Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Jangan Serah Pada Guru Saja

Seorang penuntut berumur tujuh tahun masih terlantar di hospital setelah diserang oleh beberapa orang penuntut yang lebih tua daripadanya. Nurulsyuhada telah dipukul serta ditikam berkali-kali dengan senjata tajam dan kemudian dicampakkan ke dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Nasib juga dia kemudian sedar dan dapat diselamatkan semasa cuba memanjat keluar dari longkang itu.

Khabarnya anak kecil ini diperlakukan dengan sebegitu kejam oleh kerana tidak dapat memberi wang yang hendak diperas daripadanya. Sebenarnya kes pemerasan di sekolah memang selalu didengar, bahkan ada kala dilaporkan. Tetapi inilah kali pertama kekejaman seperti ini dilaporkan berlaku. Cili Api tidak tahulah jikalau ada peristiwa seumpama ini yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Walaupun sekiranya ini kejadian kali yang pertama, namun ia harus diambil berat oleh pihak berkuasa kerana sekarang ini banyak perkara tidak sihat sedang berlaku di kalangan murid-murid sekolah.

Tidak beberapa hari sebelum ini, beberapa orang penuntut telah cuba membakar rumah guru disiplin sekolah mereka. Mereka telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. Lepas itu ada pula sekumpulan penuntut di Rawang yang cuba membakar pejabat sekolah sehingga memusnahkan beberapa dokumen dan rekod sekolah. Sebelum itu banyak hal lagi yang berlaku. Ia menimbulkan tuduhan bahawa amalan samseng atau "gangsterism" sudah menular ke dalam sekolah sekarang ini. Walaupun banyak diperkatakan, tetapi sama banyak juga usaha untuk menutup perkara ini dengan memperkecil-kecilkannya.

Oleh kerana keadaan sekarang ini kelihatan semakin serius, Menteri Pendidikan yang selama ini senyap saja telah mula berdecit sedikit. Mengikut menteri ini disiplin di sekolah perlu diperketatkan. Guru-guru akan diberi kuasa serta tanggungjawab untuk melaksanakan disiplin ini. Beliau sedang menimbangkan penggunaan rotan. Adakah ini caranya bagi menteri dan kementeriannya melepaskan tangan?

Cili Api rasa kita tidak boleh menyalahkan hanya penuntut kerana segala hal yang berlaku sekarang ini. Mungkin ada juga kekurangan setengah-setengah pihak guru. Atau mungkin juga ia disebabkan oleh suasana dalam sekolah. Bagaimana pengaruh daripada keadaan sekeliling, dalam masyarakat? Bagaimana pula sikap pemerintah sendiri? Banyak sekali perkara yang harus difikirkan. Itu sebab Cili Api sudah berkali-kali berkata, pihak berkuasa pendidikan perlu membentuk satu jawatankuasa yang bebas serta berwibawa untuk mengkaji secara menyeluruh dan mendalam perkara ini.

Cili Api diberitahu bahawa masa dulu biasanya kanak-kanak sekolah dibenarkan bermain, berbuat bising dan melepaskan perasaan mereka sewaktu rehat di sekolah. Akan tetapi, khabarnya sejak sepuluh tahun lalu, mereka tidak dibenarkan lagi berbuat demikian. Waktu rehat sepatutnya digunakan untuk makan minum saja. Mereka ditegah membuat lebih dari itu. Kononnya jikalau mereka banyak bermain, badan dan pakaian menjadi kotor dan kelihatan tidak berdisiplin. Lagi pula apabila badan terlalu panas, mereka perlukan kipas, dan mereka diberitahu sekolah perlu berjimat-jimat dengan elektrik.

Seterusnya, jikalau mereka membuat bising dan menjerit-jerit melepaskan perasaan, ini dianggap sebagai perbuatan yang tidak halus atau tidak berbudaya pula. Kadang-kadang ini perlu mereka lakukan sekali-sekala. Oleh kerana sekarang ini terlalu banyak sangat larangan dan pantang larang, maka setengah-setengah penuntut merasa tersekat atau tertekan dari segi psikologi. Ada kalanya sesetengah mereka tidak bergembira ke sekolah, bahkan merasa benci akan guru dan suasana sekolah itu. Sebaliknya guru pun kadang-kadang mempunyai perasaan sebegitu juga terhadap penuntut yang dianggap kasar dan tidak berdisiplin.

Ini satu contoh kecil saja, tetapi mungkin besar kesannya. Tetapi banyak lagi faktor yang harus dikaji. Oleh itulah kita harus mencari punca sebenar untuk mendapatkan ubat yang mujarab. Menyalahkan murid saja, atau menggunakan rotan saja, mungkin tidak menyelesaikan masalah.

Cili Api


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com