Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Haji Abd. Hadi : Serangan media tiada kesan

Sumber Berita :
Harakah Daily

MARANG, 9 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, serangan media massa untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS tidak berkesan.

Katanya, tuduhan yang ditimbulkan oleh media massa itu dalam usaha untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri mati begitu sahaja.

"Isu baru yang dilemparkan (oleh media massa) mati begitu sahaja walaupun ada yang terikut-ikut dengan berita itu," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Marang kali ke 16 di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, baru-baru ini.

Katanya, berbagai isu yang telah dilemparkan oleh media massa seperti lesen arak, khutbah Jumaat terhadap kerajaan negeri tetapi tidak berjaya.

"Dan banyak lagi isu yang lain yang kita hadapi," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa jentera parti terutama PAS cawangan supaya memainkan peranan bagi menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan itu kepada masyarakat.

Beliau berkata, PAS cawangan perlu menjadi pelindung kepada kerajaan untuk menerangkan isu semasa yang cuba dikelirukan oleh media massa kepada rakyat dan melaporkan apa-apa yang berlaku di dalam masyarakat.

"Jangan kira serang (kerajaan negeri) sama seperti Umno, ini kesilapan kita yang besar," ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya, usaha PAS cawangan untuk menjaga kerajaan negeri janganlah sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk membina kekuatan parti dan jamaah dengan Islam.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com