Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Benarkah Chechnya Masalah Dalaman Russia ?

Adalah benar, Chechnya dulunya adalah di bawah takluk Republik Komunis Russia. Dan adalah juga benar, selepas tumbangnya komunis di negara beruang putih itu, mendedahkan republik itu ke arah perpecahan.

Maka, Chechnya adalah antara wilayah yang menuntut kemerdekaan daripada Russia. Chechnya bukanlah wilayah asal Russia, sebaliknya adalah wilayah merdeka yang kemudiannya ditakluk oleh Russia.

Justeru, adalah wajar tuntutan Chechnya untuk merdeka. Menjadi hak kepada penduduk sesuatu wilayah yang dijajah untuk menuntut kemerdekaan tersebut.

Amerika Syarikat bukanlah negara yang wujud dengan tiba-tiba dalam keadaan merdeka sepenuhnya. Sebaliknya, negara besar itu adalah negara yang tunduk kepada empayar Inggeris yang kemudiannya pejuang seperti Jefferson, Washington dan lain-lain adalah antara sekian banyak pejuang yang diagung-agungkan oleh rakyat itu kerana terlibat dalam proses kemerdekaan.

Hatta, Malaysia sendiri adalah bekas tanah jajahan Inggeris, yang sebelum itu pernah pula ditakluk oleh Portugis, Belanda, Jepun dan Siam. Maka, usaha kemerdekaan di Malaysia merupakan usaha yang dianggap mulia, dan sehingga hari ini setiap tahun, 31 Ogos menjadi hari sambutan secara besar-besaran.

Maka, Chechnya tidak ketinggalan antara sekian banyak negara yang menuntut kemerdekaan daripada penjajahnya. Cuma, berbeza dengan Malaysia, kemerdekaan adalah sukar untuk diperoleh secara rundingan dan muafakat.

Mereka yang lahir sebelum era 90-an, tentulah arif dengan perangai dan sikap Russia. Walaupun, Russia hari ini tidak sama dengan Russia sebelum ini, namun, hakikatnya Russia masih belum menanggalkan sepenuhnya pakaian kekejaman mereka.

Justeru, Chechnya mengambil jalan sukar dengan melancarkan peperangan untuk menuntut kemerdekaan. Rakyat Malaysia yang mendapat kemerdekaan dengan jalan rundingan, jangan beranggapan Chechnya silap perhitungan apabila mengishtiharkan jihad pembebasan tersebut.

Kemerdekaan yang diperoleh oleh mana-mana negara tentunya amat berharga, biarpun apa jua cara yang digunakan. Setiap negara mempunyai zuruf atau suasana tersendiri yang berbeza dengan negara-negara lain, hatta negara jiran sekali pun.

Ambil contoh, negara jiran kita, Indonesia yang memperoleh kemerdekaan dengan jalan penentangan terhadap Belanda. Walaupun, berasal daripada rumpun yang sama, tetapi disebabkan suasana yang berbeza, maka cara untuk menuntut kemerdekaan juga berbeza.

Apa lagi, bagi sesebuah negara Islam, maka kemerdekaan merupakan tuntutan utama yang menjadi fardhu ‘ain kepada setiap rakyat negara itu tidak kira lelaki mahu pun perempuan.

Penjajahan kuasa lain, terutama kuasa kuffar, bermakna syariat Allah dikengkang daripada terlaksana. Adalah bahlol, andainya kita beranggapan Russia boleh mengizinkan Chechnya melaksanakan syariat Islam secara sepenuhnya di bumi sendiri, andainya Chechnya berterusan dijajah.

Oleh itu, apabila Menteri Luar Malaysia, Syed Hamid Albar beranggapan isu Chechnya adalah isu dalaman Russia, maka bagi saya, anggapan tersebut barangkali benar dalam konteks sekularisme, tetapi terseleweng dalam konteks Islam.

Ini disebabkan oleh, secara umumnya, Nabi Muhammad saw menafikan keislaman mereka yang tidak mengambil berat hal-ehwal saudara mereka. Apa lagi, apabila sesebuah negara Islam dijajah, maka menjadi kewajiban kepada negara Islam yang merdeka untuk membantu negara tersebut mendapatkan kemerdekaannya.

Maka, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk tidak berkongsi pandangan yang menyeleweng ini supaya terselamat dunia dan akhirat.

Hj Mohnas


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com