Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Ezam, Izzah dicabar saman Zul Azhar

Saudara Pengarang,

SELASA lepas, seluruh negara digemparkan dengan ''pendedahan'' Zul Azhar Cha yang mendakwa Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Ezam Mohd. Nor mempunyai hubungan sulit dengan Nurul Izzah, anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu sidang akhbar, Zul Azhar bersumpah dengan mendakwa bahawa Ezam sanggup memanjat pagar pada pukul 3 pagi tahun lepas semata-mata untuk menyampaikan sendiri hadiah hari jadi kepada Nurul Izzah. Beliau juga mendakwa mempunyai bukti tentang hubungan ini dalam bentuk bil telefon yang mencecah ribuan ringgit melibatkan perbualan antara Ezam dan Nurul Izzah.

Dakwaan-dakwaan Zul Azhar, yang juga bekas pembantu peribadi Ezam, amat serius dan implikasinya telah menyemarak ke akar umbi. Walaupun Ezam telah menafikannya dalam sesetengah akhbar dan Internet, langkah ini tidak mencukupi kerana implikasi negatifnya yang meluas.

Penafian Ezam juga dikatakan tidak meyakinkan. Kewibawaannya dalam parti Keadilan sedang dipersoalkan dan persepsi rakyat terhadapnya semakin negatif.

Tuduhan-tuduhan sebegini terutama terhadap seorang pemimpin parti Keadilan amat memalukan dan boleh melemahkan parti lebih-lebih lagi kerana Nurul Izzah merupakan Puteri Reformasi yang kemungkinan besar akan memimpin parti tersebut di masa akan datang.

Lagipun Ezam dikatakan sudah pun berumahtangga dan tuduhan sebegini mungkin akan menjejaskan nama baiknya.

Juga parti Keadilan sedang mengalami krisis dalaman akibat daripada protes pengendalian laman web proreformasi yang mahukan Timbalan Presiden Dr. Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agungnya Mohd Anuar Tahir berundur dari parti tersebut. Semua ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan.

Maruah diri mesti dipelihara dan dipertahankan. Oleh itu amat perlu bagi Ezam membersihkan namanya dan nama Nurul Izzah menerusi proses undang-undang dengan menyaman malu Zul Azhar sekiranya apa yang diperkatakan beliau hanya merupakan dakwaan atau tuduhan belaka.

Perbicaraan di mahkamah akan menentukan status dakwaan hubungan Ezam-Nurul Izzah itu, sama ada ia merupakan fitnah untuk menjatuhkan nama baik Ezam dan Nurul Izzah atau merupakan motif lain.

Langkah ini juga akan meningkatkan lagi nama parti yang menganggap dirinya sebagai pejuang keadilan.

Begitu juga dengan Nurul Izzah ataupun bondanya Datin Seri Dr. Wan Azizah. Mereka juga harus menyaman Zul Azhar sekiranya beliau telah mereka-reka cerita untuk memburukkan nama pemimpin atau parti Keadilan.

Ezam atau Nurul Izzah tidak perlu takut sekiranya mereka di pihak yang benar. Hanya manusia yang bersalah sahaja yang enggan membersihkan nama dan imejnya setelah dibabitkan dengan dakwaan serius sebegini. Jika ini hanya satu pembohongan, janganlah dibiarkan begitu sahaja kerana maruah amat penting dipelihara.

Sebagai seorang pencinta keadilan, saya harap Ezam, Nurul Izzah dan Dr. Wan Azizah atau mana-mana pemimpin parti Keadilan mengambil tindakan mahkamah secepat mungkin terhadap Zul Azhar sekiranya dia berbohong. Janganlah berdiam diri dengan harapan agar rakyat akan melupakan cerita ini.

Sikap berdiam diri hanya akan memburukkan keadaan kerana peringkat akar umbi sudah pun terpengaruh. Seperti mereka, saya menyeru Ezam dan Nurul Izzah agar berani tampil ke hadapan dan kemukakan tuntutan saman malu terhadap Zul Azhar. Ini akan sekali gus membuktikan pihak yang benar dan menghukum mereka yang bersalah.

- SIDEK ISKANDAR,
Shah Alam, Selangor.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com