih kasih. Mudahkah ahli perniagaan biasa yang tidak ada nama, dan tidak tinggal di Sri Perdana mendapat pinjaman mudah beratus juta ringgit? Tetapi Mirzan senang sahaja mendapat kemudahan pinjaman bank kerana dia anak Perdana Menteri. Tidakkah itu pilih kasih namanya. Apakah Mirzan membina empayar perniagaannya dari duit "tabung buluh" yang dikumpul setiap hari pemberian ayahnya?
Mirzan menafikan dia menjalankan perniagaannya secara cuai. Kalau tidak cuai mengapakah syarikat utamanya satu waktu dulu, Konsortium Perkapalan Berhad(KPB) mengalami kerugian yang besar beribu juta ringgit? Jika syarikat rugi besar adakah itu namanya cekap berniaga? Kalau tidak cekap, tidakkah ia seerti dengan cuai namanya?
Mirzan menafikan perniagaannya yang bermasalah telah diselamatkan oleh kerajaan atas pengaruh bapanya, Perdana Menteri. Apakah Mirzan lupa bahawa rakyat tahu hal yang sebenarnya. Tidakkah bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim telah mendedahkan kepada umum bahawa wang Petronas sebanyak RM1.8 bilion telah digunakan untuk menyelamatkan syarikat Konsortium Perkapalan Berhad (KPB), milik Mirzan anak Mahathir? Adakah Anwar berbohong dan memfitnah Mirzan? Tidakkah Mahathir sendiri mengaku hal ini di Parlimen. Tetapi dia berdalih dengan mengatakan bahawa dia tidak campurtangan dalam transaksi Petronas, KPB dan MISC (Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia).
Untuk menaikkan gaji 800,000 kakitangan kerajaan yang melibatkan wang sebanyak RM 2 bilion, Mahathir campurtangan urusan Jabatan Perkhidmatan Awam. Berbalah dengan Cuepacs berkali-kali. Faedah kenaikan gaji itu untuk hampir sejuta orang. Masakan untuk menyelamatkan sebuah syarikat bernama KPB, kepunyaan satu orang, iaitu anaknya sendiri, sehingga melibatkan wang kerajaan hampir RM 2 bilion, tiba-tiba Mahathir tidak campurtangan? Adilkah neraca pertimbangan Mahathir? Untuk seorang anaknya dia sanggup buat apa sahaja! Apakah Mirzan mahu menafikan ini semua?