Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Pelaksanaan Islam di UiTM : Antara Harapan dan Realiti

Assalamualaikum,

Firman Allah : Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan (As Saff : 2-3)

Pimpinan UiTM telah menobatkan objektif akademik UiTM iaitu “….pendedahan kepada ilmu pengetahuan dari mana-mana tamadun secara terbuka serta penghayatan terhadap Islam,……” ini telah menunjukkan akan keyakinan dan kepentingan nilai agama dalam mewujudkan persekitaran ilmu yang komprehensif berteraskan ilmu Islam.

Pelaksanaan Islam di UiTM
Hakikat pelaksanaan Islam di UiTM tidak menampakkan akan kesungguhan pimpinan tertinggi UiTM. 'Leading Force' yang ada pada pimpinan tidak digunakan ke arah pembentukan insan profesional bertakwa seperti di dalam misi UiTM, “Membangun generasi Bumiputera supaya menjadi profesional, berilmu, berinovasi, berdaya saing, bertakwa dan mampu menerajui pembangunan”. Kefahaman tentang Islam sebagai ad-Deen tidak dihidupkan dalam jiwa setiap warga UiTM terutamanya para siswazah.

Menyingkap pula realiti pengajaran dan pembelajaran subjek UIS (Universal Islamic Studies) dan TITAS (Tamadun Islam dan Tamadun Asia) di UiTM, memperlihatkan satu ketempangan idea dan fikrah dalam usaha untuk mencapai objektif subjek tersebut.

Realiti
Pimpinan Tertinggi - Lebih bermatlamat untuk melahirkan siswazah dalam jangka masa yang singkat setanding dengan IPTS. Secara strategiknya perlu dipendekkan tempoh pengajian dan mengurangkan jumlah kredit. Dalam menyaingi bidang keilmuan konvensional maka, subjek pendidikan Islamlah yang menjadi mangsa untuk dipendekkan tempoh pengajiannya. Gaya pengurusan pimpinan yang tidak cenderung ke arah keIslaman tetapi lebih mengungguli pengurusan 5S dari Jepun yang secara langsung mengenepikan sistem pengurusan Islam yang mampu dipelopori jika ada kesungguhan.

Pusat Pendidikan Islam - Sebuah pusat yang berada di tingkat 11 bangunan Menara yang semakin terpinggir berikutan matapelajaran yang ditawarkan menjadi mangsa pemancungan jam kredit. Maka jadilah subjek UIS dan TITAS sebagai subjek yang berstatus mencukupkan syarat sahaja. Namun jika dihayati ianya dapat membentuk satu kerangka pemikiran yang berteraskan fikrah Islam dan dapat menyaring segala ilmu kontemporari pada masa kini

Pusat Khidmat Islam Bersepadu - Disempitkan skop pelaksanaannya dengan menganjurkan program Bimbingan Fardhu Ain kepada pelajar baru dan menyelaras program Agama dan Asas Sosial Islam (ADASI). Program-program bina insan telah menyepi dan tidak ada lagi program-program penyegaran semula keilmuan Islam seperti wacana yang mengupas isu - isu mutakhir. Pusat Islam semakin dingin dengan kehadiran jamaah tanpa usaha menghidupkan program secara berjamaah.

Mahasiswa/i - Lantaran ketidak sungguhan pihak UiTM untuk melaksanakan Islam sebagai asas penghayatan ilmu yang ditimba, maka para siswazah telah mengambil mudah subjek dan program yang berbentuk keIslaman. Bagi para siswi, tudung dipakai ketika kuliah ( UIS atau TITAS) dan ditanggalkan selepas kuliah. Ini sebagai mensyaratkan diri untuk mempelajari ilmu Islam yang secara langsung. Atau kerana yang bersyarah itu ialah ustaz atau pun ustazah. Namun, yang pastinya sebahagian para siswazah UiTM sudah hilang kefahaman asas tentang ilmu Islam dan cara hidup Islam. Sekiranya mereka diterapkan dan difahamkan secara berterusan tentang tanggungjawab terhadap agama maka, tidak mungkin pergaulan bebas dan pakaian yang tidak menutup aurat menjadi kebiasaan. Siswazah yang tinggal di luar kampus pula banyak terlibat dengan kegiatan yang rendah akal budinya jika dibandingkan dengan status mahasiswa. Kegiatan-kegiatan sosial yang cenderung ke arah kemaksiatan terus berleluasa di kalangan mahasiswa yang tinggal di luar kampus kerana kehidupan yang lebih bebas. Tinjau sahaja ke rumah-rumah sewa siswa UiTM pada waktu solat Jumaat dan hitung sendiri berapa ramai yang tidak mempedulikan waktu solat Jumaat dengan bersenang lenang di rumah sewa atau pun ke tempat-tempat lain. Apatah lagi pada waktu solat fardhu.

Pimpinan Mahasiswa - Barisan pimpinan mahasiswa (MPP dan lain-lain Persatuan dalaman dan Kolej) seolah-olah berada di telunjuk pihak pengurusan. Sebarang aktiviti atau program yang didapati tidak selaras dengan kehendak Bahagian Hal Ehwal Pelajar, maka program tersebut dilupuskan atau disukarkan pelaksanaannya. Pimpinan mahasiswa pula ditakutkan dengan pelbagai ancaman yang tidak munasabah dari pihak UiTM.

Rumusan
Senario yang berlaku di UiTM pada hari ini memperlihatkan falsafah, misi dan objektif tidak konsisten dengan realiti. UiTM merupakan kilang menghasilkan mahasiswa bumiputera yang mampu mendepani segala cabaran dan ancaman di masa akan datang. Persiapan yang terbaik ialah dengan menyandarkan segala ilmu dengan pegangan agama yang benar sebagai daya yang bertitik tolak dalam setiap tindakan. Ilmu yang berteraskan agama mampu menjadi pengupaya dalam menerajui agenda pembangunan negara yang bertamadun yang mempelopori segala bidang ilmu yang bersepadu seperti pada zaman al Farabi, Ibnu Sina, al Mawardi dan sebagainya.

Alim Mujahid
Fakulti Pengurusan Perniagaan


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com