Interview with Nik Aziz Full transcript of The Star journalist Nick Leong's interview with Kelantan
Mentri Besar and PAS spiritual adviser Datuk Nik Aziz Nik Mat. This
exclusive interview was conducted in Bahasa Malaysia
Nick Leong : Tok Guru pandai berbahasa Inggeris?
Nik Aziz: Saya lompat-lompat sahaja, broken English. Dulu, sewaktu saya di
Kaherah, saya boleh baca Egyptian Gazzette tapi sekarang ini, tak boleh,
rugi betullah.
Q: Saya diberitahu Tok Guru fasih dalam berjenis-jenis bahasa.
Nik Aziz: Saya fasih Bahasa Arab, Bahasa Urdu. Dulu Inggeris pun tahu, boleh
cakap, tapi tak ada praktis, hilang. Bahasa Parsi sikit-sikit.
Q: Boleh beritahu sedikit latar belakang Tuan Guru?
Nik Aziz: Rumah saya sekarang adalah tanah tumpah darah saya, Kampung Pulau
Melaka, Kota Baru.
Keluarga saya adalah keluarga guru agama dan juga puak tani, suka menanam
pokok-pokok, buat kebun sendiri dan orang tua, bapa saya ini yang beri
semangat, jangan bergantung rezeki pada orang lain.
Orang tua saya sendiri tanam kebun getah, ada kebun rambutan, kebun durian.
Dia cukup marah kalau hanya bergantung pada sedekah. Sedekah tahutak? Derma.
Dia cukup marah.
Dia tidak minat dengan berniaga. Dia minat dengan berkebun. Sampai sekarang
pun, saya dekat dengan tani, petang-petang saya tanam pokok dulu.
Sekarang ini, pokok durian saya tanam, pokok kelapa saya tanam, pokok pisang
saya tanam, semua boleh berbuah semua boleh makan. Tapi sekarang tidah
sihat, tak boleh cangkul. Sekarang tembak tupai dan tebas rumput-rumput
untuk berpeluh sahaja. Tebas rumput dan pokok yang ganggu durian.
Q: Bagaimana dengan keluarga Tuan Guru?
Nik Aziz: Adik-beradik saya 17 atau 18. Orang tua saya kahwin empat, jadi
adik-beradik saya ramai.
Semasa remaja habiskan masa saya untuk belajar. Orang tua saya ini,
disamping dia pergi berkebun, dia bawa saya pergi sama, pagi-pagi belajar
buku dulu, belajar kitab dulu. Malam dia kejut saya sembahyang subur, baca
Quran, terjemah Quran. Kemana pergi pun dia bawa saya bukanuntuk buat kerja
tapi untuk mengaji dengan dia.
Kerja sikit-sikit tapi belajar banyak, dia suruh saya hafal syiar-syiar dari
Bahasa Arab bagi perkukuhkan Bahasa Arab dan saya ini sekarang sedang
menikmati kesan yang ditinggalkan oleh orang tua saya iaitu dalam kepala
saya banyak ingat ayat-ayat Quran yang menyebabkan dalam ucapan-ucapan saya
selalu selit dengan pantun-pantun Bahasa Arab, ayat-ayat Quran dan
hadith-hadith.
Q: Tuan Guru rasa tunjuk-ajar sedemikian tidak lagi dilakukan oleh ibu-bapa?
Nik Aziz: Betul. Ibu-bapa dulu mementingkan akhlak anak-anak. Cukup jaga
akhlak anak-anak. Ibu-bapa sekarang umumnya turut arus.
Kalau kerajaan suruh belajar, belajar. Kalau kerajaan suruh tinggi akademik,
tinggi akademik. Akhlak hampir tidak dipedulikan langsung. Ini sungguh
mendukacitakan.
Hasilnya, sekarang ini kita dapat lihat, anak-anak, belia-belia yang 20
tahun dahulu tidak dipedulikan akhlak dalam sukatan pelajaran dan 20 tahun
orang Melayu sudah mengenepikan tulisan Jawi, sekarang kita sudah boleh
tengok, anak-anak sudah tidak boleh baca kitab agama, tidak boleh baca
Quran.
Dan sekarang ini sudah menjadi bebanan keatas kerajaan membelanjakan wang
begitu banyak untuk jaga belia-belia yang sudah (ketagih) dadah dan
sebagainya kerana agama mengajarkita bahawa semua gerak geri kita di muka
dunia ini, kesannya dapat dilihat pada hari akhirat nanti, the last day.
Tekanan dari pelajaran ini dulu kuat. Sekarang tekanan itu sudah tidak ada.
Q: Apakah yang mendorong Tok Guru untuk berkecimpung dalam politik?
Nik Aziz: Puncanya begini. Bila saya balik daripada luar negeri pada tahun
1962, saya menjadi guru.
Tahun 1962 ini, keganasan Parti Perikatan terhadap ahli ulamak begitu menduk
acitakan, selalu tangkap ulamak, tangkap tok guru kampung, tangkap tok guru
pondok.
Kerja ini bercanggah sekali-kali dengan Islam. Ia tidak pernah berunding
dengan orang ini, tidak pernah ajak muzakarah. Tangkap dan sumbat, ISA
terus.
Banyak ahli ulamak Kelantan kena ISA di Batu Gajah. Saya perhati ini
perbuatan tak betul. Saya tak kata apa, cuma ucapan-ucapan saya pada
tiap-tiap malam, cara Islam.
Masyarakat bila dia dengar, anggap saya ini orang PAS kerana ucapan saya,
kata mereka, mirip dengan PAS. Saya tidak menjadi orang PAS tapi penonton
dengardan kata "Dia ni orang PAS." Bila berlaku kematian seorang wakil
rakyat, wakil parlimen Kelantan Hilir, sekarang ini ditukar menjadi
Pengkalan Chepa, namanya Haji Ahmad Prai.
Haji Ahmad ini orang Seberang Prai. Dia menjadi wakil rakyat parlimen
Kelantan Hilir. Bila mati hamba Allah ini, tahu-tahu saya dipilih menjadi
calun.
Saya tengah mengajar di Maahad Muhammadi datang wakil rakyat Panchor, Pak
Nik Lah Arshad, dia kata "Ustaz, Datuk Asri minta ustaz pergi kerumah dia
sekarang."
Saya kata "Pasal apa?" "Entahlah" kata dia, "Orang ramai tengah tunggu
ustaz."
Saya pun berhenti daripada mengajar , terus pergi kerumah Datuk Asri,
tahu-tahu, ahli jawatankuasa agung PAS datang mesyuarat sini, memilih calun
baru untuk mengganti Allahyarham Haji Ahmad Prai.
Jadi Datuk Asri kata, "Ustaz, kami buat keputusan supaya ustaz menjadi
calun." Terus dia bagi kepada saya wang RM500 bayar gaji sebulan.
Saya terus pergi ke Majlis Agama, kerana ketika itu Maahad Muhammadi dibawah
Majlis Agama, jumpa Tengku Seri Utama sebagai pengerusi Majlis Agama Islam
Kelantan beritahu saya terpaksa berhenti kerana saya telah diminta oleh
parti PAS untuk menjadi calun. "Ini duit RM500."
Bila saya beri, terlebih tiga ringgit. Saya ambil duit RM3 dan beri balik
pada Datuk Asri. Saya kata "Ini duit lebih." Dia pun terima.
Mulai daripada situlah, saya menjadi orang PAS. Jadi ahli PAS tiga hari
sebelum daripada menjadi calun, tahun 1967. Kalau tak silap saya bulan
sepuluh (Oktober). Mulai dari situlah saya menjadi orang PAS dan berkempen
menjadi calun dan saya menang.
Mulai dari situlah sampai hari ini saya tak berhenti-henti jadi wakil
rakyat, apa boleh buat, nasib saya. Itu cerita saya, bukan saya masuk PAS
tapi dimasukkan saya dalam PAS dan saya setuju.
Q: Sebab?
Nik Aziz: Saya setuju sebab PAS memperjuangkan Islam. Islam ini menjadi
agama yang dibawa oleh nabi-nabi. Sejak daripada Nabi Muhammad naik ke Nabi
Isa, naik ke Nabi Musa terus. Semua nabi-nabi bawa Islam.
Kita sebagai orang Islam, Melayu baik Cina baik India baik mana-manapun,
mesti jaga Islam. Melayu tak payah dijaga kerana Melayu ini, jaga pun
Melayu, tak jaga pun Melayu.
Bangsa Melayu serupa juga bangsa Cina, orang jaga bangsa ini tak betul. Kita
jaga benda yang boleh jadi hilang, barulah kita perlu jaga.
Bangsa Melayu, dia tidak akan hilang. Bangsa Cina pun dia tidak akan hilang.
Bangsa eskimo, bangsa asli pun dia tidak akan hilang. Perlu apa kita jaga?
Yang jaga ini ialah benda yang boleh jadi hilang. Islam ini boleh jadi
hilang. (agama) Kristian boleh jadi hilang, (agama) Yahudi boleh jadi
hilang. Hak ini yang kita kena jaga.
Bila jaga Islam, Melayu juga terjaga sama, Cina juga terjaga sama, India
juga terjaga sama kerana Islam mengajar bahawa Melayu, Cina, India, seluruh
manusia dunia ini hanya daripada seorang bapa. Bapa orang Melayu Adam, bapa
orang Cina juga Adam, bapa orang Inggeris juga Adam. Jadi ia (Islam) satu
ajaran yang cukup baik, ajaran yang penuh dengan perpaduan.
Bila bapa kita satu, ibu kita pun satu, ertinya kita ini adik-beradik.
Cumanya dua pupu, seribu pupu, sepuluh ribu pupu tapi darah manusia semuanya
satu dari Adam waalaisalam.
Satu ajaran yang cukup penuh dengan keamanan, dan kesaudaraan. Melayu
walaubagaimana miskinpun Melayu, bagaimana kuruspun Melayu. Cina juga, kurus
pun Cina, gemuk pun Cina, kecil pun Cina, tua pun Cina, tak perlu dijaga.
Bangsa tak perlu dijaga.
Q: Apakah pengaruh politik Tok Guru?
Nik Aziz: Ilham politik ini pertama dari ajaran, didikan, kedua daripada
Quran, yang ketiga daripada guru-guru yang saya terima di India, terima di
Pakistan, terima di Mesir. Guru-guru dan bacaan-bacaan serta alam sekitar
yang berlaku, semuanya memberi ilham pada saya untuk memperjuangkan Islam.
Q: Apakah peristiwa yang meninggalkan kesan paling dalam pada Tok Guru?
Nik Aziz: Sebelum saya dilantik menjadi wakil rakyat, saya juga sebagai
wakil rakyat kerana saya selalu berceramah.
Orang tua saya, dia suruh saya, tiap-tiap hari Jumaat, dia tidak beri saya
sembahyang di satu tempat. Dia suruh saya pergi merata-rata.
Saya guna motosikal Honda 70cc, semasa saya jadi guru, saya guna inilah
kemana-manapun.
Oleh kerana saya menjadi guru, ramai murid-murid saya bertaburan diseluruh
Kelantan. Kemana saya pergi, umumnya ada anak murid. Anak murid itu beritahu
bapanya, "Ini guru kita pak" atau "Ini guru kita mak."
Jadi akhir sekali tiap-tiap hari Jumaat, saya pergi sembahyang Jumaat ada
orang kenal saya kerana kampung itu juga ada satu dua anak murid, kampung
ini juga ada satu dua murid. Ini menyebabkan saya semakin popular.
Saya tak cadang langsung jadi wakil rakyat, tapi sebagai orang Islam,
menjadi kewajipannya sebar ilmu. Dimana saya pergi, imam masjid minta saya
berkhutbah. Bila orang tahu saya belajar di India, Mesir dan Pakistan, dia
suka dengar ucapan saya, sampai sekarang pun alhamdulilah. Mungkin kerana
sambutan ini, ilham saya sebagai pemimpin semakin mendalam.
Lebih-lebih lagi, Parti Perikatan zaman dulu nampak sangat kesilapannya.
Kesilapannya pertama, guna kekerasan. Selalu guna polis ugut orang kampung,
sedangkan polis ini anggota kerajaan. Perikatan ini parti. Bagaimana mereka
mempergunakan alat kerajaan untuk menegakkan parti. Ini saya belajar di
universiti. Ini salah.
Masa pilihanraya juga mereka mempergunakan jentera kerajaan, kereta-kereta
kerajaan, radio, TV. Ini harta kerajaan, bukan harta parti mereka guna
sedangkan apa yang kita belajar di universiti lain. Sekarang ini, semakin
ramai pelajar keluar dari universiti tiap-tiap tahun, beribu-ribu. Makin
orang lagi orang marah pada Umno yang mempergunakan harta kerajaan.
Saya tertarik dengan ucapan Datuk Shahrir (Samad), ketua Umno Johor Bahru,
dalam sebulan lepas. Dia marah kepada Umno kerana Umno sudah tidak tahu beza
antara kerajaan dengan parti. Dia mempergunakan harta kerajaan untuk parti.
Sebarang masaalah dalam Umno, dia kata, gunakan kekerasan, gunakan
undang-undang. Sedangkan kebijaksaan parti perlu dipergunakan, bukan dengan
undang-undang. Dia semakin parah sekarang penyakit dalam Umno.
Bila kita terang benda itu pada masyarakat, masyarakat terima. Sebab itu
masyarakat makin menyingkirkan Umno kerana Umno membawa jalan yang salah,
dari segi demokrasi pun tak betul, dari segi Islam pun tak betul. Sebab itu,
NGO semakin ramai pada alternatif.
Sekarang ini di Taiwan, kerajaan yang memerintah 54 tahun tumbang dan
sebelum itu Suharto juga tumbang, itu menambahkan semangat masyarakat disini
dan Umno tidak boleh sekat benda ini kerana tv, internet semua sekali sebut.
Q: Ada yang berkata Tok Guru mempunyai pandangan serong terhadap wanita.
Nik Aziz: Perkataan serong ini diguna oleh Umno pada saya bagi menyingkirkan
saya dari masyarakat.
Macamana saya nak memandang serong kerana ibu saya ini wanita, isteri saya
pun wanita, anak-anak saya pun ramai yang wanita, dan Nabi Muhammad pesan
kepada orang ramai supaya belajar sebahagian daripada agama daripada
isterinya sendiri.
Oleh yang demikian, tak timbul masaalah pandang serong pada wanita. Apa yang
ada ialah saya nak baiki, saya nak baiki kerosakan masyarakat memperalatkan
wanita untuk tujuan seks yang semakin berkembang sekarang dan untuk tujuan
melariskan kommoditi mereka dalam iklan-iklan.
Ini saya kata tak betul, mempergunakan wanita, gambar-gambar wanita dalam
iklan kommoditi perniagaan, ini tak betul. Ini memperlekehkan wanita,
meletakkan wanita sebagai satu barangan untuk perniagaan. Banyak lagi cara
lain untuk tarik pelanggan membeli baranga kita. Ini semua propaganda Umno.
Umno tak ada modal selain daripada berbohong. Berbohong ini, kalau ada
tekniknya, memang orang percaya tetapi tidak semua masa, tidak semua tempat,
tidak semua orang, not everyone, not every place, not every time.
Q: Kenapakah Tok Guru selalu dibayangi kontroversi? Contohnya isu Raja-raja
dan komen Tok Guru mengenai orang Cina.
Nik Aziz: Cakapan saya diakui benar. Kalau orang Cina terima Islam, maka
dengan sendiri orang Cina tidak akan buat benda benda seperti arak, sebagai
tauke arak. Orang Cina yang berugama Buddha, berugama Kristian, semua tahu.
(Ugama) Buddha tak mahu bagi orang mabuk, Kristian pun tak mahu bagi orang
mabuk, ugama manapun tak mahu bagi orang mabuk. Jadi percakapan saya itu
betulkah salah?
Kalau cakap saya salah, apa boleh buat, tarik balik, tak apa. Tapi kalau
cakap saya betul, nak marah juga, itu tak betul.
Yang keduanya, boleh jadi orang Cina tersentuh hatinya kerana saya kata
kalau orang Cina masuk Islam.
Boleh jadi tersentuh kerana Islam ini di momok-momokkan, diperlekehkan oleh
golongan orientalis, diperlekehkan pula oleh orang Umno. Umno selalu sebut,
"Islam ni melampau, Islam ni extremis."
Maka boleh jadi sebahagian orang Cina ini terpengaruh dengan cakap-cakap
Islam ini melampau. Jadi bila saya kata, "Kalau orang Cina masuk Islam,"
(orang Cina berfikir)"Apa itu Tok Guru suruh saya jadi orang extremekah?"
Boleh jadi begitu agaknya.
Sebab itu ada orang Cina rasa tak sedap dengan cakap saya tetapi
sekali-sekala saya kena sebut benda baru. Saya sebagai pemimpin mesti ada
idea. Takkan saya nak sebut benda yang sama puluh-puluh tahun. Mesti ada
satu, lepas satu, satu, lepas satu. Itu kewajipan saya sebagai pemimpin.
Soalnya betul atau tidak percakapan saya bahawa kalau orang Cina terima
Islam, banyak benda benda yang macam mabuk, macam arak, orang Cina bila
masuk Islam, mesti tidak minum arak.
Dalam Kristianpun, orang Kristian tidak minum arak, kalau orang Kristian
benar-benar, bukan? Begitu juga masaalah disko, perempuan. Kebanyakan
kedai-kedai disko, tari-menari, nightclub dipunyai oleh orang Cina. Kalau
orang Cina itu juga, tauke Cina, masuk Islam, adakah dia nak terus dengan
disko atau pob (pub). Masaalahnya, benda yang saya cakap itu salahkah betul.
Sampai sekarangpun saya tak nampak percakapan saya salah, cuma boleh jadi
pendedahan, cara saya dedah itu boleh jadi kasar sikit. Kalau hak itu, saya
minta maaflah. Pendedahan kasar itu apa boleh buat. Sekali-sekala takkanlah
saya tak mahu dedah benda-benda yang baru-baru. Barulah ucapan saya itu
menambahkan ilmu pengetahuan kepada pendengar-pendengar.
Q: Ada yang berpendapat pandangan simplistic Tok Guru tidak realistic kerana
masaalahnya rumit. Memasuki Islam sahaja tidak akan dapat menghapuskan
segala dosa-dosa didunia. Terdapat juga orang yang berugama Islam yang
melakukan dosa-dosa. Kalau bukan dengan arak atau berjudi, dengan melakukan
dosa-dosa lain.
Nik Aziz: Baik, soalnya adakah ucapan saya 100% simplistic begini.
Jarang-jarang sekali saya sebut. Tidak tiap-tiap kali saya guna syurga dan
neraka.
Saya, kalau tuan check balik ucapan saya, hampir 80% saya tidak guna sistem
itu tetapi sekali-sekala saya kena sebut bagi membolehkan masyarakat,
khasnya masyarakat Melayu didunia ini ingat akan akhirat.
Misalnya begini, saya kata, "Jangan berniaga dadah, jangan hisap dadah,"
nanti kamu kena gantung sampai mati. Adakah salah ucapan saya begitu? Tak
salah.
Polis pun sebut, mahkamah pun sebut, wartawan pun sebut. Jadi kalau saya
guna simplistic mengenai dengan dadah orang tak marah pada saya tapi kenapa
kalau saya guna simplistic dengan akhirat, dengan syurga, orang marah kerana
apa? Ini kerana kita tipis semangat beragama.
Kristian juga tipis, orang Islam juga tipis, orang Buddha juga tipis. Adakah
saya akan biarkan tipis semangat berugama ini berterusan? Ataupun saya mesti
tebalkan? Orang Kristian juga mengaku neraka ada, orang Buddha juga mengaku
neraka ada. Jadi bagaimana hendak mengejutkan masyarakat neraka itu ada
kalau saya tidak sekali-sekala mengaku neraka itu ada.
Saya tidak sebut tiap-tiap hari, tiap-tiap ucapan saya tidak sebut.
Sekali-sekala saya kena sebut tali gantung atas dunia ini, saya sebut rotan,
"Kamu buat begini, kamu kena rotan 40 kali." Adakah saya salah dari segi
undang-undang?
Semua hakim setuju, semua polis setuju. Jadi kenapa ini setuju, itu tak
setuju? Ini menunjukkan mereka marah kepada saya (kerana) menebalkan
semangat agama. Agama Buddha pun setuju, Kristian pun setuju.
Oleh kerana penceramah-penceramah politik banyak menggunakan isu
semata-mata, tidak sebut masaalah akhirat, saya mesti ada panduan saya
sendiri. Tak boleh saya turut orang lain. Kesimpulannya, saya mahu tebalkan
semangat agama. Semua agama tahu neraka dan syurga ada, tapi orang tak mahu
cakap.
Pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur tak sebut sebut dan neraka. Adakah saya juga
tak akan sebut begitu sedangkan benda itu ada? Soalan ini bagus. Saya
berpuas hati jawab.
Q: Masaalah-masaalah politik yang dihadapi oleh negara kita sekarang. Adakah
ia semakin rumit atau sama sahaja dengan 50 tahun lalu?
Nik Aziz: Sebagai seorang (dari) parti pembangkang, yang mahu sebarkan Islam
melalui parti politik, bagi saya sekarang semakin mudah jalan ke politik
kerana usaha menyebarkan Islam melalui ilmu, bukan melalui kekerasan, bukan
melalui ugutan, bukan melalui ilmiah.
Dan saya nampak, tiap kali kemana saya pergi pun pendengarnya ramai
berbanding dengan penceramah Umno. Orangnya tak ramai dan orang kampung nak
jual air batu pun tak ada. Tak ada satu gerai yang dibuka ditepi jalan untuk
jual makanan ringan atau air, tempat ceramah Umno tak ada.
Tapi orang PAS, petang-petang lagi orang datang ramai-ramai untuk menjual
barang kerana orang tahu ramai. Bukannya kerana kena kerah, dia datang
sendiri. Orang tua, orang muda bawa anak. Soalnya, kenapa orang suka dengar
ceramah PAS, khasnya saya sendiri?
Semakin suratakhbar pro-Umno ini tuduh saya, semakin orang benci dan semakin
banyak kerusi-kerusi Umno kalah, kerana orang tahu ini membohong. Saya kalau
orang Umno marah, tulis dalam suratkhabar Umno tulis berat-berat, saya kata
"Bagus, ini menimbulkan kemarahan orang." Sebab itu saya tak jawab, saya tak
marah.
Baru-baru ini, Berita Minggu, seorang bernama Said, tulis teruk-teruk pada
saya. Saya senyap, saya kata "Ini menambahkan populariti aku. Orang akan
benci dia, orang akan benci Umno automatik." Macam dalam demonstrasi di
Kuala Lumpur baru-baru ini. Tak pasal-pasal suratkhabar besar-besarkan.
Akhir sekali, publisiti Keadilan (Parti Keadilan Nasional) bertambah.
Seminggu sebelum (demonstrasi) dia sudah bagi dah, warning sana warning
sini. Orang tak tahu pun sudah tahu. Ini publisiti free pada Keadilan.
Padahal kalau dia buat senyap-senyap begitu, kalau orang buat demonstrasi,
dia pergi suruh balik, sselesai masaalah. Tapi dua minggu sebelum, dia sudah
besar-besarkan.
Q: Mengapa ramai orang beranggapan PAS adalah seperti Taliban di
Afghanistan, negara mundur, tiada pembangunan, tiada hak untuk wanita.
Apakah komen Tok Guru tentang persepsi ini?
Nik Aziz: Kita tahu mengenai Taliban melalui suratkhabar. Tak ada orang
Malaysia pergi sendiri ke Afghanistan.
Usahkan kita nak dengar Taliban melalui suratkhabar, hak mengenai PAS
diKelantan pun orang tak boleh percaya. Hak yang berlaku diKelantan pun tak
serupa.
Hak lepas pilihanraya baru-baru ini, orang Cina dari luar negeri yang datang
ke Kelantan, dia kata "Hak yang kami lihat tak serupa dari hak yang kita
baca." Jadi apa yang berlaku beribu-ribu kilometerkan?
Di Kelantan yang dua jengkal pun dia boleh berbohong. Dia Kata kami tolak
pembangunan, kami buat huru-hara, barang-barang disini mahal, banyak yang
kena potong tangan. Itu bohong.
Sewaktu komunis berperang dengan Amerika, kita dengar semua masjid-masjid di
negeri Cina diroboh, ahli ulama semua kena bunuh, Al-Quran semua kena bakar.
Ini yang kita baca dari suratkhabar Amerika, propaganda.
Tapi yang saya pergi sendiri, negeri Cina, ke Beijing, ke Chengkiang, tiga
tempat saya pergi, masjid-masjid masih ada, tok imam masih ada. Ini
propaganda Amerika memburukkan komunis kerana dia berperang dengan komunis.
Ini kenyataan.
Jadi suratkhabar kini sudah tidak bebas. Suratkhabar sekarang sudah begitu
dikongkong, rakyat terpaksa baca satu jenis suratkhabar sahaja. Bagi kami
orang PAS nak jawab balik melalui suratkhabar, tak boleh. Kalau dua kali
seminggu, sekarang dua kali sebulan.
Banyak isu-isu yang perlu diperjelaskan dah jadi basi. Jadi kita hidang
benda basi. Umno nak sangat PAS hidang benda basi, sampai orang tak boleh
terima. Cuba beri peluang untuk suratkhabar ini bebas.
Orang parti pembangkang ini juga ada suratkhabar, orang parti kerajaan juga
ada suratkhabar. Ketika itu rakyat nak terpengaruh lagikah PAS itu Taliban
atau rakyat berpandangan second opinion.
Sekarang ini rakyat terima PAS macam Taliban kerana kami nak jawab tak
boleh. Bukan kerana kami macam Taliban tapi kerana apa yang disebut mengenai
PAS, kami tak boleh jawab. Nak ceramah dua tiga kali bolehlah cermah tapi
kami pun sakit-sakit demam juga.
Kesimpulannya, PAS tidak macam Taliban dan PAS tidak macam Saudi, PAS juga
tidak macam Iran. PAS ialah seperti yang tuan-tuan lihat sekarang. Kami ada
pegawai wanita, pejabat saya pun pegawai wanita. Kami lantik wanita menjadi
senator, lantik wanita menjadi wakil perbandaran, lantik wanita menjadi
guru-guru, jadi professor. Adakah ini macam Taliban?
Kami tidak minta wanita pakai tudung muka, apa yang kita minta ialah tutup
aurat. Dia nak pakai macam India pun tak apa, nak pakai macam Melayu pun tak
apa, nak pakai macam Pakistan pun tak apa, asalkan aurat ditutup, sudah.
Cukup lemah-lembut, dan cukup simple dan sederhana. Beri peluang kepada kami
juga untuk kebebasan. Kami menuntut hak kebebasan untuk bersuara yang Umno
sekarang tutup kami dan kalau perlu kami akan angkat kes ini ke PBB. Kami
boleh sebut bahawa Barisan Nasional ialah sebuah kerajaan yang begitu kuku
besi, menyekat kebebasan rakyat bersuara.
Q: Bolehkah dasar-dasar PAS dipraktikkan diseluruh negara?
Nik Aziz: Dulu dalam tahun 1951, waktu PAS di wujud dulu, PAS di perlekeh.
Tapi saudara tengok sekarang ini banding dengan tahun 1951 dulu, perbezaan
terlalu banyak.
Kalau pertama, ketika itu orang tak faham Islam selain daripada
sembahyang-puasa, itulah suasana yang dibentuk oleh penjajah bagi
mengenepikan Islam daripada masyarakat.
Penjajah Inggeris tafsirkan Islam ini sebagai religion, tidak sebagai addin,
way of life. Religion pun orang Melayu panggil ugama, addin pun orang
panggil ugama. Tapi tafsiran lain-lain. Sekarang PAS mahu mendedahkan Islam
kepada masyarakat dalam bentuk addin, tidak dalam bentuk religion.
Dan ini memang dimarahi oleh Umno kerana Umno ni kepala dia bahawa Islam ini
religion, bukan addin, sedangkan Nabi Muhammad sebagai orang pertama
mentafsirkan Islam, Dia mentafsir Islam ini dalam bentuk addin, dalam ibadat
juga Islam, dalam aqidah juga Islam, dalam ekonomi juga ada Islam, dalam
rumahtangga ada Islam, dalam budaya ada Islam, dalam sosial ada Islam, dalam
sukan juga ada Islam, semua sekali terlibat dengan Islam.
Itu yang kami hendak, itu yang kami tengah dedah dan itu yang menimbulkan
kemarahan Umno, yang menjadi penganut setia bagi penjajah Eropah, penganut
setia bagi religion bukan addin.
Q: Apakah wawasan PAS untuk Kelantan dan Malaysia khasnya?
Nik Aziz: Wawasanini terletak diatas keaadaan. Saya tidak boleh sebut benda
hak akan datang sekarang ini. Yang saudara lihat sekarang mula dari saya
pegang dulu berbanding dengan sekarang ini, baru 10 tahun telah banyak benda
yang kami buat, sedikit demi sedikit.
Yang pentingnya, saya berusaha bersungguh-sungguh nak memperkenalkan Islam
kepada masyarakat, baik Melayu, baik Cina, baik India, "Ini dia Islam, bukan
sebagaimana yang disebut oleh Umno."
Islam yang saya bawa sekarang ini Islam sebagai addin yang menyebabkan NGO
pun terima PAS, DAP pun terima PAS, PRM pun boleh terima PAS, Keadilan juga
terima PAS, Abim juga sekarang jadi calun PAS, JIM pun jadi calun PAS. Ini
sekarang baru ujud tapi 50 tahun dulu, mana kita boleh fikir DAP boleh
terima sekali dengan PAS.
Sekarang DAP tengok dengan dia mata sendiri, dengar dengan telinga dia
sendiri bahawa Islam yang dibawa sekarang tak serupa dengan fahaman
masyarakat. Ini yang memarahkan Umno.
Umno sendiri tengok orang Melayu 70% pergi kepada alternatif, Cina juga mari
kepada alternatif, India juga, Siam juga mari kepada alternatif. Ini benda
yang menimbulkan kemarahan bukan kerana pepecahan, kerana orang tak sokong
Umno.
Saya tertarik dengan tulisan Azizi Abdullah dalam Harakah. Dia marah pada
(Datuk Dr) Rais Yatim, sibuk nak buat undang-undang baru asingkan ugama
dengan politik sedangkan tak ada lebih lagi pada orang Islam suka pada Umno,
dia suka pada PAS. Kenapa nak marah?
Kerana rakyat sendiri dulu pun tak suka pada Umno, masuk Barisan Nasional.
Dia (Rais) bakar jambatan, kemudian juga tukar, masuk Umno balik. Jadi kalau
Rais Yatim boleh tukar parti begitu-begini, kenapa dia marah orang lain
tukar dari Umno kepada alternatif.
Saya harap orang Cina tidak dikongkong oleh Barisan Nasiona. Orang Cina,
saya selalu sebut, lebih cerdik dari orang Melayu. Kesihatan orang Cina
lebih tinggi dari orang Melayu, kekayaan orang Cina lebih dari orang Melayu.
Orang yang begini kalau boleh bimbing Islam, saya kata, "Lebih Baik."
Biar orang Cina memimpin Islam diMalaysia ini, biar orang Melayu turut. Bagi
saya tak apa. Bagi saya orang Cina, orang Melayu, adik-beradik semua, anak
(Nabi) Adam semua. Tak ada dalam kepala saya Cina, Melayu, tak ada. Saya
jalan tengok Islam, masyarakat Cina, Melayu . . . Cina yang mempunyai
pengalaman lebih banyak dari orang Melayu, kesihatan yang lebih baik,
kekayaan dia lebih tinggi, pengalaman dia lebih luas, orang yang macam
inilah memimpin Islam.
Q: Apakah pendapat Tok Guru bahawa orang bukan Islam menjadi ahli PAS?
Nik Aziz: Benda ini telah timbul dalam zaman Allahyarham Ustaz Zulkifli
Mohamed. Semasa dia masih hidup, sudah timbul persoalan bolehkah tidak orang
bukan Islam menjadi anggota bersekutu. Tapi kerana masa itu terlalu
kehadapan soalan begini, maka soalan itu tidak dibahas, bimbang Umno akan
serang, Umno akan kata macam-macam perkara.
Tapi sekarang ini, kalau timbul balik juga, boleh jadi boleh dibahas.
Sekarang ini, kalau orang bukan Islam tidak masuk PAS pun dia sudah ada
parti alternatif. Tak timbul masaalah dah, boleh atau tidak orang bukan
Islam masuk PAS.
Peringkat sekarang ini, dengan (Barisan) Alternatif, dia beri sokongan pada
Keadilan, DAP atau PRM. Serupa saja, sama-sama kita halau fahaman
karut-marut yang dibawa oleh Barisan Nasional.
Q: Apakah pendapat Tok Guru tentang pemimpin Umno sekarang?
Nik Aziz: Saya sebut bahawa Dr Mahathir orang yang cerdik, orang yang
pintar. Tapi dukacitanya, dia gunakan kecerdikan dia untuk memperjuangkan
sekular.
Saya nak ulang jawapan saya yang lepas-lepas. Kalau dia ni, ubah dasar parti
dia, daripada sekular kepada Quran (dan) Hadith, dan ubah dasar negara
daripada sekular kepada Islam, saya dah kata dalam stadium (dalam satu
ceramah) saya boleh terima dia sebagai Perdana Menteri, saya boleh sokong
dia terus-menerus dan syapun tak payah jadi Mentri Besar Kelantan.
Kalau dia kata Quran (dan) Hadith ini tak boleh diterima oleh orang Cina,
kita bincang.
Kita panggil orang Cina yang tak setuju Quran ini, tak kena dimana. Itu cara
Islam dan sekarang ini tak payah bincang dah, orang Cina sendiri pun boleh
terima PAS memalui (Barisan) Alternatif.
Orang Cina di bandar Kota Baru sekarang pun undi Haji Anuar Tan (Abdullah)
bukan kerana (Barisan) Alternatif tapi kerana PAS. Dia tengok sendiri dengan
mata dia, 10 tahun saya memerintah Kelantan, saya tidak pernah bezakan
Melayu dengan Cina.
Semua duit-duit kerajaan saya bagi, kepada sekolah-sekolah Cina milik tanah
kepada Sekolah Chung Hwakan? Saya beri milik tanah dalam tanah rizab Melayu
ditukar kepada sekolah Cina.
Saya tengok rakyat Kelantan ni, Cina baik, Melayu baik, orang yang
berpelajaran. Bila orang berpelajaran, dia tidak mengarut. Orang lain nak
tipu dia pun susah, dia pun tak kacau orang.
Q: Apakah pada pandangan Tok Guru, akan keadaan masyarakat dan negara pada
tahun 2020?
Nik Aziz: Saya tak mahu jadi Pak Nujum tetapi saya harap rakyat tidak
terpengaruh dengan dakyah yang dibuat oleh Barisan Nasional melalui menyekat
kebebasan bersuara, suratkhabar baik, radio baik, TV baik, mereka pajak
sebagai hak bapa mereka sendiri.
Kalau sistem ini jalan terus, akan timbul bermacam-macam masaalah. Saya bawa
satu contoh. Dalam 30 tahun dahulu, berlaku pembunuhan ahli ulama di selatan
Thailand. Haji Sulung kena bunuh.
Kelmarin saya pergi ke selatan Thai dan saya tengok rakyat Thai begitu
sekali seronok hidup dengan kerajaan sekarang. Orang Islam sendiri seronok
hidup kerana kerajaan Thai memberi kebebasan kepada rakyat Thai untuk
memilih siapa-siapa dan speaker parlimen dia pun orang Islam, menteri luar
pun Islam. Benda ini tak berlaku 30 atau 40 tahun lalu.
Orang sana pun sebut, kalau Haji Sulung kemuka dia punya cadangan untuk
mencari keadilan sekarang ini, tetap kerajaan terima dan tidak bunuh. Tapi
zaman itu, zaman diktator.
Kerajaan zaman itu diperintah oleh diktator, maka tak boleh cakap. Siapa
cakap akan dibunuh. Jadi benda ini sama, nak berlaku di Malaysia. Semua
pembangkang buat tak betul semua, sedangkan saya, peribadi saya sebagai
mentri besar dan sebagai anggota jawatankuasa PAS pusat dan mursyidul aam,
sewaktu krisis ekonomi negara, CNN memberi gembar-gembur kepada dunia supaya
Dr Mahathir berhenti, kalau tidak hancur ekonomi.
Bila wartawan datang pada saya, saya beritahu, "Saya tak setuju. Kalau nak
suruh Dr Mahathir berhenti, serah pada kami. Jangan kamu orang luar ganggu."
Ini menunjukkan politik saya bukan politik hentam buta, politik saya ada
panduan.
Saya parti pembangkang, nak suruh Dr Mahathir berhenti, beri pada saya, beri
pada PAS. Orang lain jangan ganggu, Amerika jangan ganggu, CNN jangan
ganggu, George Soros janggan ganggu. Dan Dr Mahathir semacam beri hormat
pada saya walaupun tidak sebut nama saya, sebut, "Ada pembangkang yang
menyokong saya."
Dalam masaalah raja-raja, bila dia ubah perlembagaan, mahu tarik balik
immuniti raja-raja, saya sokong, sedangkan saya seorang mentri besar,
dibawah seorang raja di Kelantan.
Tapi kerana benda dia buat itu betul, saya sokong tetapi dia memalukan raja,
ini saya tak sokong. Boleh baca balik suratkhabar pada bulan September 1993.
Banyak perkara-perkara yang memalukan raja, ini saya tak sokong tapi tarik
immuniti daripada raja, saya sokong. Pada saya, manusia tiada yang kebal,
kalau yang kebal yang ujud di muka dunia ini, tiada raja yang lain selain
daripada "Raja Muhammad."
Kalau Nabi Muhammad juga tidak kebal, bagaimana Raja-Raja Melayu boleh
kebal? Memang pahit tapi saya telan tapi memalukan raja-raja, saya tak
sokong. Usahkan memalukan raja, memalukan orang kampung pun tak boleh.
Inilah sebabnya orang Cina pun mula tertarik pada PAS.
Tokoh-tokoh Umno Kelantan sendiri, Haji Abdul Hamid yang menjadi ketua
penerangan 40 tahun dalam Umno sekarang masuk PAS seumur hidup, bayar wang
RM100. Jangan semua ucapan kami dipandang lekeh, itu tak betul. Itu bukan
politik, itu gangster.
Saya masih ingat ucapan guru saya dalam kuliah undang-undang di Al-Azhar
University. Dia kata "Mu kena faham, gangster dan kerajaan serupa sahaja.
Gangster pun ada sistem dia, peraturan dia, ketua dia. Baki lagi, haram atau
tidak, sah atau tidah sah. Gangster tidak sah, kerajaan sah.
Kalau kita selalu ketepikan nasihat orang, apakah jaminan kita ini boleh
betul? Sedangkan kita bukan malaikat. Nabi pun, Allahtaalah ajar supaya
minta nasihat sedangkan Dia ada Jibrail Allaisalam. Ini tak boleh kritik
sikit, demonstrasi sikit pun tak boleh sedangkan demonstrasi ini hak
kebebasan manusia. PBB pun boleh terima. Tahun lepas di Seattle, pun ada
demonstrasi. Yang tak boleh pukul sini, bakar sana. Ini bukan demonstrasi,
ini jahat.
Q: Tok Guru adakah teringat hendak bersara?
Nik Aziz: Saya tak ada rancangan untuk bersara dan saya tak ada rancangan
untuk meneruskan kerja. Bersara pun tak ada rancangan, meneruskan kerja pun
tak ada rancangan. Terletak atas keadaan. Selagi Umno terus kacau, saya akan
teruskan kerja saya. Bila Umno insaf, sedar, perbetulkan kedudukan dia, maka
saya fikir tak payahlah saya duduk disini.
----------------------------------------------------------------------------
----
Copyright C 1995-2000. Star Publications (Malaysia) Bhd. (Co No. 10894-D)
All rights reserved.