Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Satu Renungan untuk Mahasiswa UiTM

Asslamualaikum,

Misi UiTM

Membangun generasi Bumiputera supaya menjadi profesional, berilmu, berinovasi, berdaya saing, bertaqwa dan mampu menerajui pembangunan.

Merujuk kepada misi UiTM di atas, terdapat 3 faktor utama yang membentuk misi tersebut iaitu Bumiputera, bertaqwa dan pembangunan.

Bumiputera menurut pandangan umum secara ringkasnya merupakan generasi yang lahir di Malaysia dan dikatakan sebagai penduduk asal di negara ini. Komponen utama Bumiputera ialah bangsa Melayu yang umumnya beragama ISLAM. Meninjau senario bangsa Melayu pada hari ini, boleh dikatakan ramai di antara profesional yang beinovasi dan berdaya saing terdapat merata di negara Malaysia, yang sebahagiannya adalah produk UiTM (dahulu ITM). Tidak dinafikan juga UiTM merupakan antara pemangkin dan pengupaya kewujudan golongan bumiputera profesional ini.

Secara tidak langsung juga bumiputera profesional ini merupakan peneraju di dalam agenda pembangunan negara. Pembangunan di negara ini jika diteliti memperlihatkan satu fenomena penyerapan identiti asing berdasarkan beberapa faktor (secara ringkas) :

Politik

Soal pemerintahan dan pentadbiran nagara tidak beridentitikan identiti sebenar masyarakat bumiputera kerana sistem dari segi perundangan, pendemokrasian, agenda eksekutif dan perancangan pembangunan adalah celupan dari warisan penjajah dan hanya disesuaikan mengikut pandangan logik aqal manusia.

Ekonomi

Sistem perekonomian yang tidak seimbang antara golongan-golongan tertentu di dalam masyarakat mewujudkan lompang antara kaya dan miskin yang besar.

Sosial

Pelbagai prinsip asas sosial terhalang seperti keadilan kebebasan bersuara dan hak menyuarakan pandangan secara terbuka di cabuli. Keruntuhan moral dan akhlak generasi muda dengan membiarkan pelbagai agenda yang melalaikan berlangsung di negara ini.

Disebabkan suasana di atas berlangsung yang mana antara penyumbangnya lahir dari bumiputera sendiri maka UiTM memuatkan perkataan bertaqwa di dalam misinya. Secara ringkasnya taqwa bermaksud takut, gerun dan taat terhadap Allah. Seringkali di dalam khutbah Jumaat diajak oleh khatib supaya bertaqwa kepada Allah. Golongan yang bertaqwa merupakan golongan yang pada dasarnya membuat yang disuruh dan meninggal yang dilarang. Ini merupakan lantaran daripada ketakutan yang dialami terhadap Allah.

Realiti di UiTM

Barisan pimpinan akademik dan hal ehwal pelajar yang sama sekali gagal membentuk suasana ketaqwaan sebagaimana di dalam misinya. Pelbagai kes yang dilaporkan dan tidak dilaporkan yang menyaksikan keruntuhan akal budi mahasiswa UiTM. Kecemerlangan diukur secara jumud yang hanya secara kuantitatif dan mengabaikan kualitatif. Hilang sifat cintakan ilmu dan lahir sifat cintakan hiburan. Pergaulan bebas menjadi satu perkara biasa , hiburan menjadi pengisian jiwa yang utama, program dakwah dan kepimpinan disekat dan disukarkan pelaksanaannya, pembangunan jasmani diutamakan daripada pembangunan kerohanian. Dipendekkan, UiTM masih lagi keliru dengan misinya untuk mewujudkan bumiputera bertaqwa.

Persoalan

Dimana taqwanya UiTM??? Adakah perkataan taqwa di dalam misi itu sebagai penghias ayat?? Siapa penggubal misi UiTM?? Adakah mereka faham maksud taqwa di dalam Islam?? Atau pun mereka mempunyai definisi lain ??? Adakah mereka takut selain dari Allah?? Adakah mereka takut melakukan yang dilarang selain Allah dan membuat segala yang disuruh selain dari Allah??

Kesimpulan

Usah diharapkan untuk melahirkan generasi bertaqwa melalui UiTM kerana UiTM sendiri mencabuli misinya. Mahasiswa yang akan lahir ialah mahasiswa yang jumud pendirian dan idealisme. Profesional yang bakal menerajui pembangunan ialah profesional yang berfungsi untuk pembangunan jasmani sahaja. Mereka ini adalah seperti jentera dan robot yang dicaskan dengan material dan hiburan. Kekeliruan budaya mahasiswa dan ilmu merupakan satu fenomena yang boleh diperbetulkan melalui kefahaman yang benar iaitu Islam sebagai teras pengupaya segala ilmu. Namun, tiada usaha-usaha yang serius yang dibuat oleh UiTM untuk menonjolkan Islam sebagai teras pengupaya segala ilmu setakat ini untuk melahirkan profesional bertaqwa seperti di dalam misi UiTM.

Wassalam
Alim Mujahid
Fakulti Pengurusan Perniagaan
HRMers


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com