Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Antara Negeri dan Pusat: Siapa Sebenarnya Tuan ?

Oleh Ramli Abd Halim

TAKIYUUDIN Hassan, tokoh muda yang kelihatannya melalui jalan agak mudah menduduki barisan kepimpinan di Kelantan dengan diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pentadbiran Awam mendedahkan kepada media bahawa kerajaan pusat belum menjelaskan geran tahunan RM47 juta kepada Kelantan.

Jumlah geran yang masih belum dibayar itu merupakan sebahagian dari RM91 juta geran perkapita yang diperuntukkan kepada Kelantan bagi 1999.

Mengikut jadual, pembayaran geran itu sepatutnya dibuat bagi peringkat pertama pada bulan Januari 1999 dan peringkat keduanya pada bulan Jualai tahun yang sama.

Bagaimana bayaran peringkat pertama hanya dibuat pada bulan Ogos 1999 iaitu kira-kira lima bulan sebelum tahun 1999 berakhir manakala bakinya RM47 juta lagi bagi bayaran peringkat kedua belum diterima sehingga awal tahun 2000 ini.

Geran tersebut merangkumi geran perkapita jalan raya, kesimbangan, pemberian tahap ekonomi penduduk dan pengurusan.

Jika kelambatan itu berlaku kerana sebab-sebab teknikal, maka rakyat Malaysia akan melihat bahawa pentadbiran kerajaan pusat lembab, betat dan tidak cekap.

Kalau pembayarannya sengaja dilambat-lambatkan, maka ia merupakan suatu bentuk kejahatan, perbuatan tidak amanah dan tidak bersih, lagi keji.

Sekiranya kelambatan itu berpunca dari masalah kewangan negara, maka kepimpinan kerajaan pusat mesti berasa malu dan aib untuk terus mendabik dada sebagai kerajaan yang berkemampuan dan berkebolehan serta unggul.

Bukankah selain dari negara ini kaya dengan pelbagai khazanah di perut dan di muka buminya, rakyat dikenakan pelbagai cukai dan tol termasuk sebelum masuk tandas. Yang jelas lagi, geran tahunan untuk Kelantan bukannya merupakan sedekah kerajaan pusat tetapi adalah hak setelah aneka jenis cukai dipungut dari rakyat dan dipunggah ke pusat. Jika sikap melambat-lambatkan pembayaran geran ini terus berlaku, rakyat Kelantan dan rakyat negeri-negeri lain yang lambat menghadapi masalah yang serupa akan merasa tidak ada apa faedah dan perlunya kewujudan sebuah kerajaan pusat kalau ianya tidak bersih, tidak cekap dan tidak amanah.

Malah mereka juga akan merasa tidak ada feadah dan tidak ada perlunya mereka membayar cukai jika kerajaan yang terbentuk hasil mandat mereka sengaja dianiayai kerana dijadikan mangsa dendam dan tidak puas hati kerajaan pusat.

Rakyat Kelantan tentulah tidak akan mengharapkan sebarang bantuan pusat jika segala jenis cukai dan hasil mahsul negeri tidak dibawa keluar (kecuali beberapa jenis cukai dibayar terus kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada pusat sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan negara).

Malah dengan segala hasil yang ada (jika tidak dipunggah ke pusat), kerajaan negeri mampu memperolehi pendapatan yang jauh lebih tinggi dari yang diperolehi dari peruntukan geran tahunan yang entah hanya beberapa persen sahaja daripada jumlah keseluruhan hasil yang dipunggah dari negeri ke pusat setiap tahun.

Kerajaan pusat sepatutnya mengambil iktibar dari apa yang berlaku ekoran dari sikap cuba menafikan hak rakyat sebagai pengundi (yang mana Kelantan didiskriminasikan dalam tempoh dua penggal yang lalu) dan bahananya Terengganu jatuh ke tangan PAS manakala negeri-negeri yang dianggap kebal berjaya dibolosi PAS sebagai bukti sikap pusat tidak disenangi rakyat. Secara peribadi saya yakin jika kerajaan pusat tidak mengubah sikap mulai sekarang, lebih ramai rakyat di setiap negeri di Malaysia akan mengambil sikap menolak kerajaan yang ada sejajar dengan tahap pemikiran rakyat yang semakin terbuka.

Walaupun Kelantan atau Terengganu dimangsakan, rakyat bnegeri lain akan ikut sama kesannya atas nama rakyat sesama rakyat, mereka akan mendapat maklum hasil perkembangan dunia teknologi maklumat dan canggih dan terkini.

Kalau pihak pusat gemar sangat bermain api dengan kuasa hasil mandat rakyat, akhirnya rakyat akan bertanya apa hak pusat yanga kelahirannya dan disurat-beranakkan pun hanyalah hasil dari ihsan negeri-negeri.

Tanpa negeri-negeri tidak ada pusat/persekutuan, malah tanpa penumpulan hasil yang dipungut dari negeri-negeri, persekutuan tidak ada sebarang hasil, malah bumi untuk dipijak pun tidak ada. Ada bumi hasil ihsan Selangir bagi Wilayah Persekutuan dan ihsan Sabah bagi Wailayah Persekutuan Labuan.

Persekutuan/pusat sebenarnya hanyalah sebuah lambang untuk mempersatukan negeri-negeri di Malaysia dan segala perlembagaannya adalah hasil persetujuan negeri-negeri. Ia juga diamanahkan menguruskan harta negara supaya setiap negeri mendapat manfaat. Persekutuan pada hakikat sebenarnya kuli manakala negeri-negeri adalah taukeh. Pusat/persekutuan adalah beruk dan negeri adalah tuan.

Adalah amat tidak kena dan janggal jika kehidupan tuan beruk diatur oleh beruk apatah lagi diarah oleh beruk supaya petik kelapa sedangkan sepatutnya tuan berulah yang kena arah beruk, kalau beruk jenis tidak ikut arahan tuan, maka beruk yang lawan boleh senjah turun, biar jatuh terkangkang.

Samalah juga kalau mahu memastikan negeri-negeri tidak akan merasakan pusat atau persesekutuan hanya menyusahkan khususnya oleh kalangan generasi muda yang cukup berilmu dan bermaklumat, pihak pusat hendaklah berfungsi dengan betul dan cekap, amanah dan bersih. Jangan ambil kesempatan menggunakan pisau yang diberi oleh negeri-negeri untuk menyembelih dan melapah negeri-negeri sesuka hati dengan apa tujuan dan matlamat sekalipun sebelum rakyat selaku pengundi naik meluat dan mengambil keputusan menyembelih parti-parti yang diberi mandat membentuk kerajaan pusat/persekutuan pada pilihan raya umum akan datang

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com