Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Beban projek penswastaan Untung Kroni Sapu, Rugi Rakyat Tanggung

KEWANGAN
Menanggung beban projek penswastaan Untung Kroni Sapu, Rugi Rakyat Tanggung
Oleh AMAN RAIS

Untuk golongan tertentu terutamanya para kroni pemimpin negara, Malaysia adalah syurga perniagaan dan pelaburan. Iklim ekonomi di sini cukup baik, keuntungan terjamin dan kerugian jauh sekali. Tiada risiko. Jika menghadapi masalah kerajaan akan bantu, kerajaan akan selamatkan!

Itulah formula perniagaan di negara ini sekarang.

Bagaimanapun keistimewaan itu tidak untuk semua. Ia hanya untuk segelintir rakyat istimewa. Bagi golongan ini, tiada erti kerugian dalam kamus perniagaan mereka lebih-lebih lagi kalau pelaburan atau perniagaan itu melibatkan projek penswastaan. Sebenarnya untuk berjaya di Malaysia tidaklah terlalu sukar. Jalan singkat dan paling selamat ialah dengan menyertai program penswastaan kerajaan. Seolah-olah sudah termaktub dalam perjanjian penswastaan bahawa keuntungan sesuatu projek yang diswastakan itu dijamin sepenuhnya.

Untung sudah pasti, rugi jauh sekali. Jika bermasalah kerajaan akan campur tangan. Seperti telah tertulis bahawa sebarang kerugian akan ditanggung oleh kerajaan. Nampak seperti kerajaan dan syarikat pemegang konsesi penswastaan sudah membuat perjanjian suka sama suka untuk mengambil alih semula projek atau syarikat yang telah diswastakan jika projek atau syarikat berkenaan mengalami kerugian atau bermasalah. Bila menyentuh soal penswastaan dan pelaburan asing, kerajaan menjadi amat pro-bisnes.

Kerajaan begitu murah hati dan prihatin, serta tidak sekali-kali sanggup melihat projek penswastaannya, syarikat-syarikat gergasi atau pelaburan meganya gulung tikar. Kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan projek-projek gergasi atau program penswastaannya. Imej dan air muka mesti dijaga sebab jika ada di antara projek mega atau program penswastaannya gagal, itu bermakna segala kritikan dan jangkaan parti pembangkang dan badan-badan anti-establishment adalah tepat dan benar.

Rakyat dan orang asing tidak boleh dipersalahkan apabila mereka beranggapan dan bersikap sinis terhadap senario perniagaan di negara ini. Banyak bukti yang mengiyakan pandangan mereka itu. Lebih RM30 bilion dibelanjakan di tengah-tengah kegawatan ekonomi dulu untuk menyelamatkan beberapa buah syarikat gergasi seperti Renong, Ekran, Konsortium Perkapalan dan institusi-instituis kewangan menerusi pelbagai operasi menyelamat yang kreatif.

Projek penswastaan empangan Bakun yang bernilai RM13 bilion menerima pukulan maut dari kegawatan ekonomi dan syarikat yang memegang konsesinya terpaksa diselamatkan. Akhirnya kerajaan mengambil alih projek itu dan kini diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad. Ekran yang gagal melaksanakan projek itu diberi ganti rugi lebih RM1 bilion bagi mengelakkannya daripada kerugian.

Begitu juga beberapa buah syarikat pemegang konsesi tol juga diberikan gantirugi apabila mereka kemungkinan menghadapi kerugian akibat dari langkah kerajaan menghalang cadangan menaikkan kadar tol. Ganti rugi yang dibayar kepada mereka melebihi RM80 juta setahun!

Misalnya, pemegang konsesi tol Jalan Kuching di Kuala Lumpur dibenarkan melanjutkana tempoh kutipan tol selama enam tahun lagi atas alasan kutipan tol yang dikenakan di jalan itu selama ini belum mencukupi untuk menampung kos pembinaan dan penyelengaraan jalan raya itu. Kononnya syarikat berkenaan memerlukan tempoh kutipan yang lebih lama untuk mendapatkan kembali modal pembinaan lebuh raya itu.

Langkah menyelamat terbaru yang menggemparkan dan mendapat kritikan umum ialah pengambilalihan Indah Water Konsortium (IWK), syarikat penyelenggara dan pengurus sistem pembentungan nasional.

Kerajaan dilaporkan telah menandatangani perjanjian pengambilaihan dengan Prime Utulities Berhad, syarikat induk IWK bagi menyelamatkan syarikat yang sedang menghadapi masalah kewangan yang serius itu. Menteri Kewangan, Daim Zainuddin pada 25 Februari lalu berkata: "Perjanjian pengambilalihan itu telah diputuskan dan ditandatangani dan bayaran sudah pun dibuat."

Daim tidak memberikan butir-butir lanjut pengambilalihan itu bagaimanapun akhbar perniagaan Singapura, Business Times melaporkan kerajaan membayar sebanyak RM200 juta untuk mendapatkan semula operasi pembentungan negara yang suatu ketika dulu adalah miliknya.

IWK diswastakan pada 1994 dan dilaporkan menanggung hutang RM700 juta. Syarikat ini dikatakan sering menghadapi masalah dan kerajaan telah menyuntik lebih RM1 bilion ke dalamnya bagi membolehkannya terus hidup. IWK mendakwa ia mempunyai lebih 700 loji rawatan dan 2000 daripadanya sudah buruk dan RM100 juta diperlukan setiap tahun untuk menyelenggara semua loji itu dan 220 buah rumah pam. Syarikat ini juga menyalahkan para pengguna sebagai punca masalah kewangannya.

Dakwa syarikat itu, keadaan kewangannya menjadi lebih teruk kerana sikap pelanggannya (anda dan sesiapa sahaja yang menggunakan tandas moden) enggan membayar bil pembentungan. Dilaporkan kira-kira 41 peratus daripada 1.2 juta pelanggan masih berhutang sebanyak RM145 juta dengan syarikat itu.

Beberapa contoh operasi menyelamat di atas membuktikan betapa kerajaan Malaysia begitu prihatin terhadap nasib syarikat-syarikat besar dan program penswastaannya. Dalam soal program penswastaan, kerajaan nampaknya bukan sahaja mengamalkan sikap terbuka, malah longgar. Syarikat-syarikat atau individu diberikan konsesi atau projek-projek penswastaan dengan pelbagai jaminan dan keistimewaan. Lazimnya kos pengambilalihan syarikat atau projek-projek kerajaan di bawah program penswastaan ini sangat minimum.

Malah ada yang diberikan percuma dengan keuntungan yang sudah dijamin. Paling mengharukan kebanyakan projek atau konsesi itu diberikan tanpa tender terbuka. Semuanya atas dasar 'siapa cepat dia dapat' atau secara rundingan!

Begitulah yang terjadi dalam penswasataan lebuh raya, empangan Bakun, Puspakom, penswsataan perkhidmatan sokongan hospital, IWK dan banyak lagi. Modus operandinya begitu mudah iaitu individu atau syarikat akan membuat cadangan dan kemudian berunding dengan kerajaan dan selepas itu satu pengumuman dibuat projek A atau konsesi B telah diberikan kepada syarikat tertentu.

Individu atau syarikat berkenaan kemudiannya akan menyuntik atau menjual projek atau konsesi itu kepada sebuah syarikat awam pada harga yang tinggi. Dalam kes IWK ia telah diberikan kepada Prime Utilities yang dikuasai oleh Vincent Tan. Kemudian ia dijual kepada Transwater Berhad sebelum diambil oleh Idris Hydraulic yang dikuasai oleh Ishak Ismail pada harga RM20 sesaham.

Cuba congak berapa keuntungan yang dibuat oleh para pelabur yang menguasai syarikat ini sejak ia diswastakan pada tahun 1994?

Harga asas sahamnya pada mulanya hanya RM1 seunit tetapi bila ia disenaraikan di pasaran saham melalui proses penyenaraian melalui pintu belakang (reverse takeover) harganya melambung berkali ganda. Dalam proses bertukar tangan beberapa kali itu, harga saham Prime Utilities (syarikat induk IWK) pernah mencecah RM30 sesaham sebelum dijual kepada Ishak pada harga RM20 sesaham. Banyak pihak yang menikmati keuntungan atas angin yang lumayan dari penswastaan IWK ini sebelum ia diisytiharkan bermasalah dan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan!

Bila ia bermasalah dan terpaksa diselamatkan, siapakah yang rugi? Tentunya anda, para pembayar cukai! Ahli jawatankuasa Eksekutif ALIRAN, sebuah NGO yang lantang mengkritik program-program penswastaan berkata: "Apa jenis dasar penswastaan ini: apabila pemegang saham memperolehi keuntungan, mereka ketawa menerima wang berjuta-juta ringgit tetapi apabila mereka gagal, mereka menangis meminta bantuan kerajaan.

"Kerajaan menyelamatkan dengan meminjamkan berjuta ringgit wang pembayar cukai. Jika usaha itu gagal, kerajaan akan mengambilalih syarikat bermasalah itu dan menanggung semua beban hutangnya. Sangat indah untuk para pemegang saham tetapi sangat menyedihkan untuk para pembayar cukai dan orang ramai."

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang yang kecewa dengan tindakan kerajaan menyelamatkan IWK itu telah mendesak supaya perjanjian pengambilalihan itu dibentangkan segera di Parlimen bagi membolehkan Dewan Rakyat menjadi pemutus sama ada pengambilalihan itu wajar dan perlu dilakuan.

Kemarahan, kekecewaan dan kebimbangan yang disuarakan oleh individu dan NGO itu adalah kena pada tempatnya. Kegagalan IWK ini patut dipandang serius dan dijadikan pengajaran. Amalan kerajaan untuk menswastakan perkhidmatannya secara sewenang-wenang dan kemudiannya mengambilalihnya semula bagi mengelakkan perkhidmatan itu terjejas patut dihentikan kerana ia merugikan wang rakyat.

Matlamat kerajaan melakukan penswastaan ialah untuk meringankan beban kewangan dan meningkatkan keberkesanan operasi sesuatu perkhidmatan itu. Penswastaan bukannya untuk menguntungkan kroni. Tetapi kalau setiap projek yang gagal perlu dipulangkan semula kepada kerajaan dan diberikan pampasan, objektif penswastaan itu tidak akan tercapai. Sebaliknya ia menambah beban kerajaan dan rakyat! Sepatutnya program penswastaan itu diperketatkan syaratnya. Sudah sampai masanya dasar penswastaan dikaji semula!

Mungkin wajar kerajaan mengambil alih semula projek-projek yang berkaitan dengan kepentingan umum termasuklah IWK ini tetapi hendaklah ia dilakukan dengan syarat-syarat yang tidak merugikan kerajaan dan para pembayar cukai. Pemegang konsesi sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas segala hutang piutangnya dan kerajaan memadai sekadar mengambilalih perkhidmatan itu sahaja.

Sepatutnya dinyatakan dengan jelas dan tegas sejak dari awal lagi bahawa perkhidmatan, projek atau konsesi itu tidak boleh ditukar milik sewenang-wenangnya untuk tempoh tertentu bagi mengelakkan ia digunakan oleh pelabur atau pemegang sahamnya mengaut keuntungan segera atau berniaga secara atas angin sahaja.

Kita bimbang jika amalan atau precedent seperti ini diteruskan, pihak yang diberikan projek penswastaan lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai hubungan rapat dengan pihak yang berpengaruh akan bersikap sambil lewa dalam menjayakan projek atau program tersebut.

Kini terdengar desas-desus mengatakan dua lagi projek penswastaan iaitu perkhidmatan pengangkutan LRT dan STAR yang nampak gah berulang alik di Lembah Klang akan diambil alih oleh kerajaan. Khabarnya syarikat yang mengendalikan kedua-dua perkhidmatan pengangkutan ini mengalami kerugian kerana menanggung kos yang tinggi berbanding jumlah penumpang yang kecil.

Danamodal Berhad, agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menyuntik modal-modal tambahan kepada syarikat-syarikat bermasalah di negara ini khabarnya sedang merangka pembiayaan pinjaman untuk menyelamatkan LRT dan STAR. Kedua-dua pengangkutan keretapi moden ini menghadapi masalah kerana jumlah penumpang yang menggunakannya tidak seramai yang dijangkakan.

Syarikat pemegang konsesi LRT dan STAR dikatakan telah membuat fokus penumpang yang sangat tinggi untuk menyakinkan kerajaan bahawa projek ini berdaya maju semasa berunding untuk mendapatkan projek tersebut. Tetapi keadaan yang sebaliknya berlaku sekarang. Penduduk Lembah Klang lebih selesa menggunakan bas Intrakota yang terbukti jauh lebih murah tambangnya.

Dalam rancangan untuk menyelamatkan kedua-dua projek LRT dan STAR ini sekali lagi alasan "untuk menyelamatkan kemudahan dan perkhidmatan awam" digunakan. Nampaknya satu demi satu projek penswastaan terpaksa diselamatkan. Inilah yang berlaku jika kerajaan terlalu ghairah untuk melaksanakan sesuatu yang baru dan tercanggih sedangkan rakyatnya, usahawan dan para teknokrat belum bersedia.

Bila kroni dimanjakan berlakulah situasi "untung taukeh sapu, rugi kerajaan tanggung".

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com