Sumber Berita :
Harakah Daily
KOTA BHARU, (Hrkh) - Spekulasi yang sedang meniti di setiap bibir ahli-ahli dan penyokong Umno di Kelantan sekarang iaitu mengenai cadangan pelantikan Dato' Mustafa
Mohamed ke jawatan tertinggi Umno di negeri ini bagi menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah.
Sumber dalaman Umno menyebut Mustafa sedang dilobi untuk menggantikan tempat yang disandang Ku Li sekarang sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.
Katanya, Ketua Bahagian Umno Jeli itu dikatakan tokoh yang paling layak untuk mengambilalih jawatan tersebut memanangkan Ku Li sudah dianggap tidak relevan lagi memimpin Umno Kelantan.
"Ku Li sudah tewas dan tidak mampu lagi mengangkat martabat Umno yang sudah ditolak majoriti rakyat Kelantan sekarang.
"Oleh itu, Umno perlukan calon yang lebih bersih dan mampu berkhidmat dengan baik untuk memulih semula keyakinan rakyat terhadap parti itu," katanya di sini.
Menurutnya, Ku Li sekarang sudah tidak terdaya lagi untuk mengembalikan kegemilangan Umno seperti yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.
Katanya, Ku Li sekarang sudah tidak mempunyai kuasa ajaib lagi untuk menarik perhatian rakyat Kelantan, lebih-lebih lagi dia sendiri sudah dipinggirkan oleh Umno di peringkat tertinggi.
Sumber tersebut memberitahu, perubahan dalam kepemimpinan Umno Kelantan kemungkinan besar akan berlaku selepas perhimpunan agung Umno pada 11 Mei ini.
Baru-baru ini, Ku Li hilang kelayakan untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu 11 Mei ini, setelah Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad yang mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi Umno menganggap pencalonan dilakukan Umno Gua Musang tidak sah.
Sebelum ini, Harakahdaily.com turut melaporkan terdapat desakan dari penyokong-penyokong Umno di peringkat akar umbi supaya Ku Li berundur dan meletak semua jawatan dalam politik memandangkan kegagalannya memulih Umno Kelantan.
Sementara itu, bekas pembantu Ku Li, Hussin Talib berkata, Ku Li sudah tidak mampu lagi untuk menerajui Umno di negeri ini memandangkan hasratnya menjadi gurkha untuk selama-lamanya disukai Dr Mahathir.
Menurutnya, janji-janji lisan termasuk menawarkan Ku Li ke jawatan tertinggi dalam Umno sebelum membubarkan Semangat 46 kini tinggal kenang-kenangan semata-mata.
Beliau berkata, Ku Li mengisytiharkan memasuki semula Umno dan membubarkan Semangat 46 pada satu perhimpunan yang diadakan di Tumpat pada 18 Jun 1996.
Manakala pada 1 Oktober 1996 beberapa anggota Exco dari Semangat 46 meletak jawatan masing-masing setelah parti itu dibubarkan.
Hussin berkata, pengorbanan yang dilakukan pengikut-pengikut Ku Li membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno setelah pemimpin itu memberitahu akan diberi jawatan tinggi dalam Umno bila Semangat 46 dilenyapkan.
"Janji-janji yang diperkatakan secara meluas ketika itu, hari ini tinggal kenang-kenangannya apabila Ku Li sendiri diketepikan secara memalukan oleh Dr Mahathir," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah wajar sekali Ku Li digantikan pemimpin lain untuk menerajui Umno Kelantan sekarang memandangkan kehadirannya tidak lagi diperlukan penyokong-penyokong Umno.