Banyak pihak khususnya wartawan prihatin sudah bosan bercakap soal kebebasan akhbar. Malah ramai yang meluat dan langsung tidak berminat untuk berbincang tentangnya. "Buang masa saja, kerajaan BN di bawah pimpinan Mahathir mahupun Pak Lah tidak akan mengurangkan bidang kuasa sedia ada," kata seorang wartawan veteran.
"Daripada sibuk berteriak meminta kebebasan akhbar dan kemudiannya tidak didengar pemerintah, lebih baik kita menulis lebih banyak, menerbitkan makalah. Maknanya kita memprotes undang-undang drakonian sedia ada dengan menulis dan menulis," pandangan seorang penulis politik prolifik.
Jadi, apa yang harus dirayakan pada hari kebebasan akhbar sedunia ini. Cukupkah dengan seminar dan perbincangan, atau sekadar minum kopi bersama teman-teman wartawan, seterusnya menangisi nasib malang ini. Ataupun kita bersembang kosong tentang perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan dunia kewartawanan. Kita bincang hal-hal lain yang tidak menyakitkan hati atau yang tidak memeningkan kepala. Pedulikan soal kebebasan yang tidak berjejak itu.
Saya secara peribadi sudah lelah menjerit dan melolong, sehingga terpaksa mengusung keranda menguburkan mayat Detik yang sudah membusuk itu. Walhal sebenarnya saya sedang mengkebumikan kebebasan media yang menjadi musuh pemerintah rasuah-ego-lupa diri itu.
Begitupun, mengenangkan nasib malang menjadi wartawan, saya agak terkilan dengan sikap teman-teman wartawan sendiri. Kita dipisah dan dipetak-petakkan. Isu bersama yang kita tanggung sejak sekian lama tidak terdaya untuk dirumuskan bersama dengan langkah-langkah praktikal yang harus segera diusahakan. Perbincangan dan diskusi sering diadakan dengan Menteri Dalam Negeri, namun pelbagai helah dikemukakan untuk mengekalkan senario sedia ada.
Keadaan menjadi lebih malang apabila kesatuan wartawan, yang antara lain patut berkempen bagi memulihkan kebebasan media menjadi begitu pasif sekali. Haramkanlah mana-mana penerbitan, kesatuan wartawan ini langsung tidak ambil peduli. Mereka mungkin lebih mementingkan soal kebajikan ahli (ya, itu sudah tentu visi penting kesatuan) namun soal persekitaran dan lingkungan dunia kewartawanan harus ditangani sebaik mungkin.
Justeru sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia ini, saya tidak ingin lagi menggesa kerajaan agar memansuhkan pelbagai akta drakonian, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, ataupun Akta Rahsia Rasmi, tetapi rayuan ini lebih ditujukan kepada teman-teman wartawan agar lebih bersedia menuntut kebebasan dengan lebih serius dan sistematik. Cukuplah kita diperbudakkan sejak berzaman. Selamat menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.
AHMAD LUTFI OTHMAN
Bekas Ketua Editor DETIK
E-mail: lutfi_detik@hotmail.com
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"