Isu disiplin pelajar sekolah menjadi paparan media dan segenap lapisan
masyarakat memberikan pandangan dan cadangan mengenai isu yang sedang hangat
diperkatakan. Bakar sekolah merupakan salah satu isu disiplin yang bercambah
ekoran daripada siri salah laku pelajar yang lain seperti pukul guru, ponteng
sekolah, mengugut, jenayah juvana seperti rogol, pecah rumah dan banyak lagi kes
yang tidak perlu disebutkan.
Lantaran dari keadaan sedemikian maka pelbagai kaedah dan modus operandi
dicadangkan. Konvensyen demi konvensyen, kongres dan mesyuarat diadakan.
Siri-siri dan program kesedaran diwujudkan untuk dijadikan alternatif kepada
minat golongan sasaran. Dasar dan hala tuju pendidikan disemak bagi memantapkan
upaya pelajar dalam mengahrungi isu semasa.
Akan tetapi sedar atau tidak segala usaha dan sumbangsaran yang diadakan
menjadi satu perkara yang sia-sia. Kita boleh mengatakan perlakuan yang
dilakukan oleh pelaku-pelaku itu sebagai kemungkaran, tetapi kemungkaran yang
paling asas tidak diutamakan. Kemungkaran yang berpusat dari kemungkaran yang
besar itu menghasilkan pelbagai kemungkaran yang lain. Kemungkaran itu ialah
menolak syariat Islam yang menyeluruh dalam dasar dan pemerintahan negara.
Firman Allah : Dan tidaklah harus bagi rang yang beriman, lelaki dan perempuan –
apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara –
(tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan
mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka
sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata ( Al Ahzab:36)
Golongan Muda Asas Peneraju Kepimpinan Negara
Rancangan Malaysia Ketujuh menganggarkan peningkatan populasi sebanyak tiga
peratus setahun, golongan belia kini merangkumi sekitar 41 peratus atau lebih
kurang sembilan juta orang daripada bilangan keseluruhan 22 juta penduduk
negara.
Perangkaan ini juga menggambarkan situasi belia, pemuda dan mahasiswa yang
menghadapi pelbagai cabaran kontemporari dalam arus pasca modenisme. Mereka
bertanggungjawab dalam mengolah dan memahami aspirasi dan idealisme negara.
Realitinya pada hari ini, pelbagai persoalan dan isu timbul oleh golongan remaja
dan belia pada hari ini. Jiwa dan naluri remaja pada hari ini diisi dengan
pengisian hedonistik yang merosakkan jatidiri mereka. Golongan muda dihidangkan
dengan idola-idola yang tidak mempedulikan nilai-nilai agama dan jatidiri bangsa
kerana persekitaran yang mendorong.
Lantaran itu, pelbagai persatuan dan pertubuhan diwujudkan bagi membimbing para
belia menerajui kepimpinan pada masa akan datang. Organisasi-organisasi gabungan
antara negeri juga wujud dalam menyelesaikan isu secara kolektif. Modul-modul
direka bagi memenuhi keperluan pengisian bagi menghidupkan idealisme belia pada
hari ini.
Namun, kepimpinan belia pada hari ini bertindak dalam kepungan dan terbatas
dalam arus deras pemikiran jumud golongan pemerintah yang menyajikan pelbagai
akta yang menyekat bukan sahaja secara fizikal malah secara mental gerakan belia
dan kepemudaan.
Inilah yang dimaksudkan sebagai kemungkaran utama dalam sistem pemerintahan
negara. Belia pada hari ini bukan sahaja tidak khusyuk dan istiqamah di dalam
idealisme mereka malah diperalatkan oleh pihak pemerintah bagi menjamin
kelangsungan struktur pemerintahan mereka.
Pelbagai pertubuhan belia dibenarkan untuk beroperasi namun ianya tidak boleh
menyentuh sistem pemerintahan politik negara. Wal hal sistem politik negara
merupakan pusat segala peraturan masyarakat yang berlandaskan dasar yang
digubal. Sekiranya muncul pelbagai isu kemasyarakatan maka dasar dan sistem
pemerintahan negara juga terlibat sama. Lihatlah sekarang akan kebaculan
pemerintah dan membuat dasar negara yang menutup segala pintu untuk berlapang
dada dan menyuarakan teguran. Media massa dimamah oleh pemerintah dan
mengeluarkan muntahan yang mengikut acuan pemerintah serta menjijikkan. Fitnah
dan penyelewengan fakta dan berita menjadi asas maklumat, walaupun telah
terbukti akan pendustaan media pada hari ini.
Masyarakat Hilang Kecenderungan Politik
Model sistem peraturan masyarakat memperlihatkan celupan dari warisan penjajah
barat. Islam terbelenggu dalam arus timbangan barat. Lantas lahir pelbagai
gejala yang bukan berasal dari sistem Islam. Islam yang di dalam ikatan belenggu
diasak dengan pelbagai persoalan untuk diselesaikan. Forum-forum diadakan bagi
menyelesaikan permasalahan remaja dan pelajar sekolah wal hal isu utamanya ialah
kemungkaran golongan pemerintah meletakkan dasar Islam.
Model barat yang menjadi ikutan negara selama ini sememangnya gagal
menyelesaikan isu dan permasalahan yang timbul. Apa yang berlaku di barat sama
seperti apa yang berlaku di Malaysia, inilah realitinya. Golongan pemerintah
sering melaungkan Islam sebagai jalan penyelesaian dalam satu-satu perkara,
namun ianya hanyalah tempelan sahaja.
Syariat dan hudud diperlekehkan dengan mempermainkan pelaksanaannya. Golongan
yang mempunyai dasar yang jelas untuk memperjuangkan Islam dilabel sebagai
pembangkang dan menerajui politik Islam yang sesat. Segala cadangan dan
pandangan diperlekehkan oleh golongan pemerintah.
Wajah politik negara yang digambarkan oleh Almarhum Dr. Burhanuddin al Helmy
pada 1964 dinukilkan seperti berikut :
“Bertengkar mengenai politik dalam negara demokrasi bukanlah bermakna
berpecah-belah dalam kehidupan bermasyarakat. Inilah yang belum difahami oleh
umumnya rakyat dalam negara kita. Inilah tragedi demokrasi kita…..mereka menarik
kesimpulan bahawa parti pembangkang ialah musuh parti kerajaan dan demikian
samalah nilainya musuh negara yang dihadapi oleh kerajaan itu sendiri.”
Itulah realiti suasana politik di tanah air sehingga ke hari ini yang
menunjukkan kedangkalan sistem pemerintahan yang kononnya demokrasi berparlimen.
Kematangan berpolitik tidak pernah wujud di dalam pemerintahan apabila pelbagai
kekangan dilaksanakan sehingga kepada pemikiran rakyat juga dikepung untuk
mengulas isu kepimpinan dan politik negara.
Keutamaan dalam Memperjuangkan Suatu Isu
Asas di dalam proses menangani isu yang bermula dari memantau sehingga ke
penyelesaian memerlukan asas yang kukuh dan timbangan yang adil. Adalah amat
menghairankan apabila tidak dibolehkan menyentuh isu dasar dan politik untuk
menyelesaikan satu permasalahan masyarakat.
Kes disiplin pelajar sekolah, yang pada akhirnya wujud gejala tuding-menuding
jari ke arah pihak-pihak berkenaan dan akhirnya apabila parti bukan pemerintah
memberikan ulasan dan cadangan, ianya diperlekehkan bulat-bulat. Begitulah
‘matang’nya politik di negara ini.
Oleh yang demikian adalah menjadi satu keperluan untuk mengerahkan segala daya
dan usaha yang menyeluruh untuk menumpukan kepada pelaksanaan sistem yang sudah
lama terusir dari kehidupan masyarakat Islam dan seluruh dunia umumnya. Dalam
keadaan politik dipisahkan daripada agama, mana mungkin melakukan pembaikan
masyarakat melalui pendekatan bukan politik. Masyarakat wajar memahami rentak
politik dan bukan dilihat dari sudut sempit sahaja. Bayangkan, hanya dengan
pengaruh dan dasar politik, umat Islam bakal melihat anak-anak mereka berada di
tebing kemurtadan dan riddah dalam tempoh jangka masa panjang. Kita seharusnya
menginsafi akan kata-kata bekas mufti Turki di dalam fatwanya yang menegaskan
bahawa jalan pintas kepada murtad ialah dengan memisahkan agama dengan politik.
Firman Allah : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang yang beriman
ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi
hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar
dan kami taat”; dan mereka itulah orang yang beroleh kejayaan. (An Nur : 51)
Ana faqir ila Allah
Alim Mujahid
FPP,UiTM