Dipetik daripada :
Laman Pemantau
Dr Mahathir Mohamad mengaku secara jujur bahawa Umno kini hidup dalam "hostile environment" atau persekitaran yang memusuhinya. "Guru, pegawai agensi kerajaan, pegawai kerajaan menentang kerjaan. Menentang parti kita," kata Mahathir dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno.
Mahathir menceritakan beliau telah bertemu dengan lebih 400 pegawai tinggi kerajaan baru-baru ini. Mereka marah dengan Perdana Menteri, Kerajaan dan Umno. Seterusnya, Presiden Umno itu mengaku para mahasiwa di universiti juga marah pada Kerajaan dan Umno. Mahathir hairan. Katanya, Kerajaan Umno bagi biasiswa dan hantar berpuluh ribu pelajar ke universiti tetapi kemudian mereka menentang Kerajaan. Mahathir mengaku bahawa kakitangan kerajaan, agensi kerajaan tidak lagi dengar arahan dan perintah pemimpin Umno dan Kerajaan. Dulu mereka ikut arahan kerajaan. Tetapi kini tidak lagi, kata Mahathir dengan bimbang.
Menurut Mahathir, pegawai-pegawai Kemas, pegawai-pegawai agama yang dilantik oleh Kerjaan tidak lagi ikut arahan kerajaan. Umno sekarang berada dalam keadaan yang berubah, kata Mahathir. "Umno berada dalam hostile environment" ujar Mahathir. Lalu Mahathir kemudiannya menyeru ahli-ahli Umno supaya jangan berharap lagi kepada Kakitangan Kerajaan, media yang menyokong Kerajaan, Kemas, Jakim dan sebagainya. Orang-orang Umno kena lakukan sendiri usaha mendapat sokongan rakyat. Demikian Mahathir mengingatkan. Pengakuan terus terang Mahathir ini membuktikan benar dakwaan para pengkritik dan pembangkang selama ini bahawa Umno dan BN menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen bagi mendapatkan sokongan.
Mahathir juga mengaku bahawa sokongan rakyat kepada Umno telah merosot. "Umno hilang undi yang banyak" kata Mahathir. Secara terang Mahathir berkata bukan Umno yang mendapatkan undi bagi membolehkan BN menang melebihi majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu. "Parti rakan yang dapatkan undi rakyat." Pengakuan Mahathir berterus terang.
Ucapan penggulungan Mahathir kali ini tidak ofensif. Ia lebih bersifat mengaku kelemahan. Mengkritik diri dan cuba mengambil hati atau memujuk kembali ahli-ahli Umno dan penyokong parti itu supaya bersatu semula. Jauh sekali bezanya ucapan penggulungan Mahathir tahun 2000 ini dengan ucapannya pada perhimpunan Jun1998 ketika isu kronisme, nepotisme dan korupsi ditimbulkan.
Mahathir berusaha menunjukkan sikap berlembutnya dengan berkata bahawa Umno tidak mahu mendera Kakitangan Kerajaan yang menentang Kerajaan dan Umno. Tetapi ucapannya di peringkat awal mungkin telah menimbulkan rasa kurang senang pihak-pihak tertentu. Tiga orang NaibPresiden yang dipilih iaitu Najib Tun Razak, Muhammad Taib dan Mahyuddin Yassin adalah sama seperti pemilihan Bahagian Umno Kubang Pasu yang dipimpinnya. Mahathir secara selamba telah berkata bahawa itu bukan pilihannya. "Saya pilih orang lain". Ini bermakna di dalam Umno sendiri Mahathir berada di dalam "hostile environment". Orang-orang pilihanya seperti Shahidan Kassim, Megat Junid, Isa Samad, Abu Hassan Omar, Ghani Osman telah kalah. Sebaliknya Ahma Zahid Hamid, Shahril Samad menang sebagai ahli Majlis Tertinggi. Tiga Naib Presiden yang baru itu adalah jelmaan semula Team Wawasan yang pernah dipimpin oleh Anwar Ibrahim dalam pemilihan tahun 1993. "Saya masih ingat," kata Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Presiden Umno yang baru dalam ucapan penggulungannya. Kerana Team Wawasan, "Saya terpelanting!" ujar Abdullah secara bergurau.
Mahathir sejak pada hari pertama perhimpunan hinggalah pada hari penutup telah bercakap tentang perpecahan di dalam Umno. Mahathir telah merayu berkali-kali termasuk berdoa supaya orang-orang Umno kembali bersatu. Jadi Mahathir mengaku bahawa perpecahan di dalam Umno begitu serius. Jadi bagaimana Umno mampu menyatukan semula orang-orang Melayu kalau Umno sendiri berpecah-belah?
Terlalu banyak pengakuan Mahathir kali ini. Misalnya, Mahathir mengaku bahawa di dalam Umno kesetian kepada pemimpin tertentu masih kuat. Beliau minta kesetian kepada pemimpin hendaklah terhad tetapi kesetian sepenuh hati hendaklah diberikan kepada parti. Adakah di dalam Umno pengaruh kesetiaan kepada Anwar Ibrahim masih kuat?
Mahathir telah mengaku bahawa para guru, mahasiswa, kakitangan kerajaan, pegawai agensi kerajaan kini ramai yang menentang kerajaan sehingga Umno berada di dalam persekitaran yang memusihinya. Pengakuan jujur Mahathir ini boleh dijadikan perbandingan ke atas Umno dan spesis-spesis hidupan yang telah pupus di alam ini akibat hidup di dalam persekitaran yang memusuhinya.
Misalnya dinosur telah pupus kerana habitat persekitarannya telah berubah dan tidak sesuai lagi baginya. Tengku Razaleigh Hamzah pernah mengingatkan bahaya Umno akan mengalami nasib yang sama seperti dinosur jika tidak ada perubahan pada parti tu. Beliau menyebut tentang perlunya Umno menarik anak-anak muda menyertai parti itu. Abdullah Ahmad Badawi kelmarin mengaku orang-orang muda sekarang menjauhi Umno. Mahathir pula mengaku beribu orang mahasiswa sekarang memusuhi Umno. Adakah ini bermakna Umno sejenis spesis yang sedang menghadapi ancamam kepupusan?